12 November 2010

Kudis

AMARAN: Artikel ni pun panjang juga, ala-ala artikel Yong Yuk Chang. Tapi Insha-Allah tak rugi kalau baca habis. Moga bermanfaat! ;) Allahu a'lam...

***

Pak Hasim menggaru tangannya yang gatal.

Kruk kruk. Ohhh nikmatnya. Kruk kruk.

Pak Hasim tidak dapat menahan dirinya daripada menggaru. Sungguh gatal sekali kudis yang tumbuh di tangannya itu. Baru-baru ini dia sakit tangan. Dia sendiri tidak tahu punca sakit tangannya itu. Tidak berapa lama selepas itu, kudis pula timbul. Merata-rata. Bukan di satu dua tempat sahaja, malah empat, lima dan enam tempat yang berbeza. 

Macam beruk lagaknya Pak Hasim menggaru. Dia betul-betul tidak tertahan. Sekiranya dia cuba menahan diri daripada menggaru, nescaya akan mengalir air matanya, atau lebih teruk lagi perasaan seperti hendak terkencing dek kegatalan yang maha hazabnya. 

Kudisnya semakin menjadi-jadi. Mula-mula kulit tangannya menjadi kemerah-merahan sahaja, seperti ruam. Kemudian mula berbintik-bintik, macam jerawat anak muda remaja Sekolah Menengah Bukit Nanas. Ketika inilah kudisnya mula menjadi gatal. Kemudian kulitnya menggerutu, tak ubah macam katak puru Sungai Amazon.  Pak Hasim tidak tertahan lagi. Mulanya dia menggosok-gosok sahaja, dengan harapan rasa gatal itu akan segera hilang. Apabila tidak berjaya, dia mula menggaru perlahan-lahan, dengan jarinya. Dan apabila gatalnya tidak hilang, dia mula menggaru dengan kukunya. Aaaahhhh, sedap. 

Kruk kruk.

Tetapi gatalnya tidak mahu hilang juga. Kudisnya mula berair. Bernanah. Jijik. Dan berbau hanyir. Nak termuntah Mak Saonah melihatkan kudis yang melata pada tangan suaminya itu. Apabila tiba waktu makan, Mak Saonah akan duduk jauh-jauh daripada Pak Hasim. Kadang-kadang dia terpaksa menutup hidung dek bau kudis yang meloyakan. Dia cuba juga membantu dengan melumurkan bawang putih yang ditumbuk sehingga lumat. Namun kudis itu tidak juga reda. Malah semakin menjadi-jadi. Akhirnya selepas didesak, Pak Hasim ke klinik kerajaan 1Malaysia di pekan untuk mendapatkan rawatan.

Doktor Maimunah yang bertugas hari itu amat terkejut melihatkan keadaan kritikal Pak Hasim. Dia tidak pernah lagi melihat kes seteruk itu. Dia hairan kenapa Pak Hasim tidak mendapatkan rawatan lebih awal. Pak Hasim memberikan alasan tipikal; saya ingatkan tak apa-apa. Gatal-gatal biasa sahaja.

Doktor Maimunah hanya menggeleng kepala. Inilah perangai manusia, sudah terhantuk baru nak terngadah. Doktor Maimunah mengikis bahagian kulit tangan Pak Hasim yang sudah menggerutu dan rosak. Darah mengalir daripada luka-luka kikisan itu. Doktor Maimunah kemudiannya menyapu luka-luka itu dengan cecair antiseptik bagi mengelakkan jangkitan kuman. Kemudian dia mengarahkan pembantunya untuk membalut luka-luka itu dengan tampalan kain kapas.

Pak Hasim mengucapkan terima kasih kepada Doktor Maimunah. Dia pulang ke rumah dengan perasaan yang lega dan gembira. Lepas ni tak malulah lagi aku nak ke ke Kedai Kopi Si Itam itu! Pak Hasim menurut nasihat dan syor Doktor Maimunah dengan begitu berhati-hati sekali. Dia dibekalkan dengan ubat tahan gatal dan krim sapu yang perlu disapu pada kudis-kudisnya setiap malam sebelum tidur. Pak Hasim menuruti arahan yang diberikan dengan penuh taat sekali. Baca Quran sekali sehari pun tidak ditaati sebegitu rupa.

Tidak sampai seminggu kudis-kudis Pak Hasim mula surut dan akhirnya kulitnya pulih seperti sedia kala. Putih, gebu dan licin. Macam pakai losen Johnson & Johnson's. Mujarab sungguh ubat yang diberi Doktor Maimunah itu, walaupun klinik kerajaan sahaja, terdetik hati Pak Hasim yang cukup gembira dengan hasil rawatannya itu. Terima kasih Najib! Terima kasih 1Malaysia!

Beginilah Klinik 1Malaysia yang dikunjungi Pak Hasim bagi mendapatkan rawatan kulitnya. [Kredit Gambar]

Namun sakit tangan Pak Hasim masih tidak hilang. Dia masih mencari punca sakit tangannya itu. Namun dia buntu. Dia tidak dapat mengenalpasti punca atau sebab sebenar mengapa tangannya sakit.

Tidak lama selepas ubat dan krim sapu yang dibekalkan oleh Doktor Maimunah habis, kulit Pak Hasim gatal-gatal semula. Macam dulu-dulu juga. Mula-mula merah kemerahan seperti ruam, kemudian berbiji dan akhirnya menggerutu. Pak Hasim garu kepala. Dan menggaru tangannya.

Kruk kruk.

Kali ini dia tidak mahu tunggu lama-lama nanti lama-lama dia diambil orang. Eh. Apatah lagi setelah terpaksa memekakkan telinga mendengar cacian dan tohmahan daripada Mak Saonah. Pak Hasim terus bergegas ke klinik kerajaan 1Malaysia dengan motor kapcainya.

Kebetulan Doktor Maimunah juga yang bertugas pada hari itu. Doktor Maimunah berasa pelik, ubat yang diberikannya kepada Pak Hasim adalah ubat yang agak kuat untuk penyakit kulit seperti yang dihidapi oleh Pak Hasim. Kali ni dia melakukan diagnosis yang lebih teliti. Dia tidak menjumpai apa-apa yang luar biasa. Dia membuat andaian yang keadaan persekitaran Pak Hasim yang mungkin kotor dan tidak terurus menyebabkan masalah yang sama berulang lagi.

Kali ini Doktor Maimunah memberikan bukan sahaja ubat tahan gatal, malah ubat antibiotik juga. Dibekalkan juga krim sapu yang lebih kuat dosnya dan lebih besar bekasnya. Doktor Maimunah juga menyuntik Pak Hasim (walaupun Pak Hasim pada mulanya memprotes kerana takutkan jarum) dengan sejenis cecair istimewa untuk membunuh sebarang virus atau bendasing yang mungkin menjadi punca kepada penyakit kulit Pak Hasim itu. Dia juga menasihati Pak Hasim agar menjaga kebersihan dan mencuci pakaiannya dengan cecair Dettol yang boleh dibeli di pasaraya besar Billion dengan harga yang berpatutan. Kali ini Doktor Maimunah pasti yang kudis-kudis Pak Hasim tidak akan datang semula. Dia amat pasti dan berpuas hati.

Pak Hasim mengucapkan setinggi-tinggi perhargaan dan terima kasih kepada Doktor Maimunah. Dalam hatinya dia berasa berbangga kerana ada juga anak Melayu yang kelihatannya betul-betul mengambil berat dengan nasib orang tua kerepot sepertinya. 

Sebulan selepas itu, gatal-gatal kulit Pak Hasim datang semula. Berkudis, seperti dahulu juga. Pak Hasim tidak dapat menahannya, dan menggaru kulit tangannya dengan penuh perasaan nikmat tetapi bersalah pada masa yang sama.

Kruk kruk.

***

Kita dan Kudis
Rasa-rasanyalah, anda dapat kaitkan tak cerita urban legend ini dengan kehidupan kita sehari-hari?

Kitalah Pak Hasim; yang dibelenggu dengan pelbagai penyakit dan masalah sosial yang semakin bermaharajalela. Anak remaja yang rosak akhlak, rasuah seperti kewajipan dalam setiap urusan, perpecahan yang tidak dapat lagi dielakkan, jenayah yang semakin menjadi-jadi... Setiap hari kehidupan kita seolah-olah menjadi semakin teruk. Sepatutnya hari-hari yang mendatang lebih baik daripada hari-hari semalam, namun itu tidak berlaku.

Lama-kelamaan, dek masalah yang pelbagai variasi dan rupa yang tidak ditangani dengan segera, penyakit-penyakit sosial ini bertukar menjadi kudis. Kurap. Kadang-kadang kita cuba merawati kudis ini dengan cara sendiri; mungkin memarahi anak gadis yang selalu keluar malam, atau memberi nasihat kepada rakan sepejabat yang kelihatannya korup, atau menubuhkan rukun Tetangga bagi mencegah jenayah di kawasan setempat. Dan kita berpuas hati dengan tindakan kita. Kita rasakan yang kita telah mengambil tindakan yang sewajarnya. Sama seperti apabila kita menggaru kudis-kudis di tangan. Nikmat. Gatal yang mengacau jiwa hilang dek garuan yang beterusan. Kruk kruk.

Tetapi selesai masalahkah? Tidak. Kudis tetap ada. Gatal datang semula. Malah menjadi lebih teruk lagi. Kudis mula bernanah dan mengeluarkan bau longkang.

Kita lupa kudis yang mula merebak berada di mana-mana, bukan di satu bahagian sahaja. Maka apabila nasi sudah menjadi bubur ayam McD, kita pergi mendapatkan rawatan. Doktor yang merawat, melihat kudis sebagai penyakit sebenar, berdasarkan kenyataan dan aduan daripada pesakit. Maka doktor memberikan diagnosisnya dan memberikan ubat untuk menghilangkan kudis.

Berkesan? Ya, kerana doktor pastinya tahu punca kepada kudis-kudis itu bukan? Tidak semestinya. Doktor hanya bertindak berdasarkan pemerhatiannya, disokong dengan kenyataan si pesakit. Tidak lama selepas itu, kudis datang semula.

Lihatlah sekeliling anda. Masalah-masalah sosial yang melarat cuba dirawat oleh 'Si Doktor' dengan penyelesaian yang tidak menyeluruh, tidak melihat kepada punca sebenar penyakit yang berlaku. Maka tertubuhlah Sekolah Hamil, cadangan untuk memberikan kondom percuma kepada remaja (tidak hairanlah harga getah naik!), mengedarkan jarum suntikan percuma kepada para penagih dadah, menerapkan pendidikan seks di sekolah-sekolah. Berkesan? Ya, mungkin. Tetapi tidak lama. Kerana kita hanya menyelesaikan simptom kepada penyakit yang berlaku dan bukannya punca penyakit sebenar.

Bangga saya menjadi rakyat Malaysia! Rakyat negara lain mampu...?? [Kredit Gambar]

Dan kita berasa kagum dengan rawatan yang diberikan oleh 'si doktor' kerana kita rasakan dia lebih mengetahui dan layak untuk memberikan rawatan. Maka kita menyokong mereka. Kita biarkan mereka merawat kita. Tetapi kita lupa yang si doktor melakukan rawatan berdasarkan laporan dan aduan daripada kita. Mereka juga mempunyai batasan dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Lantas jadilah seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul; dua-dua pihak tidak mendapat keuntungan yang diharapkan. Lebih teruk lagi, kita hanyut dalam keasyikan dan kesungguhan kita menyelesaikan masalah yang tidak mungkin selesai, hanya kerana kita memilih cara yang kurang tepat. Nah! Kan sudah membazir tenaga, wang, masa dan fikiran kita di situ?

Pak Hasim sepatutnya mencari punca kepada sakit tangannya, kerana itulah punca sebenar kepada kudis-kudis yang tumbuh di tangannya. Kudis-kudis itu hanyalah simptom kepada penyakit sebenar yang dihidapi Pak Hasim. Sekiranya Pak Hasim membiarkan sahaja kudis-kudisnya itu dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap punca sakit tangannya itu, sudah pasti penawarnya akan dijumpai. Sakit tangan hilang, kudis pun hilang!

Menyelusuri Sirah Nubuwwah
Melihat kepada kaedah Nabi SAW dalam menyelesaikan masalah yang berlaku di dalam masyarakat Arab Jahiliyyah, kita pasti akan menemukan dengan penawar yang paling mujarab dan berkesan untuk merawat penyakit sosial yang berlaku.

Nabi SAW tidak terus ke pusat-pusat zina di Mekah dan menghambat penzina tegar dengan bambu dan sebagainya. Baginda SAW tidak terus melancarkan operasi menghancurkan gudang-gudang arak dan membakar pusat-pusat judi di Mekah. Baginda SAW tidak juga mengarahkan para sahabat r.a. yang ada bersama-samanya untuk menghancurkan berhala-berhala Lata, 'Uzza dan Sam yang begitu banyaknya di keliling Kaabah. Memang ada, tetapi bukan ketika peringkat awal dakwah Islam berlaku di tanah Arab.

Jadi apakah yang dilakukan oleh Nabi SAW? 

Aqidah. Baginda SAW mengajak para sahabat r.a. dan sesiapa sahaja yang mahu mendengar risalah yang dibawanya, supaya membebaskan diri mereka daripada perhambaan sesama manusia dan perhambaan kepada dunia material, dan menghambakan diri mereka kepada Tuhan yang satu; Allah 'Azza Wajalla. Dan apabila mereka dapat menerima konsep ini dengan sepenuh hati, taat sepenuhnya kepada Allah dan RasulNya, barulah Nabi SAW mula menyuruh mereka meninggalkan arak, melarang judi, melarang mereka memakan babi dan bangkai, menutup aurat dan sebagainya.

Nabi SAW merawat punca sebenar penyakit masyarakat ketika itu, barulah baginda SAW merawat simptom-simptom penyakit yang lain. Subhanallah.. Setelah masyarakat bangun daripada lena mereka, mula faham tujuan utama mereka dijadikan sebagai manusia di bumi Allah ini dan sedar mereka ada tanggungjawab yang lebih besar daripada makan, tidur, bekerja, kahwin dan bersuka ria, barulah masalah-masalah lain yang membelenggu dan menghantui masyarakat ketika itu dapat diselesaikan. Yalah, penyakit utama dapat disembuhkan, kudis dan kurap pun hilanglah!

Dan kesannya? Jika ketika itu sudah ada ijazah kedoktoran, pasti baginda SAW sudah pun menerima ijazah dan penganugerahan yang tertinggi kerana baginda SAW berjaya menyelesaikan  dan merawat kudis dan kurap yang dihidapi oleh masyarakat ketika itu dengan begitu berkesan sekali! Bayangkan, sebelum datangnya Islam, kejahilan masyarakat Arab jahiliyyah begitu terkenal dan menakutkan sekali sehinggakan dua empayar besar ketika itu, Rom dan Parsi tidak mahu campur tangan dalam sebarang urusan di tanah Arab ketika itu. Barbariknya masyarakat Arab jahiliyyah ketika itu sehinggakan kehidupan mereka tidak ubah seperti binatang, malah lebih teruk lagi.

Kedatangan Nabi SAW membawa cahaya baru kepada masyarakat Arab jahiliiyah. Baginda SAW merawat dan mendidik mereka, membentuk dan mentaujih mereka, sehinggakan mereka berjaya diuabh dan mengubah dunia. Walaupun Nabi SAW tidak berkesempatan melihat gahnya empayar Islam suatu hari nanti, para sahabat r.a. meneruskan legasi baginda SAW, menggunakan metod dan kaedah yang sama dalam merawat dan mendidik masyarakat. Dan nah! Islam gah di mata dunia sebagai professor, ustaz kepada alam.

Namun, kaedah Nabi SAW semakin dilupakan. Kaedah baginda SAW kini dilihat sebagai jumud, ketinggalan zaman dan tidak mungkin dapat diaplikasikan pada era moden ini. Benarkah begitu? 

Rahmat Seluruh Alam
Sekiranya Nabi SAW hanya diturunkan untuk orang Arab dan hanya relevan untuk zaman purbakala sahaja, maka nescaya Allah akan menurunkan nabi dan rasul lagi selepasnya. Tetapi baginda SAW adalah khatimul anbiya', penutup bagi segala nabi dan rasul. Lebih utama lagi, baginda SAW adalah rahmat untuk seluruh alam.

“Tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi Rahmat bagi sekalian alam.” 
Surah al-Anbiya', 21:107

Maka, sekiranya baginda SAW diturunkan sebagai rahmat untuk seluruh alam, pastinya baginda SAW juga adalah rahmat untuk kita pada hari ini. Ya, baginda tiada lagi bersama-sama kita pada hari ini. Tetapi ajarannya, legasinya masih segar dan utuh bersama-sama kita dalam bentuk al-Quran dan as-Sunnahnya.

Terpulang kepada kita sama ada kita mahu mengambil kaedah dan metod yang digunakan baginda SAW dalam merawat kudis dan kurap yang berleluasa di kalangan masyarakat. Telah terbukti cara yang digunakan dan diaplikasikan baginda SAW amat berkesan. 

Adakah Doktor Maimunah dalam kisah Pak hasim tadi boleh disalahkan kerana gagal merawat dengan Pak Hasim dengan sempurna? Ya, sebahagiannya, tetapi bukan salah Doktor Maimunah sepenuhnya. Doktor Maimunah bersalah kerana tidak memberikan diagnosis yang relevan dan sesuai dengan punca sebenar penyakit Pak Hasim. Tetapi, salah Pak Hasim sendiri kerana tidak menceritakan kepada Doktor Maimunah tentang sakit tangannya. Salah Pak Hasim kerana tidak bersungguh mencari punca kepada sakit tangannya itu. 

Maka suka atau tidak, salah kitalah sebagai anggota masyarakat yang membiarkan masalah sosial terus berleluasa. Kita sering merungut kerajaan tidak melakukan ini dan itu, tidak bersungguh-sungguh dalam mengatasi masalah yang ada. Tetapi apa peranan kita? Sudahkah kita memainkan peranan kita dalam sama-sama membanteras penyakit sosial yang sudah mula menjadi barah ini? Di mana kita ketika anak-anak muda remaja semakin hari semakin rosak, leka dan hanyut dengan keseronokan dunia? Di mana kita ketika pemandu-pemadu teksi dan polis-polis trafik meminta duit kopi? Di mana kita ketika jenayah rogol, ragut, pecah rumah dan macam-macam lagi begitu berleluasa?

Jadilah seperti Nabi SAW dan para sahabatnya, yang pada peringkat awal terpaksa membiarkan kudis-kudis itu merebak, kerana mencari dan merawat punca sebenar kepada penyakit yang menyerang masyarakat. Dan mereka berjaya.

Jom kita teruskan legasi Nabi SAW jom! ;) [Kredit Gambar]

Anda tidak mahu menjadi pemutus kepada mata rantai dakwah yang telah dimulakan Nabi SAW bukan..?? Maka apa lagi..? Ayuh! 

-gabbana-

Kredit untuk Akh Amir Syahir atas analogi kudis ini. Jzkk ya akh! ;)

13 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 12/11/2010, 13:14  

revolusi yg dibawa nabi adalah revolusi aqidah..bukan revolusi moral....

benar.. kate saudara aqidah lah puncanya.. aqidah yg salim akn melahirkan luaran yang salim juga..akhlaknya,ibadahnya..etc.

cth, masalah social..bila tiadanya perasaan malu utk membuat dosa dan maksiat.. sebab apa tiada malu sebab imanya yg sgt2 rendah. bila iman tak mampu lagi menjadi neraca maka nafsulah yang menunjuk cara.

peliknya kita merawat symptoms bukan "root cause" maka sampai bila2 a akn terus menjadi masalah yg tak sembuh2. wallahu 'alam

Syariful Bahri 12/11/2010, 13:56  

wah, analogi baru..!
saya agak teraddicted apabile terdengar analogi² ni.. hehe

jzklh khair akhi :D

Inche gabbana 12/11/2010, 14:33  

anonymous, spot on. =)

sbb tu dakwah 13 tahun di mekah, baginda SAW mmg fokus ke arah pembinaan aqidah je! sahabat kena bgn solat malam, bila diseksa mereka disuruh sabar sahaja dan etc. semuanya untuk mebina dan memantapkan aqidah mereka.

dan seperti yang anda sendiri katakan, daripada aqidah yg salim, lahirlah iman yang mantap, diterjemahkan melalui kata2 dan perbuatan..

terima kasih anonymous! ^^

Inche gabbana 12/11/2010, 14:33  

hehe.. bagus bagus. moga bermanfaat! ;)

oh, ada sedikit penambahbaikan pada artikel ni. kalau rajin bacalah balik semula ye..? hihih..

Mohammad Aiman 12/11/2010, 14:50  

blog abang sering menjadi inspirasi saya, untuk update. haha,, thanks,

nice post oh.. contoh kehidupan yang menarik.. lain kali kaitkan ngan penyakit best2 skit.. yg nampak lagi gnas... barah ke, kanser ke.. haha

Muhamad Zaki Zafir 12/11/2010, 16:09  

nabi kata antara tanda2 kiamat juga ialah manusia berzina di jalanan.dan kita nampaknya sedang menuju ke arah itu.terlalu banyak dah bayi yg dibuang sekarang ni.

nak harap mereka yg memimpin,payah.tak boleh ditutup pusat hiburan, kerana itu akan menjadi antara punca pendapatan negara akan datang atas nama transformasi ekonomi.masyallah.

Anonymous 12/11/2010, 18:31  

betul2..13 thn menyemai cinta kpd Allah sehingga cinta itu mampu menjadi penguat buat sahabat2.. dan apabila cinta Allah itu no. 1 maka segalanya bisa andai Allah yg suruh...segala yg Allah benci akan ditempis..dan bila kekuatan aqidah itu sudah mantap maka yg luarnya akn mudah di settlekan.. sama juga mcm peristiwa penurunan wahyu ttg pengharaman arak.

bila membuat refleksi semula.. Allah itu yg sangat sweet telah menerangkn kpd kita sebijik2 ttg punca "penyakit kudis itu" dan cara nak cure tapi yg peliknye kita sibuk nk cara cara lain yg sah2 tak mujarab..

SN 12/11/2010, 19:09  

mula2 bace post ni:

geliiiiiii laaaa....citer pasal kudis~~~!!

lepas abes bace:

skrg ni pon kite hidop bergelumang dlm "kudis...kurap...ect..ect"

pas tu x kn nak dok diam jeeee....
kene la start merawat punca sebenar penyakit....! (pesan kat diri sendiri gak)

suke analogi ni...sesuai ngan sy yg geliiii dgn penyakit kulit~~~
~SN~

Inche gabbana 13/11/2010, 00:35  

aiman: terima kasih kerana terus setia membaca. pembaca setia dan sapotif seperti andalah yg terus menjadi inspirasi buat saya untuk teru menulis! ;)

Inche gabbana 13/11/2010, 00:37  

zaki: kalau ikutkan, tanda2 kecil qiamat semua dah berlaku dah. tinggal tanda2 yg besar je.

tapi manusia di sekeliling buat bodo je, tak sedar2 yg dunia sudah sampai ke penghujungnya.. astaghfirullah... moga allah melindungi kita semua daripada tergolong di dalam golongan yg dicelaNya, nau'dzubillah..

Inche gabbana 13/11/2010, 00:38  

anonymous: enuff said. ;)

kita mencari-cari petunjuk dan jalan, sedangkan kitabullah sudah berada di depan batang hidung.. ^^"

Inche gabbana 13/11/2010, 00:39  

SN: hahaha. lucu la anda ni. gembira kerana analogi ni memberi kesan kepada anda. ;)

jom sama2 kita tingkatkan kapasiti diri kita supaya kita dapat rawat punca kudis yang sudah merebak ni!

langit cerah 29/12/2011, 19:00  

salam...masyaallah..best la cte n analogi ni..x nyesal follow blog ni!..tahniah..^^

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP