26 August 2011

Bertemu Mak Cik Laila dan Pak Cik Qadar

[Kredit]

Malam ini malam yang keduapuluhtujuh dalam bulan Ramadhan. 

Mengikut hadith-hadith yang sahih, Lailatul Qadr, malam yang lebih baik dari seribu bulan, akan muncul pada malam-malam ganjil sepuluh malam yang terakhir dalam Ramadhan.  

“Adalah Nabi SAW biasa mencari Lailatul Qadar pada 10 malam yg terakhir.”  

[Hadith Riwayat Bukhari]

“Adalah Nabi SAW mencari Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil di 10 hari terakhir.” 

[Hadith Riwayat Bukhari]

Ada juga pendapat yang mengatakan Lailatul Qadr akan berlaku apda malam keduapuluhtujuh dan keduapuluhsembilan. Tapi secara peribadinya saya lebih selesa untuk berpandukan pada dua hadith di atas.

Malam keduapuluhsatu, duapuluhtiga dan duapuluhlima sudah pun berlalu. Adakah kita sudah terlepas malam yang sungguh ajaib ini? Allahu a'lam, hanya Dia dan orang-orang yang sudah pernah bertemu dengannya sahaja yang tahu. 

Tetapi yang pasti, kita masih ada dua lagi peluang untuk bertentang dua mata dengannya; malam ini dan Ahad malam Isnin ini.

Betapa besarnya hikmah Allah merahsiakan tarikh sebenar malam yang pernah dengan keberkatan ini. Itu pon sudah diberi jawapan bocor oleh Rasulullah SAW; carilah malam tersebut pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh malam yang terakhir. Kira tak aci jugak lah.

Dengan terahsianya tarikh sebenar malam ini, orang-orang yang bersungguh-sungguh memburunya pasti akan melipatkaligandakan usaha dan operasi dalam menjejak malam ini (Orang yang langsung takde niat atau impian untuk bertemu dengannya, tidak perlu disebut di sini kerana mereka sungguh hampagas cap Sanyo sekian terima kasih). Rahsianya tarikh malam yang lebih baik dari seribu bulan ini, menjadi motivasi dan pemberi semangat kepada mereka yang benar-benar rindu untuk bertemu dengannya. 

Samalah seperti mana ketika kita menghadapi peperiksaan. Kebanyakan daripada kita hanya pulun sampai lebam di saat-saat akhir peperiksaan, betul kan..? (Anda yang menjawab "Mana ada, aku tak pon..!", sama ada anda seorang yang sumpah jinius atau anda skema tahap Tekisugi).

Cuba kalau tarikh peperiksaan tak diumumkan secara rasmi; hanya petanda-petanda tertentu yang diberikan. Contohnya, Kementerian Pelajaran mengumumkan SPM akan berlangsung pada hujung bulan November dan awal bulan Disember tanpa menyatakan tarikh sebenar peperiksaan tersebut.

Anda rasalah, para pelajar yang akan mengambil peperiksaaan tersebut, mereka akan lebih bersedia dan pulun tahap dewa atau mereka buat tak kisah sahaja...?

Atau seorang cikgu yang masuk ke dalam kelas dan berkata, "Minggu depan ada ujian mengejut WAKENABEB dan ujian ini akan menentukan sama ada anda akan menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara atau pun tidak dan siapa dapat markah tertinggi akan dapat sebijik kereta BMW X5 maka sila bersedia heyy!" 

Anda rasa-rasalah, adakah para pelajar cikgu tersebut akan buat dono hai-hai bai-bai atau mereka akan tercirit-cirit melakukan ulangkaji untuk mendapat markah ekstra bonanza untuk peperiksaan tersebut?

Malangnya, ramai daripada kita yang tidak menghargai kelebihan yang Allah tawarkan pada Lailatul Qadr ini.

Bayangkan, hanya dengan beramal untuk satu malam, ganjaran yang kita perolehi seolah-olah kita beramal untuk 1000 bulan! 

Apa..? Anda masih tak nampak signifikannya...??

Mari saya tunjukkan anda sifir mudah Lailatul Qadr:

1 malam = 1000 bulan
1000 bulan = 83.3 tahun
Purata jangka hayat seorang manusia = 72-75 tahun
Beribadat pada satu malam di Lailatul Qadr = Beribadat sepanjang hayat...!!

Walaweh!

Bagaimana..? Sudah teruja..? Kalau masih belum rasa teruja sila hentakkan kepala anda pada meja di depan anda denga penuh bersemangat dan sekaut hati. 

Dan oh, hebatnya Lailatul Qadar, hanya orang-orang tertentu sahaja yang diizinkan oleh Allah untuk bertemu denganNya. 

Orang yang bagaimana? Anda bertanya sambil menggaru kepala yang banyak ketombe itu.

Sudah tentu untuk orang-orang yang sudah mempersiapkan diri SEPANJANG bulan Ramadhan. Yalah, masakan kita boleh bertahan untuk berjegil mata sepanjang malam pada sepuluh malam yang terakhir, kalau kita tidak awal-awal lagi berlatih bukan..?

Bagaimana kita mampu bertahan untuk marathon tilawah dan tadarus al-Quran kalau kita tidak berjogging tadarus dahulu pada dua puluh malam yang pertama?

Bagaimana kita mahu membiasakan diri untuk beri'tikaf dimasjid, mahu menyambut kehadiran Lailatul Qadr kalau awal-awal lagi kita begitu culas dan malas tahap beruang koala untuk berjinak-jinak dengan masjid..?

Pendek kata, Lailatul Qadr hanya untuk mereka yang benar-benar sudah bersedia! Masakan tidak! Malam yang begitu hebat pastinya untuk orang-orang yang hebat juga..! Osem! 

(Air mata mengalir laju kerana rasa diri ini terlalu hina dan tak layak...)


Malam yang luar biasa ini Allah khaskan untuk para Super Saiya sahaja..! [Kredit]

Kerana itulah bulan Ramadhan digelar madrasah tarbiyyah; tarbiyyahnya berlaku sepanjang bulan dan bukan hanya pada sepuluh malam yang terakhir.

Maka beruntunglah untuk anda yang telah awal-awal lagi menggunakan gear lima; pastinya sekarang anda dalam mode memecut gear sepuluh! Kerana peluang untuk anda menyambut, mempersilakan masuk dan melayan dengan sungguh osem Makcik Laila dan Pakcik Qadar adalah amat tinggi sekali..!

Fastabshiru! Bergembiralah kepada anda yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah dengan bertentang dua mata dengan Lailatul Qadr! Allah redha dengan amalan anda untuk sepanjang bulan Ramadhan dan Allah mahu menggembirakan anda yang telah bersungguh-sungguh, ikhlas dan ihsan sepanjang Ramadhan!

Kepada anda yang baharu terasa seperti dihentak kepala dengan membaca post ini, jangan kechiwa. CUBA LAGI TAHUN HADAPAN..! Wahahaha.. Eh.

[Nota kecil: Kalaulah diizinkan Allah untuk berjumpa dengan Ramadhan tahun hadapan en..? Air mata bercucuran deras.]

Dan oh, kepada anda yang cukup bertuah untuk menjadi tetamu Allah, mendapat penghormatan menjadi tuan rumah kepada Makcik Laila dan Pakcik Qadar, tolong jangan lupa untuk mendoakan kami juga ya..??

-gabbana-

Allahumma balighna Lailatul Qadr.. Eh boleh ke..? Huhu.. 

Moga Allah memilih kita untuk menjadi tetamu istimewaNya! Amiiiiiinn!

7 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 26/08/2011, 16:30  

T_T

yui 26/08/2011, 18:19  

ya... cuba cari selagi terdaya...

a d i n 26/08/2011, 19:13  

salam ya inche gabbana, mohon share bole? =)

MuNie 27/08/2011, 08:18  

doa last yang.... =_='

Inche gabbana 31/08/2011, 10:03  

yui92: saya rasa mcm sy tak berjaya jumpa je.... TTT____TTT

Inche gabbana 31/08/2011, 10:04  

adin: go ahead bro. sorry lmbt respond! gugugug..

Inche gabbana 31/08/2011, 10:04  

munie: kenapa =__='? care to explain..?

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP