4 January 2009

Akhi - Bahagian Ketiga

Penulis meminta maaf atas kelewatan siri ketiga 'Akhi' ini. Atas kesibukan yang melampau, ditambah dengan keadaan saudara-saudara kita di Palestin, penulis tidak dapat menumpukan masa dan tenaga untuk menyiapkan cerita ini. Alhamdulillah, siri ketiga akhirnya berjaya disiapkan. Nantikan sehingga penghabisannya ya? Selamat membaca! =)

***

"Mik, kau nak ikut aku tak? Sabtu ni?"

"Eh, pergi mana Kur? Sabtu ni, aku ingat nak pergi Jusco la. Nak pergi tengok wayang, ala, cerita Spiderman. Best woo aku dengar..."

"Wayang? Ala, tak masyuk la wayang. Apa kata kau ikut aku? Lagi best!"

"Pergi mana Kur...?"

"Kita nak pergi satu perjumpaan yang best! Ada makan-makan, perbincangan... Memang rugi kalau kau tolak!"

Hhmmm... Aku musykil. Selama ini, si Masykur tidak pernah pun mengajak aku pergi mengikutinya setiap Sabtu dia menghilang. Sudah lebih kurang 3 bulan dia berkelakuan sebegitu. Setiap hari Sabtu, sebaik sahaja selepas Zuhur, pasti dia akan lesap entah ke mana sehinggalah waktu outing habis. Jangankan mengajak, dia tidak pernah langsung memberitahuku tentang aktivitinya yang mencurigakan itu. Kecil juga hatiku jadinya! Dan aku pula tidak pernah bertanya. Ego agaknya. Mungkin juga malu. Lantas aku bersetuju dek perasaan ingin tahuku yang begitu meluap-luap, walaupun aku berjaya menyembunyikannya dengan berlagak seolah-olah aku berat untuk mengikutinya.

Maka Sabtu itu berangkatlah kami menaiki bas bernombor 21 yang hanya Masykur tahu destinasinya. Aku cuba mengorek-ngorek daripadanya, ke manakah kita, apakah yang kita hendak lakukan. Dan jawapannya sama sahaja. Tengok dahulu. Mudah. Aku menjadi semakin tidak sabar. Tidak senang duduk, resah dan gelisah. 

Akhirnya setelah hampir setengah jam menaiki bas usang (Aneh! Walaupun setelah bergelar bandaraya, basnya masih lapuk tidak ditukar ganti. Konduktornya masih apek atau nyonya tua yang sudah bongkok tiga!), kami tiba di destinasinya. Sebuah taman perumahan yang agak tenang dan sunyi. Ke mana kita, aku bertanya. Jawapannya hanyalah sekuntum senyuman yang manis, yang terus membantutkan selera aku untuk bertanya lanjut.

Masykur langsung mengepalai, menuju ke sebuah rumah bernombor 33. Ah, macam ku kenal sahaja Proton Waja berplat AEM 2505 ini, getus hatiku. Masykur memberi salam. Tiada jawapan. Diberinya salam kedua yang lebih nyaring. Masih tiada jawapan. Masykur menggaru kepala yang tidak gatal. Belum sempat dia menghabiskan salamnya yang ketiga, seorang lelaki tampan berserban putih berumur 30-an menyelak jendela. Ustaz A'sim, guru Pendidikan Islam di sekolahku. Dia tersenyum gembira melihat kami berdua. Kini aku turut menggaru kepalaku yang tidak gatal. Ustaz A'sim ada buat kenduri tahlil ke ni? Atau sambutan hari lahir anaknya?

Kami dijemput masuk. Sebaik aku bersalam dengan Ustaz A'sim, aku melihat sudah ada 4-5 orang lagi sudah siap duduk bersila di ruang tamu. Khalil rakan satu batchku, Abang Farish senior di tingkatan lima, seorang junior yang aku lupa namanya dan selebihnya tidak aku kenali. Mereka semua tersengih apabila melihat kami berdua. Pelik. Aku semakin hairan. Namun aku diamkan diri sahaja. Malas hendak bertanya apa-apa, khuatir mulutku ini terlebih bisa!

Kami semua duduk membentuk suatu bulatan yang kurang sempurna. Aku sempat menegur rakanku Khalil dan menyapa Abang Farish, sebelum Ustaz A'sim mengumumkan yang makanan tengah hari akan disediakan beberapa minit lagi. Aku sedikit teruja. Manakan tidak! Sudahlah perutku sejak tadi tidak habis-habis beracapella meminta nasi, aku pula sudah lebih sebulan tidak makan masakan rumah!

Tidak rugi aku terima jemputan Masykur! Bau rempah pekat menusuk hidungku. Kecur air liur. Dua dulang bulat bersaiz sederhana diletakkan di hadapan kami oleh Ustaz A'sim. Aneh. Tidak ada pinggan mangkukkah di rumah ini? Masykur seolah-olah menyedari tingkah lakuku, lantas tersenyum. Dia tidak menawarkan sebarang penjelasan. Nasi putih, lauk kurma kambing, ayam goreng berempah dan ulam-ulaman bertemankan sambal belacan dihidangkan kepada kami. Ah, dulang pun dulanglah!

Aku makan dengan begitu gembira sekali. Bukan, gembira terlalu sopan bunyinya. Lahap. Ya, aku memang gelojoh dan pelahap kadangkala, terutamanya apabila aku lapar dan makanan yang dihidangkan sedapnya menjilat jari. Dihidangkan pula dengan teh o limau panas mencuci usus dan perut. Aduh.... Nikmatnya! Senyumku liriknya sehingga ke telinga. Puas. Masyur tertawa kecil melihat gelagatku. 

Ketika makan, Ustaz A'sim ada bertanyakan beberapa perkara kepadaku. Dan aku menjawabnya ala kadar sahaja. Segan mungkin. Atau aku terlalu fokus memuaskan nafsu perutku? Juga mungkin. Abang Farish dan Khalil juga ada berkata-kata kepadaku. Cuma tampak seperti ada skrip yang telah mereka hafal. Soalan-soalan yang ditanya sudah pun diketahui jawapannya. Aku musykil sama ada mereka benar-benar ikhlas memulakan bicara. Entahlah. Juniorku yang masih belum ku ingat namanya dan dua orang lagi yang masih belum ku kenali tidak pula sibuk menemuramahku. Mereka juga seperti aku agaknya. Khusyu' dan tawadhu' menjamah nasi!

Selepas makan dan dulang-dulang dikemaskan, kami diminta Ustaz A'sim untuk membentuk suatu bulatan, halaqah katanya. Aku hanya menurut. Aku duduk di sebelah kiri ustaz dan Masykur di sebelah kiriku.

"Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad S.A.W., para keluarga dan sahabat baginda. Syukur kita kepada Allah, kerana dengan izin dan inayahNya, kita dapat berkumpul di sini hari ini. Paling seronok, kita dapat makan, hidup dan berbuat apa sahaja tanpa sebarang gangguan mahupun ancaman daripada sesiapa pun. Cuba kita bayangkan, kita berada di Palestin sekarang ini. Mesti perit kan? Subhanallah..."

Ustaz A'sim memulakan bicara. Waduh waduh, tidak pernah aku lihat ustaz setenang ini! Kebiasaannya, Ustaz A'sim terkenal sebagai seorang guru yang tegas di bilik darjah. Tapi ini... Seolah-olah aku baru pertama kali mengenalinya.

"Alhamdulillah, hari ini kita menerima seorang anggota baru dalam keluarga kita ni. Akh Mikail."

Ustaz A'sim tersenyum. Yang lain juga turut mengukir senyuman dan Masykur seperti biasa memiliki senyuman yang paling manis. Aku hanya mampu tersenyum simpul. Aku sebenarnya betul-betul naif tentang apa yang sedang berlaku.

"Ana rasa, ada baiknya kita bertaaruf dahulu, sebab Mikail belum kenal semua yang ada di sini rasanya. Betul Mikail?"

Aku hanya mengangguk. Akh? Ana? Taaruf? Haiyo, bahasa apa pula ni?? Aku mencuit paha Masykur, dan berbisik sehalus mungkin.

"Kur, taaruf tu apa?"

Ustaz A'Sim tersenyum. Dia mencuri dengar rupanya.

"Maafkan ana. Taaruf tu maksudnya perkenalkan diri. Yelah, ada baiknya semua orang saling mengenali sebelum ana boleh mulakan agenda untuk hari ini. Ok, biar ana mulakan dahulu, kemudian diteruskan dengan Safwan di sebelah kanan dan diakhiri dengan Mikail. Taaruf ringkas sahaja untuk hari ini. Kalau boleh, beritahu nama penuh, nama panggilan, asal, sekolah apa, tingkatan berapa, ha, cukuplah rasanya dulu untuk hari ini. Nanti bila ada masa, di lain kali mungkin, kita berkenal-kenalan lagi. Baik, akhukum fillah, nama ana Muhammad A'sim bin Musa'b..."

"Nama ana Safwan Soleh bin Abdul Jabbar. Boleh panggil Safwan atau Soleh..."

"Nama ana Farish Khalid..."

"Akhukum fil Islam. Nama diberi Muhammad Ridhuan Abdullah Kailan..."

Akhirnya aku mengenali juniorku. Ridhuan rupanya.

"Bismillahirrahmanirrahim. Salam a'laikum warahmatullah. Nama diberi Khairul Khalil Muhammad Jiwa..."

"Assalamu a'laikum. Nama Abdul Muiz bin Ahmad Izzah..."

"Salam semua. Nama ana Masykur Hafiz bin Ayub Mukhlis..."

Tiba giliran aku. Entah mengapa aku berasa sedikit gemuruh. Aih, bukannya disuruh pergi berucap di atas pentas! Tetapi pelik, gemuruhnya cukup luar biasa! Hatiku berdegup pantas. Aku dapat rasakan yang darah mengalir pantas di dalam vena kava dan aortaku. Dan aku tidak tahu perlukah aku membahasakan diriku ana seperti yang lain? Ah, cukup janggal bunyinya...

"Assalamu a'laikum. Nama saya Muhammad Aidil Mikail bin Ahmad Lutfi. Boleh panggil Mikail, Mik pun ok jugak. Saya berasal daripada Kuala Lumpur..."

"Kuala Lumpur kat mana?" Muiz mencelah.

"Kuala Lumpur kat Malaysia." Aku bergurau, disambut oleh gelak tawa daripada semua.

"Tak tak. Hehehe.. Kuala Lumpur kat Bukit Damansara..."

"Ooohh..." Disambut semua. Muncung Masykur yang paling panjang. Sengaja.

"Satu sekolah dan satu kelas dengan Masykur," aku menyudahkan bicara.

Selesai sesi taaruf, Ustaz A'sim meneruskan perbincangan yang telah dirancang. Hari ini Ustaz A'sim bercerita tentang sirah Nabi S.A.W., pengorbanan yang ditempuhi oleh baginda dan para sahabatnya seawal era Islam di Mekah. Bagaimana mereka diseksa dengan kejamnya, dicaci dan dicemuh, dipulaukan, diperlakukan dengan pelbagai lagi perbuatan yang sungguh memalukan... Aku paling tertarik dengan kisah Sumayyah dan Yassir, dua orang sahabat Nabi yang mati syahid dan dijanjikan syurga, walaupun ketika itu syariat solat 5 waktu sehari semalam, puasa di bulan Ramadhan, zakat dan menunaikan haji masih belum diperintahkan terhadap umat Islam. Menarik. Bagaimana kefahaman mereka terhadap dinn yang mereka peluki begitu dalam dan terkesan, sehinggakan aqidah yang mereka miliki cukup mapan.

Kemudian Ustaz A'sim mengajak kami semua merenung keadaan umat Islam di zaman kini. Bagaimana Islam yang sudah lengkap dengan segala syariat dan perintahnya, namun begitu ramai umat Islam yang terpesong daripada jalan yang lurus dan benar. Sedangkan al-Quran yang ada pada hari ini sudah sempurna, tidak seperti di zaman para sahabat yang menerima risalah dari langit sedikit demi sedikit.

Aku terkedu. Kata-kata Ustaz A'sim benar-benar kena tepat pada jantungku. Menusuk kalbu. Selama ini, adakah aku benar-benar faham tentang agamaku ini? Atau adakah ia sekadar warisan daripa Abbi dan Ummi? Agama ikut-ikutan? Mereka tertonggeng sujud 5 kali sehari semalam, maka aku juga wajib tertonggeng sujud sebanyak itu? Adakah aku benar-benar faham hikmah di sebalik solat, puasa, zakat dan haji? Dan adakah Islam hanya terletak pada rukun yang lima itu? Aku menjadi resah. Tiba-tiba suatu perasaan takut dan khuatir yang tidak pernah aku rasakan selama ini menyelimuti jiwaku.

Ustaz A'sim seperti perasan akan gelagatku, lantas menyudahkan perbincangan kami tentang sirah Nabi S.A.W.. Dia memulakan pula perbincangan baru yang lebih santai, berkisarkan hal ehwal ibadah. Ibadah yang sahih, terang Ustaz A'sim, wajib berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Perkara-perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. hendaklah dielakkan. Bidaah. Cukup banyak perkara baru yang aku pelajari. Alangkah jahilnya diri ini.

Ustaz A'sim kemudiannya berjanji untuk berbicang lanjut tentang hal ini di masa hadapan kerana masa tidak mencukupi. Sebagai penutup perbincangan, Ustaz A'sim bertanyakan tentang perihal diri kami, seandainya kami mempunyai masalah dan sebagainya. Aku sedikit tersentuh. Ustaz A'sim sememangnya kelihatan jujur dan bersungguh dalam bertanyakan khabar dan perihal kami. Aku seolah-olah dapat merasakan kasih sayangnya mengabusi kami.

Selepas solat Asar berjemaah, Abang Farish, Ridhuan, Khalil, Masykur dan aku bergerak pulang. Ustaz A'sim menawarkan untuk menghantar kami pulang, tetapi Abang Farish menolak. Haila Abang Farish ni. Rezeki jangan ditolak! Hatiku berkata, namun mulutku tidak terbuka. Kami sampai di sekolah 5 minit sebelum pukul 6. Nasib baik. Jika tidak, kami semua pasti didenda oleh warden bertugas hari itu, Cikgu Jamal Abidi, guru disiplin sekolah. Melihatkan rotan di tangannya sahaja sudah kecut perutku. Belum lagi pelempang 360 darjah Cikgu Jamal, yang sememangnya cukup terkenal di kalangan samseng sekolah. Cikgu Jamal hanya tersengih kerang melihatkan kami yang terselamat daripada habuan rotannya. Fuh...

Namun aku tidaklah begitu khuatir sebenarnya, kerana Abang Farish ada bersama. Sebagai Penolong Ketua Pengawas sekolah, dia mempunyai reputasi yang bersih di kalangan guru dan pelajar. Malah dia cukup akrab dengan Cikgu Jamal kerana dia bertanggungjawab terhadap portfolio disiplin pelajar.

"Kur, tadi tu usrah eh?" Aku bertanya kepada Masykur dalam perjalanan pulang kami ke asrama.

Masykur sedikit terkejut. Jelas kelihatan pada mata dan kerut dahinya yang dia tidak menyangka aku akan berkata sedemikian. Kini giliran aku menghadiahkannya senyuman nakal, tanda kemenangan dan kebanggaan.

"Er...Macam mana kau tahu ni Mik?"

"Ala.... Abbi dan Ummi pernah bagitau aku dulu. Dia orang pun ikut usrah jugak.."

"Subhanallah... Ye ke?? Alhamdulillah...! Bestnye aku dengar!"

Masykur tersenyum panjang.

"Tapi aku takde la tahu sangat pasal usrah ni. Sikit-sikit tu, bolehlah. Nanti kau kena ajar aku apa yang aku dah tertinggal ok?"

Masykur mengangguk pantas. Senyumannya bertambah lebar.

"No hal la beb. Kau punya pasal, lautan api sanggup ku renangi! Hehe... Kau tau tak Mik, aku happy sangat kau dah sertai keluarga kami ni. Selama ni aku rasa bersalah sangat sebab rahsiakan daripada kau. Dah lama aku nak ajak kau, tapi ustaz cakap, tunggu dulu..."

"Hahaha.... Tak kisah la Kur. Mesti ada sebab kenapa ustaz cakap macam tu. Apa-apa pun, aku happy jugak, sebab dah jadi sebahagian daripada keluarga tu. Keluarga bahagia..."

Kami berbalas senyuman.

"Kur, aku nak tanya sikit la."

"Ha, apa dia?"

"Akh tu apa? Ala... Yang Ustaz A'sim selalu guna nak address kita tu. Sikit-sikit dia panggil akh, atau akhi. Apa kebendanya tu...? Sejenis tumbuhan-tumbuhan berakar serabut ke...?"

"Hahaha.. Apa la kau merepek ni Mik? Akh tu maksudnya saudara, lebih kurang. Kalau ustaz panggil akhi, maksudnya dia cakap 'saudara' la tu. Ala, lebih kurang dude, beb dengan mat la jugak..."

"Oohhh..."

"Tapi akh nie, istimewa, tak seperti panggilan yang lain. Apabila dipanggil akh, ia selalunya disertai dengan perasaan hormat dan kasih sayang. Sebab persaudaraan Islam tu berlandaskan aqidah, kerana Allah. Jadi status akh tu lebih best la daripada yang lain... Dan akh tu untuk seorang. Kalau ramai, dipanggil ikhwah."

"Oohhh..."

Aku mengangguk dan sedikit terlopong. Kagum agaknya dengan penjelasan yang diberikan.

"So, lepas ni boleh la aku panggil kau Akhi, ye Mik?"

"Boleh, ya akhi..!!"

Kami tertawa.

***

-gabbana-

19 Caci Maki Puji Muji:

Nisyana Abdul 05/01/2009, 03:31  

sukenye cerita part ke-3 ni!
sebab teringat balik masa awal-awal berusrah dekat u.k ni... pastu time2 g daurah...
keindahan ukhwah tu susah nak digambarkan kecuali kena lalui sendiri... :)
alhamdulillah...

Inche gabbana 05/01/2009, 05:57  

alhamdulillah... ;)

itulah yang penulis harapkan, agar kemanisan ikhwah itu dapat diterjemahkan sdikit sebanyak melalui penulisan yang tidak seberapa ini!!

jazakillah anis!!

Inche gabbana 05/01/2009, 06:22  

salah salah. kemanisan UKHUWAH!!! Hehehe..

Nisyana Abdul 06/01/2009, 00:35  

hehehe...
tu ah pelik gak...
tapi thinking u probably know better,,, i was thinking maybe ikhwah tu care org hebat2 sebut ukhwah...

huhu...

Inche gabbana 06/01/2009, 02:06  

hahahaha.. ngarut la anis nih.... xdenya hebat la.... =S

Anonymous 06/01/2009, 04:22  

bila baca part 3 nih mcm pelik sikit, yepp maybe xpenah join or refuse to join this kind of thing...hahahahahahahaha

terminology yg mungkin bukan cara saya dibesarkan....huhu, kekdg tu pelik, kenapa perlu ade terminology sebegini sedangkan bila dr kecik dibesarkan dengan rutin hampir setiap malam
di'paksa' mendengar ceramah para ustaz dan pendakwah di masjid....hehehs...kalau rela hati harus laaa haram nk g kan....lagi2 siaran tv kat rumah yg sgt best....kikikiki....

tp tiada pulak terminologi sebegini....kekdg tuh mcm baca skrip.... smp skrg saya tak faham

tp aku masih caya yg islam tu indah dan mudah

Inche gabbana 06/01/2009, 15:03  

maybe because u were forced to do things since small, that's why u lost ur interest to join this kinda thing.

tak kenal maka tak cinta...! ;)

p/s: terminology yg mcm mana tue eh?

Anonymous 06/01/2009, 17:49  

dipaksa pada permulaannya tak semestinya menjadi paksaan selama2nya....paksaan mungkin bukan perkataan yg tepat tp semuanya gimik si ibu dan ayah, tapi bila sudah setiap malam menjadi halwa telinga, pasti tiada lagi suruhan selepas itu...malah menjadi kebiasaan..:p

terminology? hehs, sy rs dalam cerpen tu dah cukop menunjukkan beberapa term2 yg dimaksodkan, realiti yg pernah saya join pun begitu, maaf jika keterlaluan, tp mudahnya term2 ini sy lihat sbg budayanya dan rs diri berpura2 jika menggunkannya sbb menjadi pembeda dgn yg lain.

Inche gabbana 06/01/2009, 19:13  

oh hahaha... ok ok...

terminology, maksudnya, ana, usrah, taaruf, akhi, ukhuwwah dan sebagainya? sebahagian besar perkatan ini sudah pun diterima sebagai bahasa melayu sendiri. ketahuilah bahawa bahasa melayu adalah bahasa yang miskin, dalam konteks jika hendak dibandingkan dengan bahasa yang lain. malah sebahagian besar daripada perbendaharaan kata bahasa melayu yang ada sekarang dipinjam dan diadaptasikan daripada bahasa arab, kerana tiada perkataan dalam bahasa melayu yang boleh menjelaskan secara lengkap sesuatu keadaan atau situasi.

ok, tu bab teknikalnya la. dari segi jalan penceritaan, uhm, mungkin jiran sebelah rumah kena rasa dulu usrah tu macam mana kot. cuba dulu, bukan mksdnya sekali dua, tp at least 6-7 seatings. setiap org mempunyai penerimaan yang berbeza, but once uve feel the kemanisan ukhuwwah, IAllah, u'll understand what im trying to convey in this story.

alahu a'lam.

Anonymous 07/01/2009, 01:54  

insyaAllah......mungkin tidak sama pandangan kita terhadap sesuatu, tp insyaAllah ukhuwah islamiah itu tidak akan membedakannya lagi....ke usrah atau tidak bukan pengukur, yakni semuanya masih boleh bersatu dah berkasih atas nama Islam.....heeee :p

Inche gabbana 07/01/2009, 04:07  

woah, sgt setuju dgn pendapat anda... ;) in fact, konsep usrah secara teknikalnya masih sgt baru, yakni apabila imam as-syahid hassan al-banna mengemaskinikan pelaksanaan dan cara pembawaannya, walaupun sebenarnya usrah sudah bermula sejak zaman rasulullah saw lagi.

cuma, usrah tu pemudah cara. sebab semua aspek2 penting ke arah pengukuhan ukhuwwah telah digariskan dengan jelas. lagi pun,ada naqib, yg tugas utamanya memastikan anak2 usrahnya sentiasa terjaga, baik lahiriah mahupun ruhiyah.. ;)

apa2 pon, terima kasih byk2 kepada jiran sebelah rumah, kerana sentiasa setia memberikan pendapat yang ikhlas dan jujur... =)

wallahu a'lam.

Anonymous 07/01/2009, 07:56  

konsep usrah itu sebenarnya molek, tetapi perlaksanaan yang membedakan itu yg perlu diambil pusing

ruang lingkup mereka yang ke usrah dan ruang lingkup mereka yang tidak mendatangi usrah sebegini terdapat ruang pemisah, tetapi pembedaan ini berlaku secara sangat minimum jika diambil kira dr segi umat islam sejagat. Persoalan yang sejak awal cuba saya sampaikan ialah kenapa adanya pembedaan ini?

Pembedaan ini kemudiannya dituruti dengan peng'label'an? siapa yg baik dan siapa yg tidak, kemudian wujud pula golongan yg merasakan dirinya lebih baik dari segelintir yang lain ataupun sebaliknya. Persoalan2 inilah yang bermain di kepala saya, kenapa ia perlu berlaku, ataupun hanya isu tempelan sahaja? Mungkin persoalan ini mampu membuat kita utk terus berfikir....dan xsalahkan kita berfikir?

maaf jika melanjutkan lagi komen, saya gemar berbeda pendapat kerana pada akhirnya saya akan trus belajar sesuatu yang baru.

Inche gabbana 07/01/2009, 15:12  

salam jiran sebelah rumah...

hahaha, anda memang peminat setia saya la... ;p

pertamanya, saya perasan yang saudara/i banyak menggnakan perkataan beda, perbedaan, membedakan... boleh saudara/i tolong elaborate dengan lebih jelas dari segi apakah atau dari sudut manakah berlakunya pembedaan ini?

saya amat bersetuju dgn pendapat saudara/i berlakunya amalan penglabelan di kalangan masyarakat kita. ini AMAT berbahaya dan tidak sihat. tiada siapa yang tahu siapakah yang mulia di sisi Allah melainkanNya. Dalam surah al-hujurat, Allah ada berfirman,

"...Sungguh yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa..." 49:13

For all we know, org yang x pergi usrah ni masuk syurga dulu berbanding kawannya yang ikut usrah. tidak timbul isu org yg pergi usrah jauh lebih baik daripada org2 yg x pergi. cuma, in most real cases, kita dpt lihat dgn jelas, byk perubahan +ve yang berlaku pada mereka yang mengikuti usrah secar istiqamah. =)

Umar al-Khattab r.a. menangis ketakutan, kerana risaunya timbul perasan ria' dalam dirinya, apabila turun ayat al-quran yang mengatakan pendapatnya adalah lebih afdhal berbanding yang lain tentang isu tawanan perang badar. nah! inilah yang kita mahukan! ikut resmi padi, lebih tunduk lebih berisi!

inilah yang cuba diterapkan dalam usrah; segala amalan dan perbuatan yang boleh mendekatkan lagi diri kita dgn Allah. betul, xde usrah pon, ini masih boleh dilakukan. tapi, melalui usrah, proses tarbiyyah itu lebih tersusun dan terjaga, sebab ada murabbinya yang sentiasa memantau progress anak2 usrahnya.

kan lebih baik belajar berguru daripada berseorangan? lagi pun, usrah ini sendiri membuka pintu kepada lebih byk perkara yang lain. cthnya, ukhuwwah sesama ahli usrah.

At the same time. bear in mind that nothing is perfect. begitu juga dgn pelaksanaan usrah, tiada yang sempurna. tambahan pula, naqib dan ahli2 usrah adalah manusia biasa, yg seringkali under influence of emotions and personal feeelings. this is utterly unavoidable...

well, that's all for now! again, i would like to thank you for your questions and curiosity. Saya setuju dgn saudara/i bahawa perbincangan sebegini amat produktif kerana ia in a way emmaksa kita untk berfikir secara lebih kritis.

jazakallah jiran sebelah rumah... ;)

allahu a'lam.

Anonymous 07/01/2009, 18:44  

i rest my case here dude, you talk merely on factual while im seeking arguments about the cultural context.....further argument isnt appropriate at all.

thank you for the new input you gave me, i really appreciate it....thnx a lot.

owh ya. i might be a fan of yours but not a fanatic one, not at all...:p

salam

Inche gabbana 08/01/2009, 00:48  

hahaha.. im so sorry. probably i didn't get at all where were you trying to go.

but i will always welcome similar discussion in the future. in fact, im looking forward for it! ;)

do read the next series of akhi yea?

salam.

p/s: well... at least u r a fan!! thts gud eniff meh... ;p

NALQAH 23/01/2013, 18:23  

Assalammualaikum..
Cerita yang hampir sama dengan saya..
Mengenali usrah daripada Video Ohsem di youtube masa zaman sekolah, dan masa di universiti classmate ajak tanpa bagi tahu apa-apa.. Alhamdulillah, akhirnya in love with usrah.. Meet akhawat.. Now i miss them.. :(

sha humaira' 17/03/2013, 04:42  

As Salam..

Erm,wahai en gabanna.. Kisah anda mengingatkan bgmana diri sy terjerumus ke lembah usrah.. dpt merasakan ruh itu ada di stp penulisan anda..

mungkin kerna cerita dan perwatakan kita hampir sama...

alhamdulillah kini lebih berkomitmen dgn usrah bwh Ikram s.alam.. heh heh heh...

terima kasih untuk setiap post dari anda... very the oseemmmmm........

syukran..

sha humaira' 17/03/2013, 05:10  

br le bc last episode..hahaha
igtkan ini cerita benar en gabbana..rupanya rekaan.. kwang kwang kwangggg........

budak sekolah 15/12/2013, 02:39  

-erm,saje jer la nak tau kan-

dekat sekolah-sekolah macam sbp gitu ar,pun ada usrah jugak ke...

kenapa sekolah saya tak de eyh?

dan benda ni(macam citer) betul2 ada ke?kenapa tak ppernah tau pun...

saja je nak tau...*_*

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP