26 March 2013

Hubb

[Kredit]

Hubb.

Ah menyebutnya sahaja sudah rasa tertusuk hati ini. Basah. Bergetar.

Chenta. Amour. Pyaar. Love.

Hubb. Bukan sekadar kata. Bukan hanya halwa telinga.

Suatu perasaan luar biasa yang Allah kurniakan buat para hambaNya. Istimewa. Mempesona. Benar-benar luar biasa.

Perasaan yang terbit dari ruang hati yang dalam, yang seringkali membuatkan kita tidak keruan dan bingung tertanya-tanya. Duduk tak senang. Berdiri tak jadi. Baring terus tertidur. Eh.

Chenta menyebabkan seorang panglima berbaju kebal berkilat dan kuda putih gesit yang pantas, mengembara ribuan batu jauhnya hanya semata-mata mahu bertemu dengan puteri raja kechentaan hatinya.

Chenta menyebabkan si penyair hebat dan si pengkarya sastera sanggup menghabiskan masanya semata-mata mahu menterjemahkan rasa chenta mereka yang mendalam kepada dunia. 

Chenta menyebabkan ramai tukang batu dan kayu, jurubina dan arkitek bertungkus-lumus membangunkan dan membina monumen chenta yang tak akan lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Chenta menyebabkan ramai yang tidak tidur malam terbayang-bayang, tidak kenyang makan bersenang-senang dan tidak basah mandi sebarang. Ah gila! 

Malah chenta jugalah yang bertanggungjawab menyebabkan ramai manusia-manusia goblok di luar sana, terjun dari bangunan yang tinggi, dari jambatan besi atau di hadapan keretapi!

Ah chenta! Hubb!

Lantas, kerana apa kita berchenta..? Kerana apa hubb itu menusuk ke dalam kalbu yang paling jitu..? 

Saya mula-mula mengenali chenta ketika masih kanak-kanak Ribena. Chenta kepada Puan Mama dan Inche Papa yang menjadi tempat pergantungan sehari-hari. Terasa begitu dimanjakan mereka. Terasa begitu bahagia dan selesa mengetahui bahawa mereka sentiasa ada di sisi, setiap masa dan ketika. 

Kemudian chenta monyet tak ingat dunia, ketika berada di tadika. Berkenan dengan seorang kawan sekelas ini, yang menaiki bas yang sama. Masuk ke sekolah rendah, jatuh chenta pada perempuan yang lain pula! Dasar kasanova bawah umur!

Mujur saya ke Sekolah Bintang untuk pengajian peringkat menengah, kerana para pelajarnya semuanya satu jantina. Namun tidak boleh jamin juga, kerana ada sahaja kes para pelajarnya ditangkap melalukan perbuatan terkutuk kaum Nabi Lut! Waduh, mujur atau terkubur...? Ketika ini juga, hormon sedang memuncak naik. Zaman remaja la katakan. Wahahaha. Setiap kali ada peluang untuk menyertai acara atau pertandingan di luar sekolah, pasti peluang ini tidak akan dilepaskan untuk mencuci mata sepuas-puasnya.

Dan saya benar-benar mengenali makna chenta antara dua jantina ini adalah ketika berada di kolej, ketika mana peluang terbuka luas untuk saya mendekati kaum Hawa ketika umur sudah meningkat dewasa. Matanglah kononnya.

Nikmatnya..? Tidak terkira. Penyesalannya..? Perlukan kalkulator. Sumpah jika Doraemon benar-benar wujud, sudah lama saya pinjam mesin masanya untuk kembali ke masa lampau, mengubah perjalanan chenta saya itu. Penyesalan saya tidak mungkin akan dapat dipadamkan buat selamanya, kerana menikmati chenta yang haram; memetik buah-buah chenta terlarang ketika ia belum benar-benar lagi ranum dan wangi. 

Ah chenta! Hubb!

Akhirnya saya diperkenalkan dengan chenta yang sebenar, chenta yang teragung apabila melanjutkan pelajaran ke luar negara. Siapa sangka, di negara Barat yang penuh dengan najis maksiat dan sekular jahat itulah saya menemukan chenta sejati.

Oh, bukan dengan si rambut perang bermata biru. Bukan juga dengan si rambut hitam berkulit minyak zaitun itu. 

Namanya tarbiyah. Juga dakwah. Ya, saya jatuh chenta dengan mereka berdua, kerana merekalah yang menjadikan saya lebih dekat kepadaNya. Mereka jugalah yang menyebabkan saya jatuh chenta dengan ar-Rasul SAW dan para sahabat baginda. Dan ah, dua makhluk itu jugalah yang menyebabkan mata saya bersinar-sinar, jatuh chenta berulang-ulang kali dengan ukhuwwah fillah penggugah jiwa. 

Ya, chenta. Hubb. Masuk terus ke dalam hati. Sanubari. Tanpa kompromi.

Hanya mereka yang pernah berada di dalam kasut saya mengerti betapa lazat dan nikmatnya chenta yang satu ini.

Lantas, apa itu chenta..? Bagaimana mahu meraikan chenta..?

Chenta, boleh terbit dari pengorbanan yang agung, sepertimana Ibrahim 'alaihi solatu wassalam yang sanggup mahu menyembelih anak kesayangannya sendiri, kerana chentanya yang tidak berbelah bahagi kepada Allah 'azza wajalla.

Chenta, boleh muncul dari rasa ketakutan kepada kemaksiatan, semacam Yusuf 'alaihi solatu wassalam yang melarikan diri dari godaan isteri al-Aziz.

Chenta, bisa juga disemai daripada perasaan cemburu, sebagaimana 'Umar al-Khattab r.a. yang sentiasa cemburu dengan sahabat baik dunia akhiratya, Abu Bakr as-Siddiq r.a.. 

Chenta, boleh jadi tertuai dengan rasa penyesalan yang teramat, taubat yang mencapai kemuncaknya sepertimana Yunus 'alaihi solatu wassalam penuh keinsafan memohon keampunan di dalam perut ikan Nun.

Chenta, boleh juga wujud daripada rasa kebingungan dan hilang arah, semacam Adam 'alaihi solatu wassalaam yang berkejaran penuh kebimbangan mencari Hawa, yang terpisah daripadanya apabila keduanya dicampakkan ke dunia. 

Dan chenta, kadangkala datang dalam bentuk kerinduan yang tersangat, walau kejauhan, meski tidak kelihatan, hatta tidak pernah bertemu kemesraan, sebagaimana ar-Rasul SAW menchentai umatnya seluruhnya dan kita pula menchentai baginda sepenuh jiwa. 

Ah, chenta! Hubb! 

Dan untuk siapakah chenta ini..? Siapakah yang selayaknya merangkul chenta kita yang tidak berbelah bahagi ini..?

Sesiapa pon bisa sahaja memilikinya. Inche Papa, Puan Mama, Puan Zaujah, Inche Zauj, Cik Adik Perempuan, Inche Abang Besar, Puan Kawan Baik, rakan sekerja, kucheng putih gemok gebu di rumah, guru sekolah, ikhwah akhawat fillah, nenek saudara, makcik jual pisang goreng di tepi jalan, tukang kebun sekolah, pemandu bas ekspres... 

Pokoknya dasar chenta itu adalah keimanan. Asas chenta itu adalah ketaqwaan. Dan pertama-tama sekali, rasa kasih dan chenta itu perlu disirami kepada zatNya yang agung dan ar-RasulNya yang mulia.

Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Tiga sifat, barangsiapa mempunyai sifat-sifat yang berikut akan merasai kemanisan iman: Pertama, mereka yang mencintai Allah SWT dan Rasul SAW lebih dari segala sesuatu. Kedua, tidak mencintai seseorang kepada seseorang yang lain kecuali kerana Allah SWT. Ketiga, seseorang yang membenci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api."
[Hadith Riwayat Bukhari]

Ayuh luahkan kechentaan kita kepada Allah! [Kredit]

Sudah, bagaimana kita mahu berchenta..? Kepada siapa yang perlu kita merujuk, untuk menjadi si penchenta tegar..?

"Katakanlah, 'Jika kamu (benar-benar) menchentai Allah, ikutilah aku (Nabi Muhammad), nescaya Allah mengasihani dan mengampuni dosa-dosamu.' Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang."
[ali-Imraan, 3:31]

Ya, si Nabi itu. Si Nabi yang mulia, yang penuh dengan kechentaan dan kerinduan, setiap masa dan ketika. 

Chentanya pada Tuhannya yang satu, tiada siapa yang dapat mempersoal dan mempertikaikannya. Apabila ditanya mengapa baginda terus kuat dan istiqamah bangun malam, bertahajud dan bermunajat kepadaNya, meski baginda bersih dari sebarang dosa apa jawapan tuntas baginda? "Salahkah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?"

Chenta baginda kepada para sahabatnya juga mulia dan tidak tertanding oleh sesiapa, sehingga baginda mencela sesiapa sahaja yang menghina dan mencaci para sahabat kesayangannya.

Dan tentu, chenta baginda kepada umatnya setinggi langit, seteguh gunung dan seluas laut membiru yang tiada berpenghujung. Sehingga baginda menggelar para penchentanya sebagai saudara-saudaranya di akhirat nanti.

Ah chenta! Hubb!

Perkataan 'hubb' itu sendiri, sekiranya dikaji, mempunyai makna yang cukup mempesona. Al-Hujwiri dalam kitabnya 'Kasful Mahjub' menjelaskan maksud al-hubb (mahabbah) sebagai berasal daripada perkataan 'habbab' yang beerti benih-benih yang jatuh ke bumi padang pasir.

Lantas saya teringat pada ayat chenta yang satu ini:

"Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit, (pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat."
[Ibrahim, 14: 24-25]

Ya, kita menanam benih chenta di dunia, kita siramnya dengan penuh rasa ikhlas dan tulus di jiwa, kita benihnya dengan kelapangan dada dan keredhaan rasa dan kita belai anak-anak benih chenta ini dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. 

Bila masakah kita memetik buah-buah chenta yang meranum, setelah akarnya jauh menghunjam ke dalam bumi, pohon dan ranting-rantingnya menjulang ke langit tinggi..? 

Sorga. Ya, sorga yang abadi. Dengan izin Allah, Tuhan yang hakiki. Itulah pengakhiran episod kisah chenta agung seorang hamba dengan Tuhannya.

Nanges sambil tersenyum penuh bahagia.

Ah chenta! Hubb!

Buat mereka yang tidak pernah merasakan hangat dan berkuasanya chenta, nasihat saya, lebih baik pergi terjun gaung. Ini kalilah! Eh.

Dan buat mereka yang tidak terbit sekelumit rasa mahu menchentai di dalam hatinya, nah, saya hadiahkan sepotong hadith ini untuk anda.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahwa suatu ketika Rasulullah saw. mencium Hasan bin Ali dan berdekatan dengannya ada Al-Aqra’ bin Hayis At-Tamimi sedang duduk. Al-Aqra’ kemudian berkata, “Aku memiliki sepuluh orang anak dan tidak pernah aku mencium seorang pun dari mereka.” Rasulullah SAW segera memandang kepadanya dan berkata, “Man laa yarham laa yurham (barangsiapa yang tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi)."
[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

Nah, bagaimana..? Kini terasa seperti mahu mechentai, sepenuh hati..? Senyum.

Buat akhirnya, saya hadiahkan sepotong ayat chenta, buat kalian yang amat saya chentai keranaNya:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementar hatinya dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah (kuat) keimanannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal."
[al-Anfal, 8:2]

Aduh penangan chenta! Hati yang gementar, bergetar kerana chenta! Iman yang bertambah kukuh, utuh, kerana chenta! 

Ayuh! Mari kita raikan chenta yang suci keranaNya! Mari kita sebarkan chentaNya kepada seluruh umat manusia! Dan mari kita berchenta dalam memburu redha dan kasih-sayangNya!

Fi amanillah, wa fi hubbillah. Moga sentiasa di dalam lindungan Allah dan kechentaanNya yang abadi.

Salaam chenta dari saya. Senyum.

-gabbana-

Chenta bukan segala-galanya, namun segala-galanya bermula dengan chenta. Ya, chenta. 

Senyum lagi.

7 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 26/03/2013, 17:15  

@inche gabbana sekolah STAR eh ? berigak ! kantoi , wakakaka

ENCIK MUSAB 26/03/2013, 17:35  

Ana uhibbuka fillah ;)

Anonymous 26/03/2013, 17:49  

rasanya macam ada pulak orang yang jatuh cinta dengan inche. bahaya juga.hahaha

Musafir Jalanan 27/03/2013, 03:52  

fi amanillah tu maksudnya apa ya dalam BM ? (^_^)

Muhaimin Saharudin 27/03/2013, 06:09  

Fi amanillah tu maksudnya dalam jagaan Allah :)

perindu_خلافة 28/03/2013, 00:12  

semoga kita punya ruang dan peluang untuk bertemu dalam rahmat Allah,

terima kasih jugak atas penulisan yang telah menggetarkan hati ni,
hubb

Anonymous 30/03/2013, 21:52  

STAR

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP