21 December 2011

Kamus Dakwah Yang Hoyeeaahhh 1.0

[Kredit]

Memandangkan ada yang pernah mengadu yang mereka tidak faham dengan terma-terma Arab dan dakwah & tarbiyyah yang digunakan di dalam belog ini, maka saya telah mengambil inisiatifi untuk menerbitkan kamus mini ini. Harapannya, agar selepas ini pembaca belog APG dapatlah lebih memahami mesej-mesej yang cuba disampaikan dengan lebih berkesan dan tidak perlulah menggaru-garu kepala yang tidak gatal itu.

Arakian dengan penuh rasa rendah hati dan takzim tapi ada sikit-sikit unsur kachak bergaya, saya persembahkan...

Kamus Mini Dakwah & Tarbiyyah: Panduan Anda Untuk Menjadi Hoyeeaahh!

Perkataan/Frasa: Ikhwah/Akhawat
Cara Sebutan: Ikh-waah. A-kho-watt
Maksud skema: Ikhwah adalah jamak bagi 'akh' yakni saudara lelaki sedangkan akhawat adalah jamak untuk saudari perempuan. Tetapi kedua perkataan ini berbeza daripada perkataan saudara mahupun saudari kerana ia membawa konotasi ukhuwwah  bersamanya. Jadi selalunya gelaran ikhwah dan akhawat ini adalah untuk mereka yang bersama-sama bergerak atas jalan dakwah, saling berkasih-sayang keranaNya.
Maksud sebenar: Anda yang kool dan bergaya yang sanggup korbankan masa, tenaga, wang ringgit dan emosi untuk melalui jalan yang sumpah panjang ini. Boleh jadi anda memakai jeans, boleh jadi tidak. Boleh jadi anda nakal, boleh jadi anda tidak. Yang penting anda tahu kerja-kerja yang anda lakukan itu adalah demi mencari redhaNya dan mengajak orang ramai kembali kepada Islam. Sumpah osem.
Contoh penggunaan I: "Weyyy! Aku jumpa sorang mamat ni tadi kat Pasaraya Besar Giant. Nampak sempoi je dia. Tapi bila solat tadi, dia jadi imam! Kool seh! Ni mesti kes ikhwah pakai jeans ni!"
Contoh penggunaan II: Baru-baru ini penduduk kampung Hatikeras gempar dengan kejadian akhawat jadian yang semakin menjadi-jadi. Mereka ini adalah wanita yang bertudung litup dan labuh di siang hari, bekerja, belajar dan menjalankan kehidupan sehari-hari seperti orang lain juga. Tetapi di malam hari aktif pula keluar ke sana sini untuk berdakwah. Eh mereka ini tidak penatkah..?

Perkataan/Frasa: Dai'e
Cara sebutan: Da-i'
Maksud skema: Orang yang mengajak orang lain kepada Islam. Dengan kata lain, pendakwah.
Maksud sebenar: Super Saiya sebenar yang sanggup bersusah-payah mahu merawat umat yang sedang sakit tenat
Contoh penggunaan: Abdul Halim Sapere adalah merupakan seorang dai'e yang sungguh menakjubkan. Siang dia berdakwah di pejabat tempatnya bekerja. Di malam hari dia berbulatan gembira bersama hadek-hadeknya pula.

Perkataan/Frasa: Bulatan gembira
Cara sebutan: Boo-la-tan Ghem-bi-rrra
Maksud skema: Usrah. Liqa' atau halaqah (secara literalnya bermaksud bulatan) yang dilakukan untuk duduk-duduk dan beriman sebentar.
Maksud sebenar: Satu kumpulan manusia yang berkumpul bukan sahaja untuk menambah keimanan di dada, tapi juga merancang bagaimana mahu mengembalikan kegemilangan Islam di muka bumi Allah ini. Dengan kata lain, mereka adalah ikhwah/akhawat dai'e yang cukup bergaya. Perkataan ini boleh jadi kata nama, boleh juga digunakan sebagai kata kerja.
Contoh penggunaan I: "Ya Allllaaaahhh! Tolonglah aaakkuuu, Saparudin Ahmad... Tooolllooonnggg. Aku dah lama tak berbulatan gembira ni....! Kosong, kering sangggaatt hati aku sekarang ni...!" Rayu Fakarudin Sulaiman kepada rakan baiknya selepas dua minggu tiga hari tidak berbulatan gembira.
Contoh penggunaan II: Nurazimah Baharuddin berasa sungguh bersyukur lagi berterima kasih kerana walaupon selama ini dia tidak sedar yang dia sebenarnya dibulatangembirakan, kini dia amat menghargai usaha-usaha memerangkapnya suatu ketika dahulu.

Perkataan/Frasa: Konferens riang
Cara sebutan: Konn-fe-rrrens ri-yang
Maksud skema: Daurah (secara literalnya bermaksud konferens) yang menghimpunkan ikhwah dan akhawat untuk mendengar pengisian yang menggegar jiwa di samping berbincang tentang gerak kerja dakwah.
Maksud sebenar:  Gabungan bulatan-bulatan gembira yang mengumpulkan manusia-manusia kool yang dari luarnya tampak seperti manusia biasa tetapi rupa-rupanya mereka adalah otromen yang sentiasa berjuang melawan raksasa gorgon. Seperti bulatan gembira, frasa ini boleh digunakan sebagai kata nama mahupon kata kerja.
Contoh penggunaan: "Wahai Rosmah Jailani. Sudahkah engkau mendaftarkan diri untuk menghadiri konferens riang pada hujung minggu ini..? Rugilah seandainya engkau gagal menghadirkan diri kerana pengisian-pengisian yang bakal diberikan cukup mengujakan. Alangkah!"

Perkataan/Frasa: Jzkk (Jazakallahu khairan katheera)
Cara sebutan: Ja-za-kawl-loh-hu khhay-rann kaa-tsi-ro
Maksud skema: "Semoga Allah memberi kebaikan yang berlipat kali-ganda kepada anda." Kalau nak cakap pada perempuan, tukar jazakallah kepada jazakillah. Kalau ditujukan kepada sekumpulan manusia, tukarkan kepada jazakumullah.
Maksud sebenar: "Heyy engkau manusia pelik! Aku nak ucapkan terima kasih banyak-banyaaakkk atas jasa-jasa dan pengorbanan kau! Aku pon tak tahu kenapa kau nak tolong aku tapi ya, aku amat menghargainya! Oleh itu semoga Allah membalas kebaikan engkau dengan seosem-osem ganjaran! Aman!"
Contoh penggunaan: "Ya Rabbi Mak Enon! Susah-susah je tolong belikan nasi kukus dan ayam berempah berkuahkan kari berlemak ni! Tahu-tahu je Mak Enon saya ada bulatan gembira malam ni tapi tak sempat nak belikan apa-apa untuk hadek-hadek saya. Terharulah saya macam ni Mak Enon oii! Jazakillahu khairan katheera!"

Perkataan/Frasa: Murabbi/ah
Cara sebutan: Moo-rob-biyy/yah
Maksud skema: Seorang insan yang ditugaskan untuk membawa bulatan gembira. Secara literalnya bermaksud guru. Murabbi untuk ikhwah dan murabbiah untuk akhawat.
Maksud sebenar: Kalau ikhwah itu sudah Super Saiya, seorang ikhwah yang menjadi murabbi, mungkin sudah boleh berjalan-jalan di atas air. Seorang insan mulia yang sanggup mengorbankan kepentingan diri untuk mentarbiyah masyarakat sekitarnya untuk menjadi manusia yang berjiwa hamba. Ini.. Ini.. Ini sumpah mengharukan!
Contoh penggunaan: Tertulis di ruangan iklan sebuah akhbar tempatan: "Jawatan kosong. Menjadi murabbi super kepada manusia yang dahagakan sentuhan tarbiyah dan kasih-sayang. Gaji adalah saham-saham sorga yang tidak akan habis-habis. Selain mendapat balasan di akhirat yang berlipat kali-ganda, anda juga akan merasakan kemanisan berukhuwwah dan bekerja dalam satu pasukan yang osem. Cepat! Anda tidak mahu melepaskan peluang ini!"

Perkataan/Frasa: Ukhuwwah fillah abadan abada
Cara sebutan: Ooo-khuuw-waah feel-lah aba-daaann aba-daaaa
Maksud skema: "Persaudaraan kerana Allah yang kekal abadi."
Maksud sebenar: "Anda, saya mahu menjadi sahabat hoyeeaaahh anda bukan sahaja di dunia ini, tetapi sehingga kita melangkah ke dalam jannahNya nanti. Saya mahu berchenta dengan anda, keranaNya. Saya mahu rindu dan sayang pada anda, dalam mencari keredhaanNya. Sudikah anda menerima tangan ini dan berpimpinan bersama saya..?" Wajib dicakap dengan tanda seru.
Contoh penggunaan: "Hazwani Mastur, ana tak tau nak cakap kat enti macam mana... Tapi.. Tapi.. Ana betul-betul sayangkan enti dunia akhirat! Sumpah..! Moga kekal ukhuwwah kita sampai ke sorga! Ukhuwwah fillah abadan abada! Ok..??" Kata Sharifah Soadah kepada rakan sebulatan gembiranya, sambil tersenyum lebar dan mata berair.

Perkataan/Frasa: Mardhatillah
Cara sebutan: Maar-dho-teel-lah
Maksud skema: Keredhaan Allah.
Maksud sebenar: Err. Keredhaan Allah. Yang kekal abadi. Hakiki.
Contoh penggunaan: "Awok jadi dai'e ni sebab apa..?? Sebab nak jadi glamor..?? Sebab nak terpampang muka awok di mukabuku dan kedengaran suara awok di Youtube tu..?? Kalau itulah niat awok, bukannya untuk mencari mardhatillah, lebih baik awok balik rumah dan buat udang goreng tepung sahajalah!" Berapi-api ceramah Dr. Yue Qiu Wai pada malam itu, yang ditujukan kepada tok-tok haji dan nek-nek hajjah di sekitar kawasan Pahang Tenggara.

Perkataan/Frasa: Mujahadah
Cara sebutan: Moo-ja-ha-daahh
Maksud skema: Bersungguh-sungguh. Berasal daripada perkataan jihad.
Maksud sebenar: Pertarungan sengit antara diri yang suci dengan musuh-musuh yang cuba menjatuhkan diri ke dalam lumpur dosa yang hina. Musuh-musuh ini boleh jadi dalaman (internal) mahupon luaran (eksternal).
Contoh penggunaan: Berbuih-buih mulut Anwar Lutfi dan sudah beberapa kali dia muntah ungu dek kuatnya mujahadah dirinya melawan nafsu diri yang membuak-buak untuk menonton cerita Korea terbaru lakonan Jang Dong Gun.

Perkataan/Frasa: Biah solehah
Cara sebutan: Bee-ah so-lé-haahh
Maksud skema: Suasana atau persekitaran yang baik
Maksud sebenar: Persekitaran yang bukan sahaja kool dan bergaya, malah dapat melajukan pula pergerakan dakwah kita. Maksudnya, persekitaran yang benar-benar positif, menjadikan kita lebih bersemangat untuk menjadi Super Saiya dalam dakwah ini!
Contoh penggunaan: Humairah Syamilah kini terpaksa bergantung kepada harap kepada kekuatan dan kemampuan dirinya sendiri. Setelah hampir lapan tahun tinggal bersama akhawat di dalam biah yang solehah, kini setelah tercampak ke Uganda menjadi doktor pelatih, dia perlu kuat, sabar dan tabah bagi mengharungi hari-hari yang mendatang. Semoga berjaya! Eh.

Ok sebenarnya banyak lagi frasa dan perkataan yang saya mahu kongsikan. Tapi cukuplah setakat ini dahulu. Risau pula nanti ada yang berbuih-buih mulut membaca kamus mini ini. Gelak keji. Insha-Allah akan dikongsikan di lain masa. Oh sekiranya ada mana-mana perkataan yang anda mahu saya terjemahkan, silalah tinggalkan komen nanti ya?

Oh sedikit diskelemer. Saya bukanlah seorang yang fasih berbahasa Arab, apatah lagi pakar dalam nahu mahupon balaghah. Apa yang saya kongsikan di sini adalah berdasarkan pemahaman saya dari sudut kontekstual selama pengalaman saya yang hingusan di atas jalan yang sumpah panjang ini.

Buah cempedak di luar pagar, 
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru dan masih mahu belajar,
Kalau salah jangan segan-segan tolong tegur, kritik dan betulkan!

Semoga bermanfaat!

-gabbana-

21 Caci Maki Puji Muji:

Syamil 21/12/2011, 16:59  

terbaik dann....sungguh osemmmmm! hehe

Permintaan yg Tak Seberapa ^^ 21/12/2011, 17:22  

Wah, sungguh pantas dan efisyen anda inche gabbana. Eksaited pulak bila tgk entri ni. Syukran jazilan :D

deen 21/12/2011, 18:11  

Hmm.. mcm bnyk lg boleh tambah.

tarbiyyah, mukhayyam, tamrin, liqa' tsaqaffi, syura, talaqi, tasawwuf, wa iyyaka etc etc :)

me 21/12/2011, 18:38  

mabruk. ilmu bertambah lagi. may ALLAH bless :)

Anonymous 21/12/2011, 20:37  

tsiqoh??

faaizz d. zul 21/12/2011, 21:52  

aku paling suka inovasi usrah = bulatan gembira. seriyes owsem.

Asim Abdullah 21/12/2011, 21:57  

abih la. . .semua term tarbawi ditukar oleh Inche Gabana. . .

Silap hari bulan, ikhwan pusat datang ke Malaysia sebab nak betulkan semula pemikiran inche gabana nie. . .huhu~

[tapi sumpah osem ;p]

Unknown 21/12/2011, 23:28  

syukran inche gabbana! u're so cool :)

afifi 22/12/2011, 02:44  

ejaan yang betul ialah ukhwah, bukan ukhuwwah. begitu juga halnya dengan mardhatillah..yang betul ialah mardatillah (if DBP tried to consider this word in the near future). manakala ikhwah/akhawat/dai'e/biah masih belum termaktub dalam kamus dewan bahasa melayu. *peace

walaupun kita sedia maklum bahawa peminjaman kata daripada bahasa asing (ie- bhs arab) merupakan penerusan tamadun manusia yang tidak dapat dielakkan (refer prof lim swee tin), tetapi menjadi kewajipan kita juga sebenarnya untuk terus tsabat (i mean, kekal...haha) dengan perkataan asal bahasa melayu. takkanlah sampai kacak dah jadi 'kachak'..?

to be cool, by compromising the little2 things in life, is ain't cool though... wahaha~ sekadar peringatan kpd diri sendiri juga.

gerau 22/12/2011, 23:13  

setuju dengan afifi. kena jaga jugak bahasa melayu.

geran 23/12/2011, 03:33  

sejujurnya tidak alergik dengan terma2 dakwah. cukup sekadar bualan harian dan 'sekiranya tak ade perkataan lain dah hoi...'. tp bila the so-called 'terma2 dakwah' dieksplen dengan penjelasan yg menggadaikan kegramatisan bahasa, dah jadi menyampah la pulak choyyy!!!

Anonymous 04/01/2012, 18:25  

bca "Awok jadi dai'e ni sebab apa..??" je dh blh agk siapa yg ckp :P

FariDdA AshiKen BinTi Meor ShahaRiM 23/03/2012, 11:12  

mohon share

Anonymous 28/03/2012, 18:55  

yuck

hamba Allah 20/12/2012, 11:51  

assalamu'alaikum inche,
sya nk tau
murabbi/murabbiah utk mne2 akh/ukht y bwk usrah ea?
just bwk usrah or ad qualification lain y bru dipromote lencana murabbi/murabbiah tu?


soklan merepek2 skit, tp hrp boleh jawab.
:D

Tell Your Stories 01/07/2013, 20:48  

Nak tanya..ada tak buku ni?

Anonymous 18/08/2013, 12:09  

blog ni xde search function ka. wa x jumpa.
sbb wa mau cari ade ka inche gabbana tulis bab boikot mcd stabak itu sume. mau tau apa hujah / sbb kalau nk boikot. or somebody can point me to any links pertaining to this. tenkiu

Inche gabbana 18/08/2013, 20:37  

Enonimus: Boleh baca di sini:

http://angelwearsgucci.blogspot.com/2012/06/hepi-meal-yang-tidak-menghepikan.html

Moga bermanfaat. ;)

Unknown 17/03/2014, 20:48  
This comment has been removed by the author.
Anon 16/06/2014, 15:00  

Ana print eh ketiga2. Syukran

'Cahaya Nur' 02/03/2015, 10:21  

Osem!

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP