19 August 2011

Sedekah Cinta #2

[Kredit]

"Mak, mak! Malam ni kita berbuka apa...??"

"Eeehhhm. Mak tak tau lagi. Aiman nak makan apa..? Cuba Aiman bagi idea sikit." 

Si ibu memandang anaknya dengan penuh rasa cinta dan sayang. Diusapnya rambut kerinting anaknya itu. Lembut.

"Ehhhm..."

Aiman memandang ke atas, sambil meletakkan jari telunjuk kanannya di dagu. Seperti orang dewasa yang sedang berfikir lagaknya.

Si ibu tertawa kecil. Comel. 

"Aiman rasa nak makan gulai masak lemak la mak. Gulai lemak cili api. Daging salai gulai lemak cili api! Nyam nyaaammm! Gulai lemak mak dahla yang paling sedap kat dunia ni...! Boleh tak mak...??"

Terliur Aiman apabila menyebut perkataan gulai lemak cili api.

Si ibu memang sudah boleh mengagak lauk itulah yang akan dipinta anak tunggal kesayangannnya itu. Tetapi sengaja mahu diusik anaknya itu.

"Ala Man, takkan gulai masak lemak lagi..? Dua hari lepas dah makan gulai lemak kan..? Lagi pun, malaslah mak nak perah kelapa.."

"Alaaaa.. Mak... Aiman teringin sangat nak makan gulai lemak daging salai.... Hari tu punya gulai lemak ikan sembilang! Lain..! Ikan sembilang duduk dalam sungai, lembu atas darat! Rasa dia mesti lain jugak..! Maaakkk...."

Mahu tertawa besar si ibu melihatkan teletah anaknya itu. Dengan mata bulatnya yang bersinar-sinar, si ibu mengangkat bendera putih. Begitu cepat!

"Ok ok, Aiman punya pasal, mak masakkan. Tapi Aiman kena tolong mak ke Kedai Pak Sarip, belikan kelapa. Boleh..?" 

Si ibu memujuk sambil mencubit-cubit pipi tembam anaknya itu.

"Ok beresssss...!"

Diberikan anaknya tiga keping duit kertas seringgit. 

"Man, belikan gula sepaket sekali. Gula dah nak habis dah ni. Kamu la ni, sapa suruh manis sgt..!"

"Haha.. Ok mak!"

Aiman melangkah, menuju ke pintu.

"Man..!"

"Ye mak..?"

"Aiman lupa sesuatu..?"

Si ibu menunjukkan pipinya, sambil tersenyum manja.

Si anak tersenyum, kembali ke pangkuan ibunya, dan menghadiahkan satu kucupan mesra di pipi ibunya.

"Satu je..? Sebelah sini tak nak..?"

Si ibu mengusik.

"Mak, orang puasalah! Tak boleh cium banyak-banyak, nanti batal..!"

Si ibu tertawa lagi. Hai intan permata, buah jantung hatiku.

"Semekom mak. Nanti jumpa lagi.." 

"Wa a'laikumussalam.."

Si ibu berdiri di pintu, melihat anak kesayangannya menyarungkan selipar, kemudian berjalan riang menuju ke kedai Pak Sarip di hujung kampung. Tidak sehingga Aiman hilang dari pandangan, baharulah si ibu masuk menutup pintu dan masuk semula ke dalam rumah.

Sambil menunggu kepulangan anaknya, si ibu mengemas-ngemas ruang tamu rumah. Dipukul-pukulnya bantal sofa di pahanya. Disusun majalah-majalah kereta milik suaminya. Tetapi entah mengapa, dirasakannya cukup mengantuk pada hari itu. Dia hampir sahaja terlelap ketika sedang membongkok untuk mengelap meja teh di tepi sofa.

Dia lantas berbaring di atas sofa. Terlelap.

Dia bermimpi yang cukup aneh sekali siang itu.

Dia sedang sarat mengandung ketika itu. Berseorangan di tengah padang pasir. Dipandangnya kiri, dipandangnya kanan, tiada apa-apa melainkan butiran pasir yang luasnya seluas mata memandang. Dia berjalan dan berjalan. Mencari arah tujuan.

Tiba-tiba datang seekor burung helang yang besar, hinggap di perutnya yang buncit itu. Dia terkesima sehinggakan tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Helang itu merenung dalam matanya. Kemudian burung itu mematuk-matuk perutnya itu.

Dia mengerang, menjerit kesakitan. Dengan sekuat hati, dia memukul burung itu dengan segala kudrat yang ada. Burung itu lantas terbang melarikan diri. Namun sebelum itu, sempat dia melihat, burung itu sedang menggigit sebutir berlian ketika melarikan diri. Kilauan berlian yang memantulkan sinaran matahari cukup menyilaukan matanya.

Dan kandungannya juga tiba-tiba hilang, seolah-olah dibawa lari oleh si helang. Dia kaget. Dia meraba-raba perutnya. Kempis. Tiada lagi bonjolan yang menandakan ada makhluk di dalamnya. Dia lantas berlari cemas. Memanggil-manggil helang tadi supaya kembali semula ke sisinya. Dia berlari. Dan berlari. Tiba-tiba dia terlanggar batas pasir yang besar. Dia tersungkur jatuh. 

Terjaga.

Astaghfirullah...

Si ibu mengelap peluh di dahinya. Dilihatnya jam di dinding. 12.43 tengah hari. 

"Aiman...? Aiman...? Kamu dah balik ke...?"

Dia bingkas duduk. Mimpi aneh tadi masih segar dalam ingatannya.

"Aiman...?"

Mana pulak pergi budak ni, getus hatinya. Ah, ke rumah si Leman tu agaknya. Biarlah. Duduk di rumah pun tiada apa yang hendak dibuatnya...

***

Seluruh kampung dikerah untuk mencari Aiman. Sehingga petang tadi, kelibat Aiman langsung tidak kelihatan.

Kali terakhir Aiman dilihat adalah ketika dia berjalan meninggalkan Kedai Pak Sarip, memegang plastik merah berisi kelapa parut dan sepaket gula kasar.

Tidak jauh dari Kedai Pak Sarip, plastik itu ditemui beserta isi-isinya, tetapi tidak pemiliknya.

Petang tadi, riuh sekampung apabila si ibu menjerit-jerit, terlolong-lolong memanggil anaknya itu. Seperti orang gila lagaknya.

Kini si ibu di rumah, ditenangkan oleh penduduk kampung. Dua tiga kali dia jatuh pengsan.

Si ayah bersama-sama dengan penduduk kampung, bersama bantuan beberapa orang anggota polis dari balai yang terdekat sedang giat melakukan kerja-kerja mencari. 

Sehari. Dua hari. Tiga hari. Aiman masih belum ditemui. Berhari-hari. Aiman masih belum berjaya ditemui.

Kehilangan Aiman mendapat liputan meluas media massa. Sehinggakan menteri juga turun padang, menunjukkan rasa simpati terhadap si ibu dan si ayah. Menteri menawarkan bantuan di peringkat pusat untuk menggerakkan operasi mencari Aiman.

Aiman kini menjadi selebriti. Wajah comelnya terpampang bukan sahaja di dada-dada akhbar, tetapi di seluruh negara dengan poster-poster yang meminta orang ramai memberikan sebarang maklumat tentang kehilangan Aiman.

Si ibu semakin tidak bermaya. Dirasakan dirinya seolah-olah bermimpi. Masih segar kucupan mesra Aiman di pipinya. Masih terasa kekejalan pipi Aiman dicubitnya. 

Si ayah juga hilang keruan. Anak tunggalnya hilang entah ke mana. Sudah bermacam-macam usaha dilakukan, Aiman masih gagal ditemui. Sudah berpuluh-puluh tok bomoh yang ditemui, namun kehilangan Aiman masih menjadi misteri. 

Sebulan.

Lima bulan.

Setahun.

Tiga tahun.

Kisah Aiman semakin dilupakan penduduk kampung. Operasi mencari Aiman juga telah dihentikan. Di kalangan penduduk kampung, tersebar khabar angin yang Aiman telah dibawa ke negara sempadan untuk dijadikan budak peminta sedekah. Tidak kurang cakap-cakap yang Aiman diculik oleh puteri bunian. Ramai juga yang mengatakan Aiman sudah mati, dibunuh dan ditanam penculiknya.

Namun si ibu dan si ayah tidak pernah berputus-asa. Sudah kering air mata si ibu, tetapi harapannya masih kuat, Aiman akan ditemui. Selagi tiada bukti yang Aiman sudah mati, itu tandanya dia masih lagi bernafas. Sebagai pengubat rindu, setiap hari dia akan menatap gambar anaknya itu. 

Setiap hari dia akan melekapkan wajah Aiman pada pipinya, seolah-olah si anak sedang menciumnya.

Setiap hari dia akan membuka almari, menyelongkar semua pakaian anaknya, menciumnya, melipatnya semula dan menyimpan kembali pakaian-pakaian tersebut. 

Dan setiap hari dia tidak pernah lupa berdoa supaya Allah akan mempertemukannya kembali dengan Aiman.

"Semekom mak. Nanti jumpa lagi..." 

Aiman, mak rindu Aiman. Rindu sangat. Aiman tahu tak mak rindu Aiman...?

"Ktttiiingggg...!"

Bunyi berdesing beberapa keping duit syiling yang masuk ke dalam kole besinya mengejutkan wanita tua itu dari lamunannya. 

Didongaknya, kelihatan seorang anak kecil tersenyum mesra di hadapannya.

"Terima kasih nak..." 

Dikesatnya air mata yang jatuh berlinangan. Sebak.

bersambung...

12 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 19/08/2011, 11:13  

aduh, bersambung lagi. sampai kapan niii. haha

part burung helang tuh real betul. berlian oh berlian.

pemotong setim 19/08/2011, 11:45  

mcm dah boleh agak je ending nya T__T

ch!natsu 19/08/2011, 13:24  

bule tak ending bg dia jmpe aiman blk? huhu sedey.. T_T

menunggu 19/08/2011, 16:11  

yossshhhh..!!why why??
penat ai skrol. adess..

theonewhospilthekopi 19/08/2011, 19:58  

panjangnya..tp..erkk...

Zulkifli 19/08/2011, 21:02  

Encik Gabbana. Please please please please please please please please please please please please bagi mak die jumpe aiman balik. Time kasih! :)

Inche gabbana 21/08/2011, 10:41  

enonimus: kena ah bersambung.. kalau tak anda semua tak baca nnt... hihihi..

Inche gabbana 21/08/2011, 10:42  

pemotong setim: haish, jgn yakin sgt. anda pasti terkezut tenggiling nnt..! wahahahaha.. eh.

Inche gabbana 21/08/2011, 10:42  

ch!natsu: kalau tak bleh camne..? hohoho..

tunggu je la eh..? ;)

Inche gabbana 21/08/2011, 10:43  

menunggu: hihihih.. *Gelak sopan tutup mulut*

Inche gabbana 21/08/2011, 10:43  

theonewhospilthekopi: erk..? knapa erk...? o__O

Inche gabbana 21/08/2011, 10:44  

zulkifli: uish, sampai 12x please nih, dh desperate sgt dah nih..! hihihi..

tgk je la camne nnt ye..? ^^

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP