28 August 2011

Sedekah Cinta #3.3: Finale (Tisu Kotak Premier)

Nota penulis: Alhamdulillah, dapat juga saya sudahi siri akhir kepada karya Sedekah Cinta. Kepada yang sudah lama menunggu, maaf kerana menyebabkan anda sakit jiwa. Heh.

Kepada ada yang bakal merah mata atau dibaling pinggan kerana meraung di tengah malam tak tentu pasal, penulis sama sekali tidak akan bertanggungjawab.

Semoga bermanfaat untuk hari-hari terakhir Ramadhan anda.

***

[Kredit]

Air matanya diseka lagi.

Anak kecil di hadapannya itu benar-benar menyentap naluri keibuannya. Melihatkan wajah comel anak itu sahaja sudah membuatkan hatinya benar-benar sebak. Dan topi berwarna ungu yang dipakai si cilik membuatkan air mata wanita tua itu mengalir laju.

***

"Mak, Aiman nak baju raya kaler ungu tahun ni boleh..?"

"Ungu..? Kenapa Aiman nak kaler ungu? Merah la cantik. Baju kurung mak kaler merah tahun ni. Aiman pakai merah jugak eh?"

"Ala mak. Merah tu kaler untuk pompuan la..! Aiman lelaki! Lelaki macho mana pakai kaler merah..!"

"Haha.. Apa pulak. Baju melayu abah pun kaler merah jugak tahun ni. Abes tu abah kamu tak macho...??"

"Ish mak ni... Alaaaa.. Aiman tak kira, Aiman nak ungu jugak..! Ok mak...??"

Aiman berlari mendapatkan ibunya, terus dicium pipi ibunya berkali-kali.

Politik, dan selalunya berjaya. Si ibu hanya tertawa gembira. Diusapnya rambut anaknya itu.

"Ok la Man. Ungu pon ungu la. Tapi ada satu syarat..!"

Aiman mulanya tersenyum besar, kemudian berkerut dahinya mendengarkan perkataan 'syarat.'

"Ala mak ni, bersyarat-syarat pulak. Syarat apa mak..?"

"Aiman kena puasa penuh tahun ni. Tak boleh lagi curi-curi minum air tempayan. Tak boleh lagi curi-curi makan rambutan belakang rumah tu. Boleh Man...??"

Aiman memuncungkan mulutnya. Lama juga dia berfikir. Kemudian terukir senyuman nakal pada bibirnya.

"Ok boleh!"

"Betul ni Man..? Janji..??"

"J.A.N.J.I. Janji...!"

"Mak pun janji jugak, kalau Aiman puasa penuh, mak akan buatkan baju melayu kaler ungu untuk Aiman..??" 

Si ibu tersenyum

"J.A.N.J.I."

***

Janji. Wanita tua itu berbisik perlahan. Digenggam erat baju melayu berwarna ungu yang kini dibawanya ke mana-mana, sebagai ingatan kepada Aiman.

Selepas kehilangan Aiman, keluarga wanita itu tidak lagi seperti dahulu. Razali, suaminya, begitu tertekan dengan kehilangan anak tunggalnya itu. Terlalu banyak masa, tenaga, emosi dan harta telah dilebur dalam usaha menjejaki Aiman. Semuanya habis begitu sahaja; Aiman masih gagal ditemui.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Razali mati dilanggar lori ketika sedang mencari Aiman. Saksi di tempat kejadian mendakwa Razali berlari melintas jalan tanpa memandang kiri dan kanan. Menurutnya, kedengaran Razali menyebut-nyebut nama Aiman ketika melintas dan gerak-gerinya seolah-olah dia teruja melihat seseorang di seberang jalan. 

Tiada siapa yang tahu, sememangnya Razali 'melihat' Aiman di seberang jalan. Bayangan Aiman. Sekurang-kurangnya dia sempat melihat Aiman sebelum pergi. 

Selepas pemergian suaminya, wanita tua itu hidup terkapai-kapai. Selain kehabisan harta dek semuanya telah dihabiskan untuk mencari Aiman, wanita itu juga tidak punya saudara-mara yang terdekat yang boleh membantunya.  Dan selama ini dia bergantung harap dan hidup pada Razali. Segala makanan, pakaian dan keperluan-keperluan hidup yang lain diuruskan oleh Razali.

Dia tergantung tanpa tali. Setelah pelbagai kerja yang dicuba, wanita tua itu terpaksa meminta sedekah kerana kesempitan hidup. Pernah juga beberapa kali dia terfikir untuk berhenti daripada meminta-minta. Dirasakan dirinya cukup marhaen dan hina dengan meminta-minta. Tetapi setelah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat juga gagal menghulurkan bantuan, ditambah pula dengan tekanan hidup yang semakin mendesak, dia akur.

Dia bukan hanya meminta-minta sedekah wang ringgit daripada orang ramai. Kepada yang sudi, dia juga menagih cinta dan sayang daripada mereka. Bukan sedikit yang sudah mendengar luahan rasa wanita itu. Dan bukan sedikit juga yang telah berjanji untuk mencari Aiman atau sekurang-kurangnya membantu meringankan kesengsaraan hidup yang sedang dialami wanita itu.

Namun sehingga kini, tiada satu pun janji-janji yang ditaburkan sudah dipenuhi. Janji hanya tinggal jani. Wanita tersebut masih seorang peminta sedekah.

Sedekah cinta.  

Anak kecil itu masih tercegat di hadapannya. Seolah-olah sedang mengharapkan sesuatu daripada wanita tua tersebut.

Aku tidak punya apa-apa, nak..

Entah mengapa, didorong oleh perasaan rindu pada Aiman yang melampau mungkin, wanita itu menghulurkan tangannya yang sudah uzur, penuh dengan urat-urat hijau tua ke arah anak kecil itu. Dan entah mengapa, didorong oleh kenaifan seorang kanak-kanak mungkin, si anak kecil tanpa ragu-ragu mara ke depan, bersedia untuk dirangkul oleh wanita itu.

Berdebar-debar wanita itu. Di dalam kepalanya, sudah terbayang dirinya akan memelukcium penuh sayang si anak kecil. Biarlah bukan Aiman yang dipeluknya, sekurang-kurangnya dapatlah dia melempiaskan rindu dendamnya pada Aiman! 

Tinggal beberapa inci sebelum anak kecil itu jatuh ke dalam dakapan si wanita tua. Belum sempat dirangkulnya anak kecil itu, kedengaran jeritan seorang wanita tidak jauh daripada tempat mereka berada.

"Hoi perempuan tua kutuk...! Kau nak buat apa dengan anak aku tu...??"

Wanita itu terus bergegas ke tempat kejadian. Orang ramai di sekitar tertarik untuk mengetahui apa yang sedang terjadi. Ada juga yang terlopong, terkesima dengan jeritan garau wanita itu agaknya.

"Jangan sentuh anak aku tu..! Perempuan tak sedar diri...! Bang, ooo bang..! Tengok ni bang ada peminta sedekah tak sedar diri nak amik anak kita!"

Wanita itu terus menarik anak kecil itu kepadanya. Kelihatan seorang lelaki bertubuh sasa, bermisai tebal berkumis panjang, dengan kaca mata hitam, datang menyertai mereka. Terus dihadiahkan satu sepakan percuma kepada wanita tua itu. Terjelepok wanita tua itu disepak.

"Eh kau siapa?? Jangan suka hati nak sentuh-sentuh anak orang tahu...?? Perempuan busukkk..!"

Beberapa orang yang prihatin menghalang lelaki biadap itu daripada terus bertindak kasar terhadap wanita tua itu. Mereka dihalau pergi.

Seorang wanita membantu wanita tua itu untuk bangun. Dua orang peniaga yang punya gerai berdekatan turut datang membantu. Wanita tua itu menggosok-gosok lengannya yang dipenuhi pasir dan kerikil-kerikil tajam. Jelas garis-garis luka pada lengannya. Pedih.

Tidak kurang yang menggeleng kepala, terkejut dan marah dengan tindakan lelaki tadi. Tetapi itulah, sekadar memarahi lelaki itu; tiada apa yang dilakukan untuk benar-benar membantu wanita tua itu. Puas menggeleng, puas mengumpat dan mencaci-maki, mereka berlalu pergi.

Manusia.

Wanita tua itu bingkas bangun. Dilibas-libasnya baju melayu ungu Aiman yang sudah lusuh itu.

Kalaulah Aiman ada, siapalah agaknya yang berani nak buat mak macam ni...

"Akak ok..?"

Wanita tua itu sedikit terkejut. Mungkin tidak menyangka masih ada yang peduli pada nasib dirinya.

"Akak baik-baik sahaja nak. Terima kasih..."

Wanita yang membantu wanita tua tadi hanya mampu tersenyum simpati.

"Akak nak ke mana ni? Biar saya tolong hantarkan..?

"Takpe nak, jangan khuatir. Akak tinggal dekat-dekat sini je.."

"Betul ni kak..? Sian saya tengok akak ni.."

Wanita tua itu hanya menghadiahkan senyumannya. Matanya sedikit berkaca.

"Kalau macam tu akak amik ni, buat bekal sikit. Nah.."

Wanita itu menghulurkan beberapa bungkus plastik yang berisi pelbagai jenis juadah. Wanita tua itu serba salah. 

Melihatkan wanita tua itu yang tampak berat untuk menerima tawarannya, wanita tadi mencapai tangan wanita tua itu dan menyangkutkan plastik-plastik tadi pada jari-jemari yang sudah uzur itu. Diselitkan juga beberapa keping nota berwarna merah.

"Ikhlas kak, Insha-Allah. Amiklah kak..."

Wanita tua itu tertunduk malu. Laju air mata membasahi pipinya.

"Te...terima..terima kasih nak..."

"Takpe kak. Bulan Ramadhan macam ni, zalim saya kalau biar akak macam tu je... Ni pun saya rasa malu sangat tak dapat nak bantu lebih-lebih.. Maafkan saya kak..."

"Moga Allah merahmati anak dan keluarga... Masih ada manusia yang berhati mulia macam anak ni rupa-rupanya..."

Wanita itu tersenyum mendengar ucapan ikhlas wanita tua itu. Dipeluknya wanita tua itu seeratnya. Entah mengapa, seperti ada tali-tali halus tetapi kuat yang menghubungkan hatinya dengan hati wanita tua itu. Tanpa dia sedari, butir-butir permata turun mengalir deras.

"Moga Allah merahmati akak jua.."

Wanita tua itu lantas berjalan pergi meninggalkan kawasan bazar Ramadhan Kampung Sungai Badak Berendam. Waktu berbuka hampir tiba. Dicarinya kaki lima yang sedikit sunyi. Mujur ada kotak-kotak kosong di kawasan berhampiran. Diambil satu dan dijadikan alas untuknya duduk dan berbuka nanti.

Wanita itu terkejut tatkala membuka juadah yang diberikan wanita berhati mulia di bazar tadi. Semuanya makanan kegemarannya. Mewah. Ada popiah basah, cendol lemak manis, kuih seri muka dan beberapa kagi juadah yang sudah lama tidak dijamahnya. Dan ayam percik. Makanan kegemarannya. Air matanya mengalir lagi, apabila melihat dan menghidu aroma ayam percik itu.

Ah sudah berapa kali agaknya air matanya tertumpah untuk hari itu sahaja..!

Mulutnya tidak habis-habis terkumat-kamit mengucapkan kesyukuran. Juga doa buat wanita berwajah manusia berhati malaikat itu. Walaupun teruk dirinya dibelasah oleh binatang bertubuh manusia itu, Allah menghantar pula malaikat untuk memujuk dirinya.

Syukur ya Allah, untuk sedekah ini. 

Seekor kucing datang mendekatinya. Dia mengusap-ngusap kepala kucing itu. Diberikan kucing itu bahagian ayamnya yang tidak habis dimakan. Kucing itu makan dengan lahap sekali. Selesai makan, kucing itu menggesel-gesel badannya kepada wanita tua itu, seolah-olah berterima kasih kepada kemurahan hati wanita itu. 

Syukur ya Allah, untuk sedekah cinta ini...

Malam itu hujan lebat. Wanita tua itu menggigil kesejukan. Tiada apa yang dapat melindungi tubuh kurusnya melainkan baju dan kain yang dipakainya. Dia hanya mampu memeluk tubuhnya sendiri, dengan harapan hujan akan segera berhenti. 

Akhirnya dia tertidur dalam keadaan sejuk sebegitu. Lama selepas lena, dia bermimpi. Sudah lama dia tidak bermimpi. Selalunya tidurnya tidur mati. Tidur dan bangun pada keesokan harinya, tanpa ada mimpi antaranya. Tapi malam itu dia bermimpi. Dan mimpinya sungguh aneh sekali.

Dia berada di tengah-tengah padang pasir yang kontang. Dia sedikit kaget. Hanya dia seorang di tengah-tengah padang pasir yang luas terbentang. Dia hilang arah dan punca. Dia berlari-lari untuk mencari sesiapa yang dapat dijadikan teman, untuk membawanya keluar daripada padang pasir itu.

Penat berlari, masih tiada siapa atau apa-apa yang dijumpainya, melainkan pasir dan pasir. Dia terduduk, kepenatan. Tiba-tiba kedengaran siulan burung helang di atas kepalanya. Sungguh nyaring bunyinya. Dia memandang ke atas, tetapi terpaksa melindungi matanya dek silau dipanah sinaran matahari yang terang-benderang. Burung helang itu berpusing beberapa kali di atas kepalanya sebelum menjatuhkan sesuatu. 

Wanita itu lantas mendekati objek yang dijatuhkan burung helang itu. Dia tunduk dan mengutipnya. Dibersihkan objek itu daripada debu-debu pasir yang menyelaputinya. Berlian. Sebutir berlian yang begitu indah. Kilauan lekuk-lekuknya ibarat sirna buana alam. Sempurna.

Dia begitu asyik membelek berlian tersebut. Sungguh indah bentuk dan kilauannya. Begitu khusyuk dia meneliti berliaan tersebut sehingga lupa pada kepenatan dan kerisauan mencari jalan keluar dari padang pasir itu. Sehinggalah dia perasan ada seseorang yang sedang mendekatinya. Dia lantas mendongak untuk melihat. Mulutnya sedikit terlopong. Terjatuh berlian dalam genggamannya.

Aiman.

Seorang kanak-kanak comel, berambut kerinting, hidung kembang dan mulus dan merah kemerahan kulit wajahnya sedang berjalan mendekatinya.

Aiman. Tidak syak lagi. Dan dia tersenyum. Lebar dan gembira senyumannya itu.

Aiman menghulurkan tangannya, memanggil ibunya untuk datang ke arahnya.

"Mak.. Mak dah janji nak buatkan Aiman baju Melayu ungu kan...?"

Keesokan paginya, seorang lelaki Bangladesh yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah tapak pembinaan terperanjat besar. Sesusuk tubuh kejang dan sejuk dijumpai di atas kaki lima.

Seorang wanita tua, berbaju kurung lusuh, berkain batik dan bertudung merah jambu sedang terbaring kaku. Mukanya tenang dan tangannya menggenggam sesuatu; sebutir berlian yang dibalut dengan baju Melayu berwarna ungu.

-gabbana-

>> Sedekah Cinta I
>> Sedekah Cinta II
>> Sedekah Cinta III.I
>> Sedekah Cinta III.II 

12 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 28/08/2011, 00:25  

TT_TT

yui 28/08/2011, 00:28  

superb

Anonymous 28/08/2011, 00:57  

sedih...smoga sorga yang hoyeah menunggu makcik itu

Anonymous 28/08/2011, 12:56  

haish..buat cerita syahdu2 pulak nak raye2 ni...

Anonymous 28/08/2011, 19:18  

best2..keep up the good work..

My Harmonica Zine 29/08/2011, 00:26  

hurmm...
nampaknye ni ending yg plg bole di terima akal~

keep it up~

p/s: inche gabbana, saya ada benda nk minx tlg sket bole?? jzkk

Anonymous 29/08/2011, 04:40  

makcik ni mesti tak kuat iman like tak redha aiman tu dah mati/hilang..no wonder she end up like trash haha

p/s: makcik ni memang patut disepak terajang.tuhan pun benci dgn org yg tak redha.bye

nur 31/08/2011, 06:50  

well written. sy dapati anda bermula dgn sebuah mimpi dan berakhir dgn mimpi juga. taksub benar ya wanita ni dgn berlian.

so the ibrah of the story is to let things go and move forward? always believe that Allah has a perfect plan for each of us. (2:216,286) (93:4). :)

saya yakin sesat di padang pasir itu pastinya menghauskan jiwa raga makcik itu kan. oh kasihan benar ya dia tiada siapa yang ambil peduli. :|

Inche gabbana 31/08/2011, 09:59  

musheerah hanan: benda apa tu..?

kalau saya mampu tolong, sy tolong iAllah...

p/s: aaseef lambat response to this request..

Inche gabbana 31/08/2011, 10:01  

enonimus V: erk. anda ni manusia ke..?

setahu saya satu2nya dosa yg Allah tak akan ampunkan adalah dosa syirik.

bukankah Allah tu Maha Pengampu, Maha Pengasih dan Maha Penyayang..? Kita tak beriman ke dengan asmaul sifatNya..?

moga Allah ampunkan dosa2 kita semua iAllah..

Inche gabbana 31/08/2011, 10:03  

nur: ibrahnya terletak pada kaca mata anda yg membacanya. kalau itulah yg anda dapat dari cerita ini, itulah ibrah ntok anda. ;)

sy yakin mereka yg membaca cerita ini dengan hati yg tulus dan terbuka, akan berjumpa dengan ibrah yg kool dan bergaya. ^^

allahu a'lam.

Anonymous 01/09/2011, 22:41  

Kehilangan Aiman itu boleh kita lihat sebagai diri kita yg semakin jauh dr Allah...keadaan makcik yg tidak terurus kerana rindukan Aiman ibarat ruh manusia yg tidak tenang saat manusia terus leka tidak disentuh tarbiyyah...semoga kita jd seperti makcik ini yg menemui semula Aimannya bila kembali menemui yang maha Esa...insyaAllah

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP