7 March 2012

Pak Lebai, Kerbau dan Babi

[Kredit]

Tersebutlah kisah, di sebuah kampung nun di utara Papua New Guinea, tinggallah seorang pak lebai yang bernama Hamid Sameon Bakalele. Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele tinggal seorang diri kerana dia tidak pernah berkahwin. Maka apabila dia tidak pernah berkahwin, tiadalah juga anak mahupon zuriat adanya.

Bagi memenuhi masa lapang di samping mencari sesuap nasi cap Taj Mahal yang halal lagi tayyibah, Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele menternak kerbau dan kambing gurun. Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele memang terkenal di kampungnya sebagai seorang penternak kerbau dan kambing gurun yang amat sukses lagi mahsyur. Malah, sudah tujuh tahun berturut-turut dia telah memenangi anugerah 'Penternak Haiwan Berkaki Empat Paling Bergaya' peringkat seluruh Papua New Guinea. Bukan sekali wajahnya terpampang di dada-dada akhabar utama Papua New Guinea, bahagian 'Pertanian' atau pon 'Lain-lain Berita.' 

Pada kerbau-kerbau dan kambing-kambing gurunnyalah tempat dia mencurahkan kasih-sayangnya dan mengadu masalahnya. Dan dalam banyak-banyak kerbau dan kambing gurun, dia paling sayang dan chenta akan seekor kerbau betina gemuk-gemuk, berkulit licin baldu dan berbadan tambun. Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele menamakan kerbau itu Seroja Hati Penghibur Jiwa Yang Sepi. Peluh kecil. Nama panjang-panjang tapi selalunya dipanggil dengan nama manja 'Ja' sahaja. Peluh kecil lagi. 

Punyalah sayang Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele pada Ja, sehinggakan Ja diberi layanan kelas pertama, melebihi kerbau-kerbau dan kambing-kambing gurun yang lainnya. Dia diberi makan rumput yang terbaik, dipetik dengan tangan di bukit paling tinggi di Papua New Guinea di waktu Subuh setiap hari. Air minumnya ditadah daripada air terjun paling jernih di seluruh Papua New Guinea. Malah, sekali-kala, Ja juga dijamu dengan Fish n Chips dan mee goreng mamak sekiranya sudah bosan memakan rumput. Ja juga tidur di bangsal khas yang dibina untuknya, lengkap dengan televisyen satelit, alat pendingin hawa dan katil saiz raja yang sungguh empuk lagi selesa. Pendek kata, Ja dilayan ibarat ratu permaisuri oleh Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele. 

Ja amat terkenal di seluruh Papua New Guinea sebagai kerbau betina yang paling cantik dan menawan. Tidak hairanlah ramai yang cemburu dengan Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele. Sudah ramai yang menawarkan harga yang lumayan untuk membeli Ja daripada Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele. Tidak kurang juga restoran-restoran makanan Barat yang pakar dalam hidangan stik yang memasang angan-angan untuk menghidangkan daging Ja yang pastinya lazat dan berkrim itu. Tetapi Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele menolak semua tawaran yang datang kepadanya, walaupon sesetengah daripada tawaran yang diberikan benar-benar boleh menggugah iman.  

Nak dipendekkan cerita, akibat dengki dengan kejayaan Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele dalam kerjayanya menternak kerbau dan kambing gurun, juga keinginan membuak-buak untuk merasai sendiri keenakan daging Ja, sekumpulan lelaki hasad dengki yang diketuai oleh Encik Robert Bustamam Ogio telah merancang satu pelan jahat untuk merompak Ja daripada Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele. Namun mereka tahu yang rancangan itu pastinya amat sukar untuk dilaksanakan kerana rapatnya Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele dengan Ja, yang sentiasa bersama-sama ke hulu-hilir ibarat pasangan kekasih jua adanya. 

Justeru mereka telah merangka satu pelan boleh tahan pintar, ala-ala soalan dalam rancangan kuiz "Are You Smarter Than A 5th Grader?" Eh. Mereka tahu yang setiap malam, Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele akan membawa Ja membuang air, dan untuk melakukan ini, dia terpaksa melalui suatu lorong yang amat gelap. Encik Robert Bustamam Ogio dan konco-konconya merancang untuk menyorok di kiri dan kanan lorong tersebut dan melarikan Ja daripada Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele.

Tetapi mereka tidak boleh menggunakan cara yang konvensional. Cara yang konvesional terlalu tipikal dan amat mudah dipatahkan. Mereka akan menggunakan cara perang saraf yang halus lagi bersopan-santun untuk merampas Ja daripada Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele.

Arakian di hari kejadian, Encik Robert Bustamam Ogio dan konco-konconya yang keji sudah bersedia di kiri dan kanan lorong yang bakal dilalui Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele. Seusai Ja membuang air, Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele pon menarik tali yang diikat pada hidung Ja dan berjalan pulang. Setibanya di lorong gelap tersebut, entah mengapa Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele merasakan sesuatu yang tidak kena. Suasana begitu sunyi, tidak seperti biasa. Bunyi cengkerik pon tidak kedengaran. Kecut perut juga dibuatnya. Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele membaca basmalah, kuatkan semangatnya dan memegang erat tali Ja, lantas berjalan melalui lorong tersebut dengan harapan yang tinggi tiada apa-apa yang buruk akan berlaku. Jantungnya berdegup kencang.

Belum sampai sepuluh langkah Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele melalui lorong tersebut, kedengaran suatu suara yang menyapanya:

"Astaghfirullahal adzim Pak Lebai. Pak Lebai bawa babi..?? Haram tahu hukumnya, bela babi!" 

Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele hairan dengan pernyataan itu. Babi..? Ja seekor kerbau, bukan babi! Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele terus melangkah pergi, tidak menghiraukan kata-kata misteri itu. Kemudian kedengaran pula suara yang lain menyapanya:

"Ya Allah Pak Lebai! Pak Lebai tak belajar ke kat sekolah dulu..?? Apa kejadahnya Pak Lebai pergi ternak babi ni..?? Haram tahu, HARAM..!!" 

Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele semakin hairan. Pelik. Babi..?? Ish, Ja kerbaulah! Tetapi mula timbul rasa ragu-ragu dalam diri Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele. Untuk menenangkan hatinya, dia meraba-raba telinga dan hidung Ja. Konpem kerbau ni! Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele terus berjalan laju, dengan harapan dia cepat tiba ke destinasi.

Belum apa-apa, kedengaran pula suara yang ketiga:

"Weyy orang-orang kampung! Tengok ni ha! Hahahaha.. Ada ke, Pak Lebai kita ni. namanya je Pak Lebai! Tapi babi dengan kerbau pon tak tahu beza..! Hahahaha!" 

Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia menjadi semakin kaget. Tapi dia pasti yang tali yang dipegangnya itu diikat pada Ja, kerbau kesayangannya dan bukannya pada seekor babi! Namun, demi memberi kepastian yang lebih pada dirinya, dia mengusap-usap pula badan haiwan di belakangnya itu. Lembut. Kulit kerbau. Pasti! 

Terpacul pula suara yang keempat:

"Lailaha illallah.. Pak Lebai oii! Dah buang tebiat ke..?? Halal haram dah tak tahu beza..?? Babi tu Pak Lebai oii, BABIIIII!!" 

Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele semakin cemas. Dia sudah mula ragu-ragu. Dia berhenti sejenak. Dalam kegelapan malam, dia cuba mengecam haiwan yang dibawanya. Terkial-kial dan terkedip-kedip matanya dalam usaha untuk memastikan yang haiwan di depan matanya bukan seekor babi. Konpem ni Ja, konpem ni seekor kerbau! Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele berasa sedikit lega. Dia melangkah laju, berdoa agar dia cepat sampai ke rumahnya. Dia sudah tidak tertahan lagi dengan apa yang sedang berlaku.

"Masha-Allah. Tak sangka kat dunia ni ada lagi orang yang baghal macam Pak Lebai ni. Pak Lebai oo Pak Lebai, dah takde kerbau atau kambing ke yang nak bela..?? Babi juga yang dia pilih! Aduhai.." 

Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele sudah tidak pasti lagi sekarang. Dia memukul haiwan di belakangnya itu. Kedengaran Ja membalas pukulan itu dengan kuakan perlahan. Ini Ja, aku pasti ini Ja! Ja kerbau, bukan babi!

"Pak Lebai, ohoi Pak Lebai. Berapa kali nak beritahu..? Haiwan belakang Pak Lebai tu babi la, babi! Bukannya kerbau!"

Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele betul-betul resah. Dia tidak lagi pasti haiwan apa yang sedang ditariknya kini. Kerbau atau babi? Kalau babi, kenapa semua benda yang aku rasa dan nampak tadi tak macam babi? Kalau babi, macam mana pulak aku boleh tarik dia? kalau babi, mana Ja...?? 

"Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele. Percayalah! Pak Lebai tengah tarik babi tu..! Nanti balik rumah jangan lupa samak ye tangan tu..! Hahahaha.." 

Pak Lebai tidak tertahan lagi. Dia terus melepaskan tali yang dipegangnya dan berlari laju, meninggalkan haiwan di belakangnya. Dia sudah yakin dan percaya dengan suara-suara yang kedengaran. Tidak dia sangka yang ditariknya itu babi! Ohoi Pak Lebai, bagaimana anda ni boleh terjebak dengan sesuatu yang haram sebegitu..?? Wahai! Pak Lebai memarahi dirinya. Dia terus memecut laju, dengan harapan dapatlah dia sampai ke rumahnya sesegera mungkin.

Tapi.. Mana Ja...??

Sayup-sayup kedengaran kuakan Ja jauh di belakang Pak Lebai Hamid Sameon Bakalele. Juga hilai tawa nyaring Encik Robert Bustamam Ogio dan rakan-rakannya.

Moo mooo mooooo! (Pak Lebai, ke mana dikau lari tu..? Aku kerbau la, bukan babi!!) [Kredit]

-gabbana-

Analogi ini saya cilok hasil daripada perkongsian seorang hadek sewaktu sebuah konferens riang tidak dalam dahulu. Maaf, tidak ingat saya siapa namanya. Sekiranya anda membaca ini, terima kasih diucapkan atas analogi yang cukup osem ini.

Analogi..? Ya, cerita di atas adalah sebuah analogi. Senyum.  
 

12 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 07/03/2012, 16:08  

dh 3x ulang baca bnda ni..
tp still x leh nk tgkap apa yg nk disampaikan sbnr nyer...
analogi apa ek IG??

Anonymous 07/03/2012, 16:50  

seperti paham saja anologi ni
tpi x sure tepat or x..
hahhaa...
bgus gak..byk interpretasi..
tengok dari sisi berbeza2?!

-CL-

oh Yeah! 07/03/2012, 16:51  

orang yang berkongsi ni namanya Farid. kalau x silap ;P

anak abdullah 07/03/2012, 17:03  

haha! *gelak kuat-kuat*

aku ni bukan org arif, aku tak tau la apa maksud tersirat yang mr gabbana nak sampaikan.

tapi apa yang aku nampak, pak lebai tu diibaratkan macam seorang da'ie yang dah terjatuh dalam perangkap tan sri tan baeeek punya!

teringat pulak cerita sorang abid yang kena goda dgn iblis sampai mati sebagai ahli neraka tu. hmm.

apapun, bravo mr gabbana!

anonymous 07/03/2012, 17:44  

saya x pham,,explain cikit,tolonglah

nursakinah 07/03/2012, 18:32  

sangat terasa dengan analogi ini... trimas incik....

Anonymous 07/03/2012, 19:58  

analogi yang mudah ibarat kacang putih nanying yang direbus bersalut peanut butter dan dihidangkan dalam mangkuk warna-warni KFC edisi terhad yang hooyeahh!! -kredit to inche gabbana-. inilah yang berlaku pada media2 lampau, semalam, hari ini dan kemungkinan esok, lusa, tulat dan selama2nya. (perhatian : ini bisa diubah). Sebagai contoh, Kita disogokkan dengan berita2 yang mengatakan 'ISLAM=TERRORISM'dan dihadirkan dengan pelbagai bukti2 dan hujah2 palsu (perhaps)..semakin lama ini diuar2kan, semakin keras KITA menafikan..tetapi apakan daya, apabila perkara itu diulang-ulang sebanyak yang mungkin, lama2 kita turut terpengaruh dengan media dan arus derasnya yang mengalir. Sekian. :)

Anonymous 07/03/2012, 20:13  

sambungan komen anonymous di atas (hahaha)..kalau nak disangkut-paut bertaut dengan analogi seorang dae'i lak..camnilah (nih taram sdiri je..well, masing2), sebagai seorang dae'i yang punya fikrah dan pemahaman...semat, genggam, pegang kuat2 pada kefahaman (hidayah) itu, kerana kalau tidak, maka kita akan mudah menjadi lembik saat terdengar lolongan2 seperti :-

"gelabah la weyh, nak tegakkan khilafah lah, ustaziatul alAm la..crap!!"
OR
"gebang lebeyh...ajak orang buat baek, cam la da perfect..'
OR MAYBE
"kalo nak khutbah, dekat masjid, xyah la waktu makan pon nak sembang agama, dalam kelas pon nak share2 hal ehwal agama...bosan la weyh!"

pabila kenyataan2 anak panah yg menusuk jantung ini diulang, ulang, ulang, ulang...lama2, kita pon hanyut dengan labu2 jahiliyyah....wahai pak pandir~

paliez 08/03/2012, 11:04  

apa yangdapat disimpulkan dari cerita ini.. media memaikan peranan penting dlam masyarakat kita.. sering kali diberitahu si folan macam ni dan macam ni .. apabila setiap kali diulang benda yangsama padahal tidak diketahui lagi kebenaran nya orang akan mula percaya apa yang di perkatakan oleh pihak media. kebenaran tidak disampaikan tapi pembohongan pula yang dijelmakan... maka berita yang kita pasti betul pada asalnya menjadi ragu-ragu apabila datang media-media yang memainkan peranan masing2 dalam mempengaruhi fikiiran masyarakat MALAYSIA

hoshizora 08/03/2012, 16:38  

pak lebai: bukan sekadar da'ie, kita2 pun boleh
kerbau: Islam, Iman, al Quran, syahadah.
bustamam n the geng: anasir2 luar, arus jahiliyyah...

ini pandangan saya...

misteri wanita bermisai 09/03/2012, 05:40  

suka nama penuh ja yg mcm lagu cinta org desperate *mangsa keadaan*..
kesian dan rasa nak belasah kat lebai bongok yg zero yakin diri *loser*..
tabik kat robert coz misi berjaya *winner*..

p/s:yg penting iman mesti kuat iallah syaitan pun lari tengok kita walau dlm lorong gelap dan busuk.

Anonymous 09/03/2012, 17:34  

Lebih baik jika,
Pak lebai berakan kongsi dengan pak imam mior pecalele yang berjiran dengannya itu,memandangkan pak imam juga punya lembu-lembu.

Pak lebai bukan sahaja dapat sesuap nasi tajmahal malah boleh dapat berpinggan-pinggan rfc snack plate, apatah lagi jika beliau, pak lebai berakan kongsi dengan lebih ramai lagi.


Berikutan dari itu, pak lebai tidak perlu berseorangan untuk membawa ja membuang air, pak imam dan rakan kongsi lain boleh turut serta membawa ja dan rakan-rakan lembu yang lain. Tambahan pula, di waktu malam nan gelap, pak imam boleh membawa lampu suluh malah spot light juga dari rakan kongsinya.

Miski pun, en robert tetap datang bersama bala tentera dari syaitanirojim, mereka pak lebai,pak imam dan rakan kongsi sentiasa yakin yang ja bukanlah seekor babi tetapi lembu, dan mereka pak lebai dan pak imam tidak lagi membawa ja seekor, malah bereekor2 lagi lembu seperti ja.

Genap 9 bulan, ja selamat melahirkan seekor bayi lembu yang comel hasil perkahwinan nya dengan bon, lembunya pak imam. Pak imam dan pak lebai gembira dengan kelahiran jabon...

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP