18 September 2012

Sehingga Ketemu Lagi, Puan Nenek!

Ini bukan Puan Nenek saya, tapi amat mirip dengannya! [Kredit]

Berita itu saya terima dalam jam tiga pagi kurang lebih.

Ketika itu lampu di dewan makan menyala dan saya yang tidur di ruang tamu terjaga. Kelihatan Inche Papa sedang sibuk melakukan sesuatu.

Melihatkan saya yang tersedar agaknya, Inche Papa lantas menyampaikan berita itu.

"[Puan Nenek] dah meninggal." 

Saya yang masih mamai ketika itu cuba mendaftarkan kata-kata Inche Papa di kepala. Lantas terpacul,

"Innailillahi wa innailaihi roji'un."

Sempat saya berborak ringkas dengan Inche Papa; pukul berapa meninggal, siapa yang beritahu dan sebagainya.

Kemudian Inche Papa bertanya pula,

"[Inche gabbana] nak balik tak..?"

Tanpa berfikir panjang, saya terus menjawab,

"Ok, [Inche gabbana] boleh balik."

"Tapi kalau [Inche gabbana] nak balik, [Inche gabbana] kena ambil cuti dua hari tahu? Sebab kita balik esok."

Entah mengapa, kenyataan itu menyebabkan saya berubah fikiran. Mungkin juga kerana saya yang masih mamai belum dapat berfikir dengan baik. Saya lantas menyambung tidur.

Sehinggalah jam lima pagi lebih, Inche Papa mengejutkan saya dan bertanya,

"[Inche gabbana] nak solat kat masjid tak..?"

Saya bingkas bangun, dengan mata yang separuh terbuka. Di fikiran saya masih bermain-main apa yang berlaku antara saya dan Inche Papa pada jam tiga tadi. Rasanya seperti mimpi. Selepas menggosok gigi dan mengambil wudhu', baharulah terasa segar sedikit kepala otak ini.

"[Inche gabbana] tak balik kot."

Saya menyatakan perkara tersebut kepada Inche Papa.

"Ok." 

Inche Papa menjawab ringkas.

Ketika itu, entah mengapa, saya tidak merasakan apa-apa. Tidak berasa sedih. Tiada emosi. Seolah-olah tiada ruh di dalam jasad ini.

Di dalam kereta menuju ke masjid, saya bertanya lagi kepada Inche Papa,

"Ok ke kalau [Inche gabbana] tak balik ni..?"

"Hhhmm. Kenapa? [Inche gabbana] ada kerja lain nak buat ke?"

Saya mengiyakan. Perlahan.

"Takpelah. [Inche gabbana] baru je balik hari tu kan? Ok kot."

Seusai solat, saya kira Inche Papa sudah menerima keputusan saya itu. Dia tidak bertanya, memujuk mahupon mendesak saya untuk balik. Cuma dia ada menyatakan rasa kekesalannya kerana tidak pulang ke kampung pada hujung minggu yang lepas, meskipon dia ada merancang untuk berbuat sedemikian.

Tiba di rumah, saya mengambil tuala dan bersedia untuk mandi. Sebelum itu saya sempat singgah di bilik tidur utama keluarga dan bertanyakan pula kepada Puan Mama.

"Ok ke kalau [Inche gabbana] tak balik..?"

"[Puan Mama] ok je. Ikut [Inche gabbana] lah."

Ketika itu hati saya mula berbolak-balik. Betulkah keputusan aku ini..? Dan selesai mandi, melihatkan Cik Adik Perempuan dan Inche Abang Besar bersiap-siap untuk pulang ke kampung, menjadikan saya serba-salah. Tergerak juga hati untuk menukar keputusan. Tetapi entah, seperti dipukau, saya tidak punya perasaan ketika itu dan memutuskan untuk kekal sahaja dengan keputusan saya sebelum itu.

Lantas saya bersiap-siap untuk ke opis seperti biasa. Ketika menyarungkan kemeja kerja petak-petak berwarna merah jambu, hati saya kuat berbicara.

"Takkan sebab cuti kau tak nak balik kampung kot...?? Haish..."

Hampir-hampir sahaja saya menghamburkan kata-kata ini kepada Inche Papa:

"Tunggu, [Inche gabbana] nak baliklah!"

Dan sekali lagi, diri saya ketika itu seolah-olahnya bukan diri yang sebenar. Saya diam membisu.  

Pertimbangan saya ketika itu begini; 1) tiada apa yang boleh saya lakukan pon jika saya pulang ke kampung, 2) saya baharu sahaja pulang pada dua minggu yang lepas dan 3) ada banyak perkara lain yang saya perlu lunaskan. Perkara-perkara ini yang bermain di fikiran sehingga saya merasakan tidak perlu saya pulang ke kampung.

"[Inche gabbana] jaga Memey!"

Ujar Puan Mama, merujuk kepada kucheng kesayangan keluarga, juga sebagai tanda dia menerima keputusan saya untuk tidak pulang.

Di dalam kereta, ketika menuju ke stesen Putra, kami berborak ringkas tentang apa yang sebenarnya terjadi. Dan saya menyatakan kepada mereka,

"Nanti [Inche gabbana] buat solat jenazah ghaib. Kirim salam pada semua."

Kami berpisah. Kereta yang dipandu Inche Papa menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang manakala saya menaiki tren ke opis seperti biasa. Sekali lagi, saya terasa seperti mahu menukar keputusan. Ah, boleh sahaja aku pulang malam ini! Pakai sahajalah baju kerja ini sehingga ke malam! Paling teruk pon, pinjam sahaja baju sesiapa! 

Dan sekali lagi juga, saya tewas kepada permainan mantik dan hujah yang kononnya rasional oleh akal saya. Yang lebih menghairankan, seolah-olahnya saya tidak punya perasaan ketika itu. Entah, sedih pon tidak. Rasa kehilangan pon tidak. Atau saya redha sebenarnya..? Batuk batuk. 

Saat melangkah ke opis, saya mula berasa tidak tenang. Rasa bersalah dan tidak keruan, mengapa saya mengambil keputusan untuk tidak pulang sahaja ke kampung. Saya cuba menenangkan perasaan dengan menyibukkan diri melayari internet. Namun kegusaran dan kegelisahan di jiwa tetap tidak dapat dihilangkan. Terbaca pula status MukaBuku Cik Adik Perempuan yang menghapdet tentang pemergian Puan Nenek. Peluh kecil.

Ketika saya menelefon rakan baik di opis dan menceritakan kepadanya tentang kehilangan saya, jelas nadanya yang pelik dengan keputusan saya yang tidak pulang ke kampung.

"Laaa balik je lah. Kenapa tak balik...??"

Rasa bersalah kian menggunung. Akhirnya perasaan seorang manusia dan ruh kembali semula ke jiwa, seusai saya solat dhuha dan solat jenazah ghaib. Ketika itu saya sedang menghantar mesej pesanan ringkas kepada Puan Mama.

"Rasa x best n x sedap hati pulak x balik kg. ;( Sampaikan 'salam' [Inche gabbana].."

Ketika ini entah mengapa tiba-tiba air masin mula berlopak di mata.

"...pd [Puan Nenek]. Pls kiss her for me. My doa with her. ='[ n salaam to all."

Air mata bercucuran laju. Sebak. Sehingga kabur mata dibuatnya. Saya menghantar pula satu mesej kepada Cik Adik Perempuan.

"[Cik Adik Perempuan], nanti tolong ciumkan [Puan Nenek] ntok [Inche gabbana]. Ckp kt dia, sorry sgt2 [Inche gabbana] x dpt dtg. N [Inche gabbana] doakan nenek ditempatkan bersama kekasihNya... ='|"

Basah juga baju saya dibuatnya. Baharu terasa kehilangan Puan Nenek ketika itu. 

Saya sebenarnya amat rapat dengan Puan Nenek. Malah bolehlah dikatakan dengan tidak malunya, saya mungkin antara cucu kesayangannya. Ketika pulang ke kampung pada dua minggu yang lepas, hanya saya dan Inche Papa yang pulang. Saya antara yang rajin berborak dengannya. Dahulu ketika Puan Nenek masih kuat, setiap kali saya pulang ke kampung, pasti dia akan mengambil peluang itu untuk memasakkan saya ayam percik air tangannya yang istimewa itu. Puan Nenek juga sanggup berjalan membelikan sarapan pagi untuk kami sekeluarga, setiap kali kami pulang ke kampung. Dan oh, saya amat gemar memegang kulit lehernya yang sudah kecut dan lembik itu. Setiap kali saya memegang kulit lehernya itu, pasti dia akan tertawa lucu. Pelik agaknya.

Saya mengenali Puan Nenek sebagai seorang yang amat pelembut dan baik hati. Ketika Tuan Atuk sakit dahulu, dialah yang menjaganya dengan penuh sabar dan cekal sehinggalah Tuan Atuk menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia amat menjaga solatnya dan amat pemurah orangnya. Orang-orang kampung sekitar amat senang dengannya. Ketika Inche Pakcik Sulung meninggal dan isterinya pula meninggal tidak lama selepas itu, Puan Neneklah yang menjaga anak-anak mereka. Mereka amat rapat dengan Puan Nenek sehingga memanggilnya 'Mak' dan bukan dengan panggilan nenek.

Puan Nenek menghidap barah payudara, yang hanya dikesan beberapa bulan yang lepas. Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, Puan Nenek enggan mendapatkan rawatan atau memeriksanya di hospital. Sebaliknya, dia memilih untuk berjumpa dengan bomoh kampung sahaja.

Hanya selepas dia mengadu kesakitan di dadanya, baharulah dapat disahkan yang dia menghidap barah. Ketika itu, barahnya sudah berada di tahap ketiga yang kritikal. Selepas itu, Inche Papa kerap kali berulang-alik ke kampung. Kami adik-beradik bergilir-gilir mengikut Inche Papa pulang. Saya masih ingat betapa sebaknya saya melihat keadaan Puan Nenek, apabila pertama kali pulang ke kampung setelah mengetahui yang dia menghidap barah. 

Kali terakhir saya bertemu dengannya, badannya hanya tinggal tulang sahaja. Setiap masa dia akan berasa panas dan sentiasa perlu diurut dan dibelai. Makan dan minumnya ala kadar sahaja. Dia tidak lagi mampu untuk bangun sendiri. Kencing beraknya di katil. Sekali-sekala dia akan dipapah untuk dimandikan. Dari suatu sudut, saya berasa lega juga akhirnya Puan Nenek pergi menghadap Allah yang Esa, kerana tidak sanggup lagi melihatkan dirinya penuh derita.

Jika ada satu perkara yang saya mahu sesalkan, adalah ketika ziarah terakhir bertemu dengan Puan Nenek dua minggu yang lepas. Saya mahu membacakan al-Quran sepanjang masa di sisinya, tetapi itu tidak dilakukan. Saya mahu menghabiskan lebih banyak bersamanya, tidak juga dilakukan. Saya mahu duduk di sisinya dan tunjukkan padanya yang saya sayang padanya, juga tidak dilakukan. I should have and could have done more than that. Tsk tsk.

Sebelum saya bertolak pulang ke Kuala Lumpur, saya sempat mengusap rambutnya dan mencium dahinya. Itulah pertemuan saya yang terakhir dengan Puan Nenek.

Masih terngiang-ngiang kata-katanya kepada saya dan ketika dia masih lagi sihat dan mampu berjalan dan berkata-kata dengan baik.

"Tak tahulah selepas ini [Puan Nenek] dapat jumpa [Inche gabbana] lagi atau tidak."

Minta maaf Puan Nenek, saya tiada di sana untuk memandikan jenazahmu, mengkafankan jasadmu dan mencium dahimu buat kali yang terakhir. Tidak dapat juga mengiringi jenazahmu ke liang lahad. Tetapi Insha-Allah, akan saya saya lawati pusaramu nanti. Dan akan saya titipkan doa-doa buatmu, sebagai penenang jiwa dan penerang pusara di sana. Insha-Allah Puan Nenek, kita tidak mungkin bertemu lagi di dunia, tapi moga kita akan bertemu mesra, ketawa gembira dan tersenyum penuh makna di sorga-Nya nanti.  

"Allahummafirghlaha warhamha wa'fuanha."

Moga Allah mengampunkan segala dosa-dosamu, Puan Nenek. Moga Allah menempatkan dirimu di kalangan kekasih dan hamba-hambaNya yang soleh. Dan moga dirimu ketemu bahagia yang kekal abadi di sana.

Sehingga kita ketemu lagi!

-gabbana-

Meriam binti Seman (192?-2012). Meninggalkan enam orang anak, berpuluh orang cucu dan berbelas orang cicit. Moga ketemu sorgaNya di alam sana. Amin. Al-Fatihah.
 

19 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 18/09/2012, 16:31  

Takziah.
Amiin, may Allah grant your wishes.

Ahmad Afiq 18/09/2012, 16:37  

Innalillah...moga arwah ditempat kn di tempat yg diredhai dan dirahmati Allah...amin

Anonymous 18/09/2012, 17:04  

innalillahi wa inna ilaihi rajiun.. kenapa inche x balik kg? lainkali blk je, amik peluang utk doakan, cium, n tgk dia buat kali terakhir. sesungguhnye utk percaya yg dlm kubur tu org yg kita syg agk susah utk org yg xjmpe wktu2 akhirnye. allahualam, bdasarkan pengalaman. moga Allah kurniakan sakinah pd inche sekeluarga.

Anonymous 18/09/2012, 17:10  

Pernah mengalami situasi yg sama dgn arwah tok ayah..waktu Eidulfitri 2008, tiba2 beliau hulurkan duit raya pd cucu nye yg dh besar panjang ni...never thought that was the last time i seen him alive & healthy..tibe2 dapat berita tok ayah meninggal, sedih sbb tok ayah meninggal mengejut, due to heart attack..orang kampung bertungkus lumus cari beliau lewat petang itu,only to find him tertiarap di tepi batas (ikut cerita ahli keluarga)...wlwpun mak kata xperlu balik, still bersungguh cari tiket bas utk balik kg..just wanna see his face for the last time..n alhamdulillah, Allah kabulkan doa & tangisan dalam bas mlm itu..

Anonymous 18/09/2012, 17:53  

pelik jugak knp inche tak balik.. although you have your own reason.. tp for me, bile mampu, apa salahnya balik kan..bukan untuk mengenang si mati, tp untuk menyedarkan diri tentang mati :)
jeles dgn inche yg ade di malaysia bersama keluarga..but for me....

peace :)

Anonymous 18/09/2012, 19:01  

sy mengalirkan air mata membaca entry ini...

haryzkhairuddin 18/09/2012, 19:17  

innallillahi wa inna ilaihi rajiun.

semua yang terjadi dah ditakdirkanNya. jalankanlah tanggungjawab seterusnya...sentiasa mendoakan kesejahteraan Puan Nenek di sana. ;D

Anonymous 18/09/2012, 19:53  

inche dan mana2 muslim harus menunaikan tggjwb sebagai muslim kpd muslim yg laen. pabila meninggal, mengirinya ke kubur. moga twrgolong dlm klgn org yg soleh

ili afiqa 18/09/2012, 20:31  

innalilahi wa inna ilaihi raji'un.moga arwah sentiasa dlm rahnat Allah & may your wish to meet her in hereafter will be granted

aku-bukan-robot. 18/09/2012, 21:01  

tiap yang punya nafas . pasti tak selamanya bisa nafas.innalillahiwainnailaihirajiun.
moga diampunkan dosa2. dan ditempatkan di kalangan orang2 yang Dia kasihi.

takziah.inche gabbana.

bujang jambu 19/09/2012, 04:04  

pelik dgn reaksi IG yelah kan tu nenek awk siap jadi cucu kesayangan kot selalu yg i tau kalo hubungan mcm tu dia takkan lepaskan nk urus jenazah arwah selain pahala leh gak jd sentimental value utk dikenang sepanjang hayat

tapi perasaan manusia memang sukar dijangka maybe ari ni i love u esok i hate u

agaknya sebab mainan perasaan gak sampai ari ni i bujang hmmmm

Anonymous 19/09/2012, 16:57  

sy juga baru kehilangan atuk 2 hari sebelum syawal. dan seminggu yg lalu, sy kehilangan sepupu, kemalangan di jordan. kehilangan yg takkan mungkin bergnti. kesedihan yg belum lagi surut. mohon didoakan kesejahteraan mereka semua yg telah meninggalkan kita terlebih dahulu.

Pujangga Sinis 19/09/2012, 19:21  

Innalillah, moga ditempatkan dikalangan yang beriman, insyallah

hanya insan biasa 20/09/2012, 00:50  

takziah buat IG dan kerabat

jika kita benar beriman pada-NYA jgn pernah merasa kehilangan dan ketakutan dgn kematian



Cik Sepupu 20/09/2012, 22:37  

Meriam bt Saman
1924-2012.
Serius nangis baca apa yg IG tulis ni. Memang nenek seorang yg baik dan penyayang. Sama-sama kita doakan untuk arwah. Cari jgk IG kat kg hari tu tapi nmpk Inche Abg Besar je..

Anonymous 21/09/2012, 00:18  

inalillah..moga rohnya ditempatkan dikalangan orang beriman..nenek saya mariam..juga baru kembali kerahmatullah jun 2012..nazak dihadapan adik-beradik sy..saya masih berborak saat dia mula merasakn lenguh dari kaki ke lutut seterusnya menyaksikan beliau mengadu sakit pinggang dan saat nyawanya di kerongkong...Allahurabbi..moga rohnya turut bersama2 org yg soleh

Anonymous 24/09/2012, 15:36  

saya tidak menyatakan IG tidak berhati perut, kejam, dan tidak mempunyai perasaan. tetapi saya kurang faham dengan tindakan IG seperti di atas.

saya mempunyai seorang nenek yang agak uzur, berumur 80+. baru baru ni saya baru shj bertolak ke luar negara utk menyambung pelajaran, dan sememangnya hati ni sangat berat untuk meninggalkan nenek yang tercinta. tak ke IG rasa, keinginan seorang ibu untuk bersama dengan anak-anaknya itu kekal hingga ke akhir hayat? tak ke IG cuba rasa apa yang ibu IG fikir melihatkan anaknya tidak menziarahi jenazah dan mengiringi jenazah neneknya? boleh jadi ibu IG fikir, "anak aku ni akan ziarah aku ke x eh nanti bila aku dah meninggal.." (worst case scenario of course)

entahlah, saya bukan ingin menghentam IG, tapi andainya Rasullullah saw mengalami peristiwa seperti itu, agak2 baginda akan mengiringi jenazah atau pergi menguruskan negaranya?

agak2 Rasullullah sayangkan negara dia atau ahli keluarga dia?

peace.
p/s: saya tahu IG sayangkan semua orang fillah. :) ^^

Anonymous 26/09/2012, 09:53  

Assalamualaikum..
Takziah buat IG....semoga tabah menghadapi ujianNya ini...

mmg sedih bila memikirkan balik kenangan terakhir bersama arwah org yg kita syg...
saat mmbaca post ni, teringat saya kpd arwah tok wan saya...krn ceritanya lbih kurg sma....

saya mmg sgt rpt dgn arwah tok wan, tp saya jgalah yg paling kesal kerana byk benda yg saya x buat utk arwah sehingga saat pemergiannya....
semuanya krn sikap bodoh saya sendiri..
saya xtahu knpa saya bersikap begitu, wlapun sebnrnya saya sudah punya peluang utk melaksanakannya...

kbiasaannya, arwah x pernh menangis bila saya berbual dgnnya, tp saat terakhir saya dgn arwah, dia menangis menahan sebak..
dan lama arwah pandang saya saat tu, seolah2 lepas saat tu kami dah x bertemu lagi...

mmg sedih,mmg kesal...
tp apa yg saya cuba fikir n lakukan adalah mgkin dgn kesedihan dan kekesalan saya itu bisa mnjdikan saya lebih byk mendoakan arwah...
kerana jika saya x dpt bhgiakan arwah saat hayatnya, biarlah saya bahagiakan arwah dgn doa2 dan ayat2 suci alquran utknya..

semoga Allah membahagiakan mereka smua..
semoga Allah menempatkan mereka diklgn org2 yg disayangiNya...
semoga Allah mengampunkan dosa mereka...
semoga Allah mejauhkan mereka dari azabNya..
semoga Allah menempatkan mereka di syurgaNya...
dan semoga kita bisa bertemu bahgia dgn mereka di syurgaNya kelak....
Amin3....(~_~)

-DrpdNya kita dtg, dan kpdNya jualah kita kembali-

Anonymous 08/07/2013, 11:18  

saya rindu arwah atuk saya...atuk mula sakit masa saya 6 tahun..meninggal masa saya 10 tahun..rindu nak naik basikal toreh getah dia,borak borak dengan dia
:')

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP