14 May 2012

Hikayat Malim Kundang Versi Beta

Kasih ibu sehingga ke sorga tahu..? [Kredit]

Semalam merupakan Hari Ibu. Et lis Hari Ibu seperti yang diwar-warkan oleh omputih. Kita ni ikut je.

Dalam Islam, setahu saya, tiada konsep Hari Ibu. Alasannya mudah; seorang ibu itu wajib dihargai, dichentai dan dikasihi sehari-hari tanpa memerlukan mana-mana hari khas untuk berbuat sedemikian rupa. Maka tidak perlulah suatu hari khas semata-mata untuk menyatakan penghargaan seorang anak kepada ibunya bukan..?

TAPI, teorinya memang seideal itu. Hakikatnya manusia amat mudah untuk tak ambil pusing perkara-perkara yang pada mereka dapat secara 'percuma'. Contohnya oksigen; punyalah super penting oksigen tu, sehinggakan 3-4 minit tanpa oksigen sahaja, muka anda akan bertukar menjadi merah, biru, hijau kemudiannya putih pucat tanda anda sudah mengucapkan oktengsbai kepada dunia ini. Tapi ada ke di kalangan kita yang buat satu majlis penghargaan khas untuk menyatakan rasa terharu dan terhutang budi kepada Allah kerana memberikan kita oksigen secara percuma dan bukan setakat itu, bekalan oksigen yang berterusan tanpa sebarang gangguan mahupon catuan..? Pernah?

Begitu jugalah dengan ibu/mak/Puan Mama/bonda/ummi kita. Disebabkan hampir setiap hari kita melihat wajahnya (bagi yang masih tinggal di bawah ketiak Puan Mama) atau hampir setiap hari menghubunginya, maka tanpa kita sedar atau tidak, kita kurang menghargai jasa dan pengorbanan manusia mulia ini kepada kita. Setiap hari mendengar Puan Mak membebel, menjadikan kita tidak lagi endah akan nasihatnya. Dan setiap hari merasa masakan air tangan Puan Ibu, menjadikan kita tidak lagi menghargai kesusahan dan kepayahan Puan Ibu yang terpaksa ke pasar, menyiang ikan, menggoreng pula ikan itu sambil minyak terpercik ke tangan aduhh sakit tahu?, menggoreng sayur pula, tidak cukup dengan itu dibuatnya pula pencuci mulut kegemaran anda yakni kek cawan perisa cokolat strawberi tapi semuanya tidak anda hargai kerana hari-hari Puan Ibu melakukan perkara yang sama heyyyy! Tarik nafas. 

Dan kadang-kadang, anda terlupa. Hanya terlupa. Terlupa yang Puan Mamalah yang telah melahirkan anda dengan susah-payah dan membesarkan pula anda yang banyak karenah itu. Anda terlupa yang Puan Mak lah yang telah bersengkang mata di tengah malam untuk menjahit seluar sekolah anda yang telah koyak menyebabkan anda berasa malu kerana diejek oleh kawan-kawan di sekolah. Anda terlupa yang Puan Ibu lah yang terpaksa berlapar di siang hari kerana mahu menjimatkan wang semata-mata mahu membeli raket badminton baru untuk anda. Dan anda terlupa bahawasanya Puan Ummi lah yang tidur tak lena dan basah pula pipinya hampir setiap hari memikirkan karenah anda yang memeningkan kepala itu.

Ya, kadangkala kita terlupa semua ini. Malah ramai antara kita yang selalu melupai hakikat ini.

Kerana itu saya merasakan tiada salahnya untuk mengadakan sambutan Hari Puan Mama; sekurang-kurangnya ada satu hari yang kita dedikasikan untuk ibu, mak, ummi dan Puan Mama kita bagi menunjukkan yang kita sebenarnya chenta, kasih dan amat menghargai segala pengorbanan yang telah mereka tunjukkan. Sekurang-kurangnya pada satu hari dalam setahun ini, kita mampu untuk buktikan kepada mereka ini yang kita tidak pernah lupa jasa dan budi yang telah mereka curahkan kepada kita semua. Malah saya yakin, anda yang menyambutnya akan dapat pahala pula sekiranya anda ikhlas melaksanakannya untuk menggembirakan hati mereka dan terbukti mereka amat menghargai usaha-usaha anda itu. Insha-Allah. 

Tetapi cukupkah kita membalas jasa mereka hanya dengan membawa mereka makan ke restoran mahal bersofa empuk dan berekon itu..? Cukupkah dengan kita menghadiahkan mereka dengan cokolat kegemaran dan patung beruang panda bersaiz raksasa? Dan terbalaskah semua jasa dan pengorbanan mereka dengan hanya kita mengucapkan "Terima kasih bonda I Lap U tahu..??" sambil memberi kucupan mesra di pipi..?

Cukupkah..?

Apabila memikirkan perkara ini berkali-kali, saya tidak syak lagi bahawa hanya dengan melaksanakan dakwah dan tarbiyah bersungguh-sungguh sahajalah saya boleh membalas jasa Puan Mama saya. Betul, dengan berdakwah dan mentarbiyah.

Hekele Inche gabbana ni, sket-sket dakwah dan tarbiyah. Sket-sket dakwah dan tarbiyah. Cakap pasal kopi pon, nak kaitkan dengan dakwah dan tarbiyah. Beruang polar dekat Kutub Utara kena langgar kereta pon nak kaitkan dengan dakwah dan tarbiyah. Takkan yang ini pon nak kaitkan dengan dakwah dan tarbiyah jugak...?? Aisemen emo la camni! 

Err. Anda ni tak cukup kasih-sayang ke apa..? Kasihan. Dah nama pon solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya untuk Allah, pastilah setiap perkara kena kaitkan dengan dakwah dan tarbiyah! Aman tanpa perang. Wah!

Begini.

Pertamanya, dalam sebuah hadith Nabi SAW, baginda ada bersabda:

"Apabila mati anak Adam, putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya."
[Hadith Riwayat Muslim]

Tidak ada cara yang lebih osem dan kool untuk membalas segala tok nenek jasa dan pengorbanan seorang manusia bernama ibu melainkan dengan menjadi seorang anak yang soleh. Kerana selain menjadi penyejuk mata, hati dan perut yang telah mengandungkan kita, menjadi anak yang soleh juga bakal menyejukkan tempat persemadiannya yang terakhir nanti. Allahu Allah.. Air mata mengalir perlahan.

Dan apakah cara yang paling bergaya, pantas dan efisien untuk menjadi seorang anak yang soleh melainkan bersama-sama dengan gerabak dakwah dan tarbiyah..? Bunyinya seperti poyo dan sedikit sains tingkatan tiga bukan? Tapi itu adalah fakta maka sila kunyah sampai lumat dan hadam sampai lunyai! 

Yalah, macam mana tak jadi orang yang soleh kalau sepanjang masanya, aktiviti anda dipenuhi dengan bulatan gembira, konferens riang, tilawah dan tadabur al-Quran, mukhayyam, rehlah, jaulah, mabit, puasa sunat, berukhuwwah dan entah apa-apa lagi aktiviti-aktiviti yang membina diri menjadi seorang individu Muslim yang sebenar..? Macam mana tak jadi orang yang soleh kalau objektif utama tarbiyah itu adalah membentuk diri anda semua menjadi insan rabbani yang berjiwa hamba? Macam mana tak jadi hamba yang soleh kalau setiap hari kita diajar dan dididik untuk menghormati orang lain, sentiasa melebihkan orang lain dan sikap mementingkan diri sendiri itu hanya ada pada alien planet Jupiter..?? 

Untuk ibu-ibu dan bapak-bapak di luar sana; nah, anda masih ragu-ragu untuk membenarkan anak-anak anda berbulatan gembira dan keluar rumah untuk aktiviti-aktiviti riang gembira dee-n-tee..? Eheh.

Dan keduanya, demi menyahut seruan Allah dalam surah at-Tahrim:

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli-ahli kamu daripada azab api neraka..!"
[At-Tahrim, 66:6]

Sekali lagi, dakwah dan tarbiyah adalah jawapan kepada cabaran atau seruan Allah ini. Terutamanya untuk anda di luar sana yang berada di dalam kasut yang sama seperti saya, yang belum lagi menjadi ikhwah atau akhawat ketika berada di dalam kandungan Puan Mama.

Ada di kalangan kita yang mungkin sukar untuk melaksanakan tanggungjawab dakwah dan tarbiyah kepada keluarga kita sendiri. Malah, lebih rapat kita dengan seseorang itu, kadangkala menjadikan situasi yang terpaksa kita hadapi lebih kompleks dan sukar. Bukan begitu? Maka kadang-kadang kita terpaksa bermandi air mata sahajalah melihatkan ahli-ahli keluarga kita sendiri saban hari bergelumang dengan dosa dan noda kerana lemah dan dhaifnya kita dalam menyentuh hati-hati mereka.

Kerana itulah kita perlu menanam azam untuk bersungguh-sungguh dalam dakwah dan tarbiyah ini. Kerana hidayah itu milik Allah dan tiada siapa tahu bagaimana mekanisme Allah menganugerahkan hidayahNya kepada para hambaNya.

Boleh jadi si Shauqi Lutfi yang anda ajak ke bulatan gembira itu, begitu tersentuh dengan pengisian anda, lantas berkongsi pula apa yang dia dapat dengan seorang rakannya yang lain, Akira Torayama. Akira Toriyama juga turut berminat dengan bulatan gembira dan begitu bersemangat pula, lantas berkongsikan pengalaman baru ini dengan kakaknya, Oshima Mitsuda. Oshima Mitsuda yang tersentuh lantas memberitahu pula kepada makcik kesayangannya, Siti Zubaidah Utsui yang kemudiannya mengajak pula rakan baiknya, Salamah al-Bakri untuk bersama-sama berbulatan gembira. Dan siap sangka, Salamah al-Bakri itu pula merupakan kenalan ibu anda, yang pada suatu hari digerakkan hatinya oleh Allah untuk mengajak ibu anda turut sama menyertai bulatan gembira. Walawww!

Mustahil? Sains fiksyen? Hikayat Merong Mahawangsa? Saya tidak fikir begitu. Tiada yang mustahil dalam kehidupan ini; semuanya ada kebarangkalian yang tersendiri. Dan ingat! Hidayah itu milik Allah! Kita tidak akan tahu bagaimana Dia memilih hambaNya untuk merasai kenikmatan hidayahNya itu. Cuma yang pasti, sekiranya kita berusaha dan tidak pernah berputus-asa berdoa dan meminta daripadaNya, malah berusaha gigih pula untuk menyebarkan risalah dan mesejNya yang agung lagi mulia, insha-Allah, yakinlah, pasti Dia akan mendengar rintihan dan memakbulkan doa anda.

"Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya..."
[at-Talaq, 65:2-3]

Apa yang penting? Mujahadah! Apa yang penting? Istiqamah!

Kerana itulah saya berazam untuk keluar semua (Baca: All-out) dalam dakwah dan tarbiyah. Kerana saya terlalu amat menyayangi Puan Mama saya. Dan ketika ini di saat ini, hanya ini sahajalah yang mampu saya lakukan untuk membalas segala jasa dan pengorbanan Puan Mama yang telah begitu banyak berhabisan dan berkorban demi anaknya yang degil dan nakal seorang ini, walaupon saya tahu yang sampai mati pon saya tidak mungkin akan dapat membalasnya.

Tapi sekurang-kurangnya saya berusaha. Dan saya yakin dengan usaha saya yang tak seberapa inilah yang memanifestasikan penghargaan dan kechentaan saya buat Puan Mama. 

Hargailah Puan Mama anda sementara dia masih bernyawa.. [Kredit]

Buat Puan Mama, ketahuilah, banyaknya masa yang dihabiskan di luar sana tidak lain dan tidak bukan, adalah kerana diri ini mahu menjadi seorang anak yang soleh, yang boleh mendoakan anda apabila anda sudah tiada nanti. Chenta dan kasihnya diri ini pada anda, menjadikan saya lebih bersungguh dan bersemangat untuk menyentuh hati-hati di luar sana, dengan harapan yang tinggi, suatu hari nanti, Allah akan menyentuh hati anda pula. Insha-Allah, insha-Allah, insha-Allah. Kalau boleh, memang setiap hari dan ketika mahu dihabiskan bersama anda, tetapi ketahuilah, kehidupan kekal abadi di alam sana yang saya kejar dan damba.

Dan buat anda semua di luar sana, biarlah orang melihat kita sebagai si Tenggang atau Malim Kundang yang tidak menghargai pengorbanan dan jasa ibu dan ayah kita, kerana kurangnya masa kita dihabiskan bersama mereka atau ketiadaan kita ketika di sisi mereka pada acara atau majlis-majlis yang tertentu.

Kerana sesungguhnya kita ini Malim Kundang versi beta, yang berkelana jauh ke luar sana demi mencari redhaNya. Bukan kereta dan rumah besar yang mahu kita hadiahkan kepada kedua orang tua; bukan juga wang ringgit atau kegembiraan plastik yang tidak kekal lamanya. Kita ada misi dan impian yang lebih besar dan mulia; tidak sabar-sabar kita nantikan masanya nanti apabila kita memimpin tangan ibu dan ayah terchenta melangkah masuk ke dalam sorga..!

Buat ibu-ibu, emak-emak, bonda-bonda, ummi-ummi dan Puan Mama-Puan Mama di luar sana, terima kasih untuk kehidupan ini. Tanpa anda semua, tiadalah kami. Tanpa pengorbanan dan kasih-sayang anda yang melimpah ruah tanpa syarat dan sempadan itu, siapalah kami pada hari ini. Terima kasih.

Selamat Hari Ibu-terlewat-satu-hari.

Senyum.

-gabbana-

Anda masih punyai seorang wanita bergelar ibu/emak/ummi/bonda/Puan Mama (atau apa-apa sahajalah gelaran yang anda berikan!) dalam hidup anda..?

Jika ya, sila buat panggilan kepada mereka sekarang juga dan tanpa rasa segan silu mahupon ego, ucapkan dengan penuh yakin dan bersungguh,

"Saya chentakan anda sepenuh hati tahu..?? Terima kasih buat segalanya!"

Anda pasti berasa lega dan seolah-olahnya telah membuat suatu terjunan bungee dari ketinggian dua ratus empat puluh lapan meter dari paras laut. Dan oh, jangan lupa juga katakan kepada mereka:

"Err.. Jadi bagaimana..? Bolehkan saya sertai bulatan gembira..?" 

Wahahahaha.. Aman tanpa perang.

8 Caci Maki Puji Muji:

d9saphire@blogspot.com 14/05/2012, 20:06  

U R BACK..

Hello Kitty 14/05/2012, 21:43  

"Saya chentakan anda sepenuh hati tahu..??"

Kata2 yg lebih osem kepada Puan Mama "Saya chentakan anda sepenuh hati kerana Allah Taala tahu??

Anonymous 14/05/2012, 22:42  

allahummaghfirlaha warhamha waafiha wa'fuanha..no more mothers day..may allah bless u always and forever and till we meet again one day,inshallah..

Anonymous 14/05/2012, 22:50  

subhanallah.such a greaaat essay?or karangan? heheee rasa mcm dpt hadiah hari ini sbb dlm bus td ada telintas psai myb one of d way utk bls jasa ibu by jadi anak soleh or solehah :))

kemban dlm bilik 15/05/2012, 00:37  

maaf jika sy kehadiran sy di blog ini seperti kucing sesat yg meminta air..

ibu ayam 15/05/2012, 02:24  

terima kasih anak2 sedunia kerana meraikan HARI IBU..tak kira apa jenis ibu anda tetap ibu selamanya!

Amirah Marliza 16/05/2012, 01:54  

best. padat dan berinformasi. (:

Anonymous 16/05/2012, 15:15  

Bertasik mata ini dengan penulisan akhy dalam perenggan ini:

Buat Puan Mama, ketahuilah, banyaknya masa yang dihabiskan di luar sana tidak lain dan tidak bukan, adalah kerana diri ini mahu menjadi seorang anak yang soleh, yang boleh mendoakan anda apabila anda sudah tiada nanti. Chenta dan kasihnya diri ini pada anda, menjadikan saya lebih bersungguh dan bersemangat untuk menyentuh hati-hati di luar sana, dengan harapan yang tinggi, suatu hari nanti, Allah akan menyentuh hati anda pula. Insha-Allah, insha-Allah, insha-Allah. Kalau boleh, memang setiap hari dan ketika mahu dihabiskan bersama anda, tetapi ketahuilah, kehidupan kekal abadi di alam sana yang saya kejar dan damba.

Sungguh, walaupun boleh meninggalkan mereka (kedua orang tua) untuk perjuangan DnT di luar sana...ttp belum bersedia menerima ketiadaan mereka..AllahuAllah..moga pemergian mereka satu hari nnt akan membuatku tersenyum kerana yakinnya mereka akan ke syurgaMu ya Allah~

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP