10 December 2012

Wahai Akhi Sayang



Akhi sayang,
Pernahkah kita mengimpikan permaidani ajaib atau buluh terbang atau pintu suka hati untuk membawa kita ke mana-mana sepintas lalu dan sekelip mata memandang? Manakan tidak. Seminggu sekali, kita terpaksa berpergian nun jauh ke tanduk dunia, semata-mata untuk membawa bulatan gembira. Pada hari yang lainnya pula, kita terpaksa nun jauh ke ekor dunia pula, untuk mesyuarat yang wajib kita hadiri. Tidak cukup dengan itu, hujung minggu kita penuh dengan pelbagai jenis program yang menuntut komitmen dan kesungguhan kita. Akibatnya, kita keletihan, kesesakan dan kelelahan. Belum lagi dihitung masalah-masalah lain yang cukup merumitkan lagi menekan jiwa, seperti kesesakan jalan raya, karenah rakan sekerja di pejabat dan sebagainya. Alangkah mudahnya sekiranya kita dibekalkan dengan kereta boleh terbang atau hikmat gerakan sejenak! Sekurang-kurangnya mudahlah untuk kita berkejar-kejaran ke mana-mana! Alangkah!

Akhi sayang,
Pernahkah kita mengharapkan segunung emas gedebukkk jatuh di depan mata atau tiba-tiba kita memenangi pertandingan yang hadiahnya bernilai ratusan juta ringgit atau di laman rumah kita tumbuh pokok yang membuahkan wang ringgit? Yalah, duit kita sendiri begitu banyak yang dihabiskan untuk kerja-kerja tarbiyah dan dakwah; infaq sana, tabung kilat sini, bantu orang itu dan ringankan masalah orang ini. Ya in shaa Allah ikhlas dan tulus semuanya. Tetapi alangkah nikmat dan seronoknya sekiranya kita punya sumber kewangan tambahan tanpa had dan henti, yang dapat memberikan kita peluang untuk beramal sebanyaknya. Sudah bermain-main di kepala kita apa yang akan kita gunakan dengan kekayaan sebegitu rupa; beli van besar untuk kegunaan ikhwah, bina rumah banglo lapan tingkat lengkap dengan dewan bawah tanah dan kolam renang untuk kegunaan ketika program, belanja ikhwah makan sedap-sedap dan entah apa-apa lagi! Senarainya panjang tanpa noktah! Wahai!

Akhi sayang,
Pernahkah kita berangan-angan agar Allah kurniakan kita dengan keajaiban masa; kita diberikan tiga puluh enam jam dalam sehari, sembilan hari dalam seminggu dan empat puluh lima hari dalam sebulan..? Kesibukan tahap Otromen Taro menyebabkan kita semput mengatur jadual harian dan mingguan kita. Program dan aktiviti yang sudah dirancang tidak cukup dengan masa yang ada, sampai naik pening kita dibuatnya, bagaimana mahu melunaskan amanah yang ada tanpa menzalimi sesiapa. Adus. Dengan tiga empat bulatan gembira seminggu, konferens riang hampir setiap hujung minggu...di mana ruang untuk wasilah-wasilah tarbiyah yang lain? Celah ketiak? Err. Belum lagi dikira masa untuk keluarga, keluarga ipar (jika *koff* relevan *koff) dan sebagainya. Ohoi kalau ada mesin masa Doraemon sudah cukup bergaya jugalah! 

Akhi sayang,
Pernahkah kita termimpi-mimpi di siang hari untuk dibimbing oleh seorang murabbi agung yang hanya dengan kata-katanya sahaja, bukan sahaja jiwa dan hati kita yang cair, silap haribulan bongkah ais di Alaska sana pon turut cair! Kita bosan dengan murabbi yang sedia ada; kering, tak mesra, pentingkan diri, sibuk dan entah apa-apa lagi tuduhan dan cacian kita lemparkan kepadanya. Wahai, asyik dan nikmatnya sekiranya kita dikurniakan dengan seorang murabbi yang benar-benar memahami, penuh dengan hangat kechentaan dan panas kerinduan kepada kita, tidak lokek membelanja kita makan ikan bakar Jalan Tanglin dan sentiasa bersedia mendengar rintihan dan luahan rasa kita. Namun yang lebih utama daripada semua itu, taujihat dan bimbingannya benar-benar menggugah jiwa dan membuatkan kita benar-benar merasakan kita berada di taman sorga. Dia sememangnya seorang qudwah kader yang sejati! Walaweh!

Akhi sayang,
Pernahkah kita terfikir, alangkah bagusnya sekiranya kita mempunyai hikmat luar biasa seperti Son Goku dengan kamehamehanya, atau Inkredibel Hak dengan kekuatan ekstravaganza yang dimilikinya, atau Harry Potter dengan ayunan tongkat saktinya, atau Superman dengan seluar dalam di luarnya. Eh. Dengan hikmat-hikmat sebegitu haibat, sudah pasti akan kita bantu umat Palestin menghapuskan rejim Zionis Israel laknatullah. Sudah tentu kita akan terbang ke Myanmar dan tolong umat Rohingya menentang kekejaman orang-orang Buddha Arakan. Sudah semestinya kita akan segera menyelamatkan umat Syria yang saban hari dibedil dan disemebelih oleh rejim Assad. Akan kita manfaatkan kelebihan dan kekuatan yang ada pada kita untuk berjihad di jalan Allah dengan sebaiknya!

Akhi sayang,
Atau pernahkah kita mendambakan kehaibatan bercakap seperti akh itu, kegabanan menulis seperti ukht ini dan keoseman menyentuh hati seperti murabbi agung yang seorang itu? Waduh waduh, pasti kerja-kerja tarbiyah dan dakwah kita akan bergerak laju dengan kelogaman sebegitu rupa bukan? Pasti mudah untuk kita yakinkan orang dengan fikrah yang hendak kita bawa. Mesti ramai yang akan tersentuh, mata bersinar-sinar dan wajah penuh teruja, menyerahkan seluruh jiwa dan raganya kepada kita untuk ditarbiyah. Kerja-kerja kita akan jadi lebih muntij dan efektif, tidak perlu bazirkan terlalu banyak masa tertumpu pada seorang-seorang mad'u sahaja. Sekali anda beraksi, semua anda sapu sekali! Pergh.

Pernahkah anda..? Pernahkah..?

Tipulah kalau anda katakan langsung tidak pernah untuk salah satu daripada impian dan angan-angan seperti di atas. Hey anda, orang tipu masuk neraka tahu...?? Gelak keji. 

Ehem. 

Wahai akhi sayang,
Sekiranya begitu mudah jalan perjuangan ini, sudah tentu ramai yang berebut-rebut untuk menyertai gerabak ini. Sekiranya agama ini menjanjikan keajaiban dan perkara-perkara luar biasa dalam menegakkannya, maka tidak perlu ar-Rasul dan para sahabat bertungkus-lumus keluar berjihad untuk menyebarkannya; sudah cukup mereka bergoyang kaki, beribadah di Masjid Nabawi semata-mata. Seandainya agama ini menuntut manusia sesempurna malaikat untuk menggerakkan dan menghidupkannya, sudah pasti lama dahulu ia sudah tertegak dan memerintah alam cakerawala ini setiap masa dan ketika.

"Sesungguhnya Islam datang dalam keadaan asing, dan akan kembali asing. Maka beruntunglah orang-orang yang asing."

[Hadith Riwayat Muslim]

Wahai akhi sayang, 
Manusia tidak akan pernah puas. Dan para dua't juga tidak akan pernah puas dengan kelebihan dan kekuatan yang ada pada mereka. Jika diberi seminggu yang punya sepuluh hari, atau  sebulan yang punya lima puluh hari sekalipon, percayalah, ia tidak akan pernah cukup. Seandainya diberi hikmat bertukar menjadi Otromen atau Suria Perkasa Hitam sekalipon, masih tetap akan ada musuh-musuh yang bersungguh mahu memadamkan nur agama ini. Sekiranya diberi lautan berlian dan sebanjaran emas sekalipon, masih akan ada segelintir manusia yang melakukan kezaliman dan ketidakadilan.

Seandainya manusia diberi dua lembah berisi harta, tentu ia masih menginginkan lembah yang ketiga. Yang bisa memenuhi dalam perut manusia hanyalah tanah. Allah tentu akan menerima taubat bagi siapa saja yang ingin bertaubat.

[Hadith Riwayat Bukhari]

Telan air liur. Mata bergenang.  

Wahai akhi sayang,
Seandainya Allah mahukan kemenangan dan kemuliaan untuk ummah ini, maka sudah lama Dia berbuat demikian. Tiada apa dan siapa-siapa yang mampu untuk menghalangNya. Sekiranya ummah ini sudah layak dan berhak untuk mengecapi kemenangan itu, maka sudah lama ia berlaku. Tiada apa dan siapa-siapa yang boleh menghalangnya. Namun bukan itu yang dikehendakkan Allah di saat ini. Mengapa? Hanya Dia sahaja yang tahu. Mungkin kerana kita belum bersedia. Mungkin kita sudah amat jauh dari sunnah ar-Rasul dan petunjuk al-Quran yang diberikanNya. Mungkin juga dek dosa dan noda yang menebal di dalam dada kita yang kononnya pejuang agama ini.

Potong bawang banyak-banyak.

Wahai akhi sayang,
Islam ini adalah cara hidup dari Tuhan manusia kepada manusia. Ia mesti digerakkan oleh manusia. Ia wajib dihidupkan oleh manusia. Dan hanya manusia sahaja yang boleh memenangkannya. Ia adalah fitrah dan sunnatullah yang bergerak bersama-sama dengan alam ini, senada dengan matahari yang bergerak di atas orbitnya dan sederap dengan graviti yang menarik segala sesuatu ke pusat bumi. Maka agama ini perlu ada wakilnya di muka bumi ini untuk menegakkannya dan memperjuangkannya! Ia bukan agama ajaib yang akan memenangkan dirinya sendiri! Ia bukan juga agama magis yang akan tertegak sendiri tanpa ada tangan-tangan yang mahu menegakkan panji-panjinya yang mulia!

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."
[Muhammad, 47: 7] 

Wahai akhi sayang,
Siapa anda pada hari ini, itulah yang terbaik untuk anda dan untuk agama ini, In Shaa Allah. Allah itu Maha Adil tahu..? Dia kurniakan setiap orang dengan kelebihan dan kekuatan masing-masing. Arakian jangan sesekali memandang rendah pada sumbangan dan apa yang anda boleh lakukan untuk agama ini. Setiap sumbangan dan pengorbanan anda untuk menyebarluaskan risalah mulia ini nilainya terlalu amat berharga. Percayalah. Dan meskipon klise bunyinya, bukankah Allah tidak akan membebankan seseorang itu dengan sesuatu yang tidak mungkin ditanggungnya..? Yakinlah akhi sayang, bukan kebetulan anda bersama-sama gerabak ini. Bukan kebetulan anda dilanggar Makcik Hidayah lantas kembang-kempis hidung anda untuk berbakti pada agama ini. Semuanya sudah direncana oleh Allah, yang mahukan anda memenangkan agama ini. Ya, andalah, siapa lagi...??

Wahai akhi sayang, 
Ya jalan ini sukar dan dipenuhi dengan ranjau dan duri. Bukan ranjau dan duri yang biasa-biasa, tetapi duri dan ranjau bersaiz gergasi. Ia bukan pula lorong-lorong yang dipenuhi dengan popkon panas dan Nini Cokelat Celup, Celup Celup! Err. Tapi inilah jalannya, hai akhi sayang. Ia sudah pon dilalui oleh orang-orang terdahulu dan mereka telah membuktikan betapa kita juga mampu untuk melaluinya dengan warna-warni yang berterbangan (Baca: Flying colors). Kita akan diuji, ya itu pasti. Kita akan diasak dan dibelasah berkali-kali, ya itu juga mesti. Tetapi inilah jalannya; inilah jalan yang sudah terbukti akan membawa kita ke destinasi yang hakiki - sorga yang abadi. 

Dan akhi sayang, kalau bukan kita yang mahu melakukannya, kalau bukan kita yang mengorbankan jiwa dan harta kita seluruhnya untuk agama yang terchenta ini, kalau bukan kita yang mahu menggagahkan diri melalui jalan yang sumpah panjang ini, siapa lagi..?

"Akan sentiasa ada satu golongan dari umatku yang menegakkan kebenaran. Mereka tidak akan tergugat oleh sesiapa pun yang menentang mereka sehingga datanglah hari qiamat dan mereka tetap di dalam keadaan mereka."

 [Hadith Riwayat Muslim]

Mari akhi, kita sama-sama selusuri jalan ini bersama-sama? Biar lambat, asal selamat. Biar kita terjatuh dan tersembam berkali-kali, asal kita bangkit semula dan teruskan perjalanan ini. Biar kita dikeji dan dihina sepanjang pengembaraan ini, asal kita dirai dan dipuja di sorga sana.

Mari..? Genggam tangan kuat-kuat, melangkah dengan pasti, menuju sinar cahaya yang hakiki.

-gabbana-

Moga menjadi pembakar semangat anda yang sudah lebur, pemukul lena buat anda yang sudah tertidur dan pengoyak jiwa buat anda yang sudah mahu gugur. Senyum.

5 Caci Maki Puji Muji:

link 10/12/2012, 17:19  

Sentap~

Bidadari Syurga 10/12/2012, 19:52  

garapan yang menarik. sejujurnya, saya pun rasa sebegitu.

fatimahmuhd 10/12/2012, 20:42  

Basah hati yg agk kering ni.jazakillah:-)

Aflah 10/12/2012, 21:00  

entah.kadang rasa malu sendiri sebab nak semua benda menjadi terlalu mudah dan indah..

memang dushh laa artikel ni

haryzkhairuddin 10/12/2012, 22:27  

kerapkali berharap begitu.. adanya kuasa2 luar biasa dalam kehidupan.

cuma mungkin lubuk hati tak cukup dalam untuk menampung semua air yang dicurahkan. masih tak cukup kuat untuk menghadapinya..

apapun, coretan2 di belog ni sentiasa datang menerjah tepat pada masanya.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP