17 December 2013

Jalan Ini Sumpah Panjang 3.0

[Kredit]

Jalan ini sungguh panjang. Benar-benar panjang. Sumpah panjang.

Setiap kali, apabila melihatkan keadaan sekeliling, melihatkan masyarakat yang hedonis, melihatkan anak-anak yang sejak dari kecil sudah diajar dengan kemewahan dunia dan keseronokan yang fana, saya ragu-ragu, punya masa hadapankah ummah ini..? 

Setiap hari, apabila membaca berita-berita di surat khabar atau portal-portal berita di alam maya, dengan kebejatan para menteri yang tidak bertimbang-rasa, kadar jenayah yang sudah sampai ke paras bumbung, keruntuhan akhlak segenap lapisan masyarakat, kos hidup yang semain menghimpit, fitnah itu, tuduhan ini, hati ini sering bermonolog sendiri, adakah benar Islam akan menang semula?

Dan setiap ketika, melihatkan usaha-usaha dakwah diri ini yang tidak seberapa, menyaksikan binaan-binaan dakwah yang entah ke mana, pengorbanan diri yang menghabiskan beras cap Faezah sahaja dan karat-karat pada hati yang masih chentakan dunia, saya garu kepala dan tertanya-tanya, adakah saya sempat untuk menyaksikan khilafah Islamiyyah akan bangkit semula..?

Nanges. 

Bukan sekali dua saya ragu-ragu.

Bukan sedikit saya diserang was-was.

Dan bukan jarang-jarang saya sering tertanya-tanya.

Bagaimana umat Islam yang kerdil dari segi kekuatan dan keyakinan ini mahu melawan raksasa kuffar yang sudah begitu jauh ke hadapan?

Bagaimana Islam yang tampaknya seolah-olah tidak menawarkan apa-apa kepada dunia, malah sering dilabel sebagai agama pengganas, ajaran tidak masuk akal dan ideologi lapuk ini mahu memenangi hati masyarakat dunia?

Bagaimana umat Islam yang sering dihina, ditertawakan, dipijak dan disepak seperti anjing kurap ini, mahu bangkit semula dan melawan arus dan gelombang jahiliyyah yang sudah begitu kuat dan hebat, menguasai hampir keseluruhan alam buana? 

Bagaimana...? Bagaimana..? Bagaimana...??

Persoalan-persoalan sebeginilah yang sering bermain di fikiran yang menyebabkan saya menggaru kepala yang tidak gatal. Silap haribulan nanti terbotak awal pula saya yang kacak ini. Eh. 

Punya masa hadapankah ummah ini? Sempatkah saya hidup untuk menyaksikan Islam bangkit semula, gah memerintah seluruh alam semesta? Masih ada harapankah untuk umat ini bangkit semula...?

Potong bawang merah, bawang kecil dan bawang besar. 

Malah yang menyebabkan saya terasa seperti mahu terjun gaung yang paling dalam, adalah apabila melihatkan betapa sedikitnya usaha-usaha saya ke arah mengembalikan kemuliaan Islam itu. Jika hendak dibandingkan pengorbanan dan sumbangan saya dengan tokoh-tokoh haibat Super Saiya seperti Musa bin Nusayr, Tariq bin Ziyad, Sultan Muhammad al-Fatih, Saifuddin Qutuz, Salahuddin al-Ayyubi, Imam Hassan al-Banna dan entah bermacam-macam lagi figur-figur besar yang segan untuk saya sebutkan, jika hendak dibandingkan oren dengan oren dan epal dengan epal dengan mereka ini, aduh, terasa seperti mahu buat terjun bebas dari kapal terbang tanpa memakai payung terjun. 

Pengorbanan mereka. Sumbangan mereka kepada agama. Kesungguhan mereka dalam menegakkan Islam. Tekad dan azam mereka dalam mengembalikan semula kemuliaan Islam. Semangat mereka untuk menghapuskan jahiliyyah. 

Benar, benar. Berusahalah sekadar mana yang mampu. Jangan bandingkan diri dengan tokoh-tokoh hebat itu kerana mereka sememangnya luar biasa dan ektravaganza. Bukankah Allah tidak membebankan seseorang melebihi kesanggupannya? Dan bukankah Allah tidak melihat kepada hasil; Dia hanya menilai kepada usaha-usaha kita yang ikhlas itu..? Bukankah begitu..?

Tapi benarkah itu hakikatnya?? Atau kita sekadar melontarkan alasan untuk menyedapkan harti yang gundah? Kita hanya bermadah, kerana mahu melarikan diri daripada tanggungjawab dan amanah?

Sudahkah kita benar-benar berkorban? Sudahkah kita benar-benar bersungguh-sungguh dalam melaksanakan Syahadatul Haq ini..?? Adakah kita sudah menjual seluruh, saya ulang, SELURUH jiwa dan harta kita untuk agama yang terchenta ini...??

Adoilaa pengsan. Bangun dan pengsan sekali lagi.

Kita masih chentakan rumah dan katil kita, sehingga berasa selesa dan sayang untuk meninggalkan rumah untuk urusan dakwah. Kita masih punya banyak masa untuk menonton filem dan bermain DOTA. Kita masih ada wang untuk dihabiskan untuk kehendak dan kepentingan dunia kita. Kita rasa malas untuk mentajmik hadek-hadek baharu untuk diajak berbulatan gembira. Kita sudah rasa puas dengan sumbangan-sumbangan kita yang tidak seberapa itu dalam usaha-usaha menegakkan Islam. Kita amat gerun terkencing-kencing memikirkan andai nasib rakyat Palestin dan Syria menimpa kita. Kita merungut dan berdolak-dalih apabila sang murabbi memberikan tugasan dan amanah kepada kita. Kita terasa amat berat dan payah untuk meninggalkan jahiliyyah dan maksiat kita yang sudah berlemak itu, meski kita tahu betapa ia menjadi penghalang besar buat dakwah.

Kita malas. Kita gemok. Kita banyak alasan. Kita pengecut. Kita terlalu chentakan dunia.

Wahai saudara-saudaraku, sekarang anda beritahu saya, punya harapankah agama ini dengan kita yang sebegini rupa? Masih ada cankah untuk Islam ini tegak semula, andai ia disandarkan pada bahu-bahu kita? Masih punya masa hadapankah ummah ini, andai ia berharap kepada kita...?

Masih ada bawangkah yang boleh dipotong laju..?

Dan anda beritahu saya, sekiranya bukan kita yang mahu diharapkan untuk menegakkan kembali panji agama ini yang telah lama patah dan menyembah bumi, siapa lagi...?

SIAPA LAGI....???
"Wahai orang-orang yang beriman! Barangsiapa di antara kamu yang murtad (keluar) dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum; Dia menchentai mereka dan mereka pon menchentaiNya, dan bersikap lemah-lembut terhadap orang beriman, tetapi bersikap keras terhadap orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Itulah kurnia Allah yang diberikanNya kepada siapa sahaja yang Dia dikehendaki. Dan Allah Maha Luas (pemberianNya), Maha Mengetahui."
[al-Maidah, 5:54]

Belum cukup pedas..? Belum cukup hangus? Belum cukup koyak?
"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa apabila dikatakan kepada kamu, 'Berangkatlah (untuk berperang) di jalan Allah,' kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu lebih menyenangi kehidupan di dunia daripada kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit!

Jika kamu tidak berangkat, nescaya Allah akan menghukum kamu dengan azab yang pedih dan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan merugikanNya sedikit pon. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."
[at-Taubah, 9:38-39]


Nanges laju-laju. Eh, anda tidak mahu sertai saya kah?

Tunggu tunggu, saya belum selesai lagi. Saya khuatir sekiranya artikel ini tidak dihabiskan dengan satu titik noktah yang baik, ramai pula yang masuk surat khabar nanti, kerana terjun gaung beramai-ramai.

Sekiranya ada satu kisah dalam sirah Nubuwwah yang membangkitkan semangat saya semula, yang memberikan saya harapan, yang mengiyakan bahawa sememangnya ada cahaya di hujung terowong, pastilah kisah ini.

Ketika ar-Rasul SAW pertama kali menerima wahyu dari langit dan ditugaskan untuk menyebarkan risalah agung itu kepada seluruh masyarakat musyrikin Mekah, anda rasa-rasalah, apa perasaan baginda ketika itu? Baginda terpaksa berhadapan dengan lautan jahiliyyah, gelombang taghut dan ribut taufan kemungkaran. Baginda yang hanya punya beberapa orang sahabat setia ketika itu, terpaksa berhadapan dengan seluruh masyarakat Arab yang menentangnya. Dan baginda yang tidak punya kekuatan ekonomi, pangkat apatah lagi tentera, terpaksa mengambil risiko bahawa nyawanya dan para sahabatnya yang terchenta pada bila-bila masa sahaja akan terbunuh.

Adakah ketika itu baginda tahu bahawa suatu hari nanti Madinah akan menjadi kerajaan Islam yang pertama? Adakah ketika itu baginda sudah dapat meramalkan bahawa baginda dan para sahabat akhirnya akan menang? Adakah ketika itu baginda sudah dapat melihat masa hadapan, bahawa suatu hari nanti Islam akan memerintah seluruh alam buana dengan penuh adil dan saksama?

Anda tahu jawapannya. 

Namun adakah baginda berputus-asa..? Adakah baginda melemah semangat dan jadi layu, tidak bertenaga? Adakah seksaan, pulauan dan cacian yang dihadapi baginda dan para sahabat menjadikan baginda tidak keruan, tidak yakin dengan ketentuan-Nya...?

Ya, anda juga tahu jawapannya. Tapi kali ini saya mahu bantu anda jawab.

Tidak. Tidak. TIDAK. 

Apa kata-kata lejen baginda dalam peristiwa Thaif...??

Wahai Tuhanku, kepada Engkaulah aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya upayaku pada pandangan manusia.

Wahai Tuhan Yang Maha Rahim, Engkaulah Tuhannya orang-orang yang lemah dan Engkaulah tuhanku.

Kepada siapa Engkau menyerahkan diriku? Kepada musuh yang akan menerkam aku atau kepada keluarga yang Engkau berikan kepadanya urusanku, tidak ada keberatan bagiku asalkan Engkau tidak marah kepadaku.

Sedangkan afiat-Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya muka-Mu yang mulia yang menyinari langit dan menerangi segala yang gelap dan atas-Nyalah teratur segala urusan dunia dan akhirat.

Dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahan-Mu atau dari Engkau turun atasku azab-Mu. Kepada Engkaulah aku adukan halku sehingga Engkau ridha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau."

Boleh hulurkan sapu tangan...? 

Kata Imam Hassan al-Banna,

"Kita juga mahu bangsa kita faham bahawa mereka lebih kita sayangi daripada diri kita sendiri. Demi kasih sayang ini kita sedia jadikan nyawa kita sebagai penebus demi mengembalikan kehormatan bangsa ini. Nyawa ini sedia dikorbankan demi menebus semula maruah, harga diri, agama dan impian mereka jika perlu. Pendirian ini lahir dari rasa hati yang sekian lama mencengkam hati ini. Rasa hati yang sekian lama menyelubungi perasaan ini. Rasa hati yang menyebakan mata ini tidak lena tidur. Rasa hati yang menyebabkan air mata ini sentiasa bercucuran. Rasanya terlalu sukar untuk sekadar melihat nasib yang menimpa masyarakat kita kemudian kita hanya berpeluk tubuh menerima segala penghinaan ini, atau redha dengan segala kehinaan ini, atau sekadar mendiamkan diri. Demi Allah, kita akan bekerja di jalan Allah untuk kepentingan manusia lebih daripada untuk kepentingan diri kita sendiri."
- Dakwah Kita

Uhm uhm.

Ayuh bangkit! Ayuh jangan bermalas-malasan! Ayuh kikis karat-karat jahiliyyah pada hati dan badan!

Walaupon terowong kegelapan ini masih panjang, namun yakinlah, akan ada cahaya di hujungnya! 

Umat ini memerlukan anda! Masih ramai di luar sana yang terkapai-kapai, mengharapkan bahtera si penyelamat untuk menyelamatkan mereka yang hampir lemas dalam lautan duniawi! Masih ramai di luar sana yang sedang nyenyak dan lena, meski rumah sedang terbakar dijilat api!

Jika kita masih lalai dengan mainan dunia, masih tidak mampu untuk membuang jahiliyyah yang menyesakkan, masih gemok di sofa menonton telebisen 33 inci sambil memakan popkon perisa karamel, pada siapa lagi umat ini mahu harapkan...??

Ayuh bangun! Sudah tiba masanya untuk kita melajukan langkah dan derapan kaki kita!

Kerana jalan ini sumpah panjang...!

-gabbana-

10 Caci Maki Puji Muji:

Unknown 17/12/2013, 10:46  

Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati jalan Dakwah dan Tarbiyah ini. InsyaAllah. Islam takkan tertegak kalau para pejuang beegoyang kaki memghabiskan masa lapang dengan perkara sia-sia. Jangan sebab sikap yang suka tangguh kerja oleh para ikhwah/akhawat menyebabkan kemenangan Islam itu tertangguh.

Unknown 17/12/2013, 11:17  

Akhi,
kalau ada orang tanya,
"selain berdakwah kepada orang lain, sumbangan apa yang boleh kita buat untuk menegakkan kembali tiang Islam seperti di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat dulu?"
akhi akan jawab apa?

Anonymous 17/12/2013, 13:52  

Mentarbiyyah dan membina individu individu muslim, rijal dan generasi ta'sis

Ahnonimus 17/12/2013, 21:57  

gua serius rasa nak nangis baca ini. TT_TT

tapi gua pelik, encik gebena potong bawang banyak2 nak buat apa? rewang ke?

okbhai

Unknown 18/12/2013, 15:14  

Wallah serius nangis baca. koyak habis jantung hati ni. Barakallahu fik Inche gabbana :')

Anonymous 19/12/2013, 10:12  

subhanallah...

Anonymous 19/12/2013, 19:14  

Pengsan 2x bce ni...adakah kte sempat merasakn kemenangan islam...dipimpn oleh khalifah yg memerintah dgn adilnya?semua tletak dtgn kte

Anonymous 19/12/2013, 21:44  

Tarbiyah satu jalan yg sangat susah...penuh dengan dugaan...seperti kereta api cinta Allah..kereta api sarat dengan penumpang..sama ada kiter nak turun sebelum sampai destinasi sebab tak tahan dengan ramai orang dalam kereta api itu or meneruskan even terpaksa berhimpit..yang pasti keputusan dtangan kiter...tiada yang rugi melainkan diri kiter...begitu jugak jalan tarbiyah....

Anonymous 19/12/2013, 22:57  

sumpah saya terasa . makin gemok dengan tilam yang semakin menipis , telebisen yang besar gedabak T^T

ya , jalan ini sumpah panjang tapi yakin saya pada-Nya tidak akan pernah sirna . In sha Allah .

Akmal Zaidi 27/12/2013, 10:55  

Terbaik la artikel ni, semoga bermanfaat dan share kepada semua

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP