2 December 2013

Taubat Dalam Taubat

[Kredit]

Surah at-Taubah adalah antara surah yang paling pawer (pada pandangan saya) yang terkandung di dalam al-Quran. Antara surah yang terakhir diturunkan kepada Nabi SAW, surah ini memuatkan kecaman demi kecaman yang keras terhadap orang-orang musyrik dan fasiq yang terus-menerus memusuhi Islam dan para pejuangnya. 

Kerana itu surah ini juga dikenali dengan 'Bara'ah' yang bermaksud 'memutuskan', kerana ayat pertama surah ini menceritakan bagaimana Allah murka dan memutuskan terus sebarang perhubungan dengan kaum musyrikin yang khianat kepada perjanjian yang telah termeterai antara mereka dan umat Islam. 

Surah ini juga mengandungi peringatan-peringatan yang cukup basah lagi menggugah jiwa buat mereka yang bergelar dua't ilallah. Seruan-seruan yang menggerakkan hati yang malas dan jiwa yang culas yang terkandung di dalam surah ini, dapat membangkitkan kembali semangat dan menyemarakkan kobar api perjuangan yang semakin malap.

Seorang sahabat besar, Abu Ayyub al-Ansari, pernah menyifatkan ayat empat puluh satu dalam surah at-Taubah:

"Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupon dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui."
[at-Taubah, 9:41]

sebagai dalil yang membatalkan sebarang keuzuran untuk tidak pergi berjihad. Bahkan, beliau yang sudah tua lanut pon tetap mengangkat senjata, bersama-sama dengan ekspedisi tentera Islam untuk membebaskan Kota Konstatinopel! Walaweh!

Begitulah hebatnya ayat surah at-Taubah dalam menggerakkan hamasah para sahabat! Wahai! 

Namun yang lebih menyentuh sanubari dan membelai perasaan saya adalah apabila memahami mengapa surah ini dinamakan dengan 'At-Taubah' yakni taubat. Surah ini mahu menceritakan kepada orang-orang mu'min, betapa besar dan beratnya dosa seseorang mu'min itu, Allah akan tetap menawarkan pengampunan yang total dan tanpa syarat, andai dia menyerahkan seluruh jiwa dan raganya untuk bertaubat.

Hal ini disimpulkan dalam kisah tiga sahabat yang tidak ikut sama pergi berperang dalam perang Tabuk, yakni Kaab bin Malik r.a., Hilal bin Umayyah r.a. dan Mararah bin Rabi' r.a.. Mereka yang benar-benar menyesali perbuatan mereka dan sungguh-sungguh dalam memohon keampunan daripada Allah dan RasulNya, akhirnya memperoleh apa yang mereka dambakan setelah lebih 50 hari dipulau oleh para sahabat, melalui ayat seratus tujuh belas dan lapan belas dalam surah at-Taubah:

"Sungguh, Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang Muhaijrin dan orang-orang Ansar, yang mengikuti Nabi pada masa-masa sulit, setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang kepada mereka.

Dan terhadap tiga orang yang ditinggalkan. Hingga ketika bumi terasa sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa mereka pun telah (pula terasa) sempit bagi mereka, serta mereka telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lari dari (seksaan) Allah, melainkan kepadaNya sahaja, kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang."

[at-Taubah, 9:117-118]

Kerana itu juga surah ini diturunkan di di akhir-akhir kenabian ar-Rasul SAW, kerana seolah-olahnya ia memberitahu kita, harapan itu masih dan tetap akan ada. Kerana sebagai seorang mu'min (InshaAllah!) kita tidak akan terlepas daripada melakukan maksiat dan noda. Dalam menghabiskan sisa-sisa perjuangan kehidupan ini, pastinya kita akan terkhilaf dan tersadung akar-akar dosa, namun kita bisa bangkit semula dengan taubat. Ya, taubat. Betapa Allah itu Maha Pengampun, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, buat hamba-hambaNya yang tidak pernah berputus-asa dengan rahmat dan keampunanNya!

Ah, manis!

Di sebalik kecaman dan ancaman keras Allah terhadap bukan sahaja orang-orang kafir dan munafiq malah terhadap orang-orang mu'min, terdapat juga beberapa ayat di dalam surah ini yang penuh dengan kelembutan dan kasih-sayang. Dan menarik sekali bagaimana ayat-ayat sebegini diposisikan di akhir surah, seakan-akan menyimpulkan keseluruhan intipati surah ini.

Mari kita lihat dan tadabbur.

"Sungguh, telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan yang kamu alami, (dia) sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman.

Maka jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah (Muhammad), 'Cukuplah Allah bagiku; tiada Tuhan selain Dia. Hanya kepadaNya aku bertawakkal, dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arasy yang agung.'"

[At-Taubah, 9:128-129]

Ayat seratus dua puluh lapan itu menceritakan tentang tabiat atau fitrah seorang rasul, yakni utusan Allah. Pertamanya, para rasul ini ini diturunkan dalam kalangan sesuatu kaum itu sendiri, kerana pastilah lebih mudah untuk sang Rasul berkomunikasi dan menyampaikan risalah yang dibawa nanti. Sang Rasul yang lahir dan membesar dalam kalangan kaumnya sendiri, pasti lebih memahami keadaan kaumnya lantas lebih mudah untuknya mengatur strategi dakwah untuk mengajak kaumnya kepada Allah.

Bukan sahaja itu, para rasul ini mempunyai empat sifat yang utama; bersama-sama menanggung penderitaan kaumnya, sangat mengambil berat perihal kaumnya, penyantun dan penyayang. Empat sifat ini jugalah yang wajib ada bagi kita yang bergelar dua't ini. 

Ya, empati, peduli, santuni dan kasihi. 

Sejauh mana kita menangesi dan bersikap ihsan dengan kesusahan, penderitaan dan masalah yang dihadapi oleh mad'u kita? Sejauh mana kita benar-benar peduli, ambil berat dan mengawasi tarbiyah dan perjalanan dakwah mutarabbi kita, dan benar-benar mahu agar mereka menyertai gerabak yang sedang kita naiki ini? Dan sejauh mana pula kita melayani mereka dengan penuh santun, menanggapi mereka dengan penuh kasih-sayang...? 

Dan apa pula tindakan dan reaksi kita, andai semuanya itu telah kita lakukan, namun dakwah kita tetap ditolak? Risalah yang kita bawa dipandang enteng dan diperlekehkan...?

"Hasbiyallahu laailaha illahu, 'alaihi tawakkaltu wahuwa rabbul 'arsyil 'adzim. Cukuplah Allah bagiku; tiada Tuhan selain Dia. Hanya kepadaNya aku bertawakkal, dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arasy yang agung."

Itu jawapan kita. Itu respon kita. Itu tindakan kita. 

[Kredit]

Kita usaha. Kita sungguh-sungguh. Kita berkorban. Kita berdoa. Kita mengatur strategi. Kita berbincang. Kita melaksanakan. Kita berikhtiar.

Dan andai semuanya itu masih belum berjaya untuk memenangkan dakwah ini, kita serahkan kembali urusan kita kepadaNya yang Maha Mengetahui. Andai sasaran-sasaran dakwah kita terus berpaling dan menyombongkan diri, kita redha dan bertawakkal kepadaNya. Dan andai setelah berhempas-pulas berpenat-lelah melakukan yang terbaik demi agama ini namun kita masih belum lagi ketemu dengan hasil seperti yang kita harapkan, nah, bukankah Dia Tuhan yang memiliki 'Arasy yang agung...?

Allah... Cukup manis dan menyegarkan bukan...? Nanges. 

Kerana akhirnya kita akan mati juga. Namun perjuangan ini akan tetap diteruskan oleh para pewaris dakwah ini. Andai dakwah ini tidak menang di tangan kita, ia akan menang juga suatu hari nanti, di tangan mereka yang selayaknya.

Dan bertaubatlah, andai dakwah tidak menang di tangan kita. Kerana boleh jadi, ia tidak menang disebabkan kelemahan dan dosa-dosa yang ada pada diri kita. Teruskan bertaubat sehingga datang dua perkara; mati syahid atau hidup mulia!

Pendakwah akan mati. Kita akan mati. Namun dakwah akan terus hidup. Buat selama-lamanya.

Senyum.

-gabbana- 

6 Caci Maki Puji Muji:

Unknown 02/12/2013, 13:19  

Hasbiyallah.. Cukuplah Allah bagi diriku..
Cukup berkesan meruntun jiwa para daie
Thanks citer.. br tahu pasal 3 kisah sahabat uh

Selendang Hitam 02/12/2013, 16:45  

aku sngat suke entri kali nh.. cume nak kongsi pendapat la.. jihad paling besar adalah jihad melawan hawa nafsu.. bukan senang nak buat baik dan terus melakukannya.. iman manusia nh ade trun naiknya.. kita remaja/pemuda/pemudi hari nh x seperti mereka zaman dahulu. suke aku ambil contoh kisah sultan Muhammad Al-Fatih.. 23 tahun dah boleh tawan sebuah kota.. kita 23 tahun?? kat mana? dari jihad hawa nafsu la akan membuatkan kita ada motivasi yang tinggi untuk bangunkan islam (sampai bila nk tengok orang islam kne tindas??).. tapi dalam berjihad secara fizikal (perang) kne la ade ilmu perang dan bela diri.. 2 semua sebagai persediaan.. belajar berperang bukan nak perang belajar martial art bukan nk gaduh... tp 2 semua usaha.. ye usaha... boleh rujuk surah al-Anfal ayat 60..

Selendang Bercapuk 02/12/2013, 17:35  

kepada selendang hitam. jihat terbesar jihat melawan hawa nafsu itu datang dari hadis yg maudhu' (palsu). tetapi banyak digunakan di mana-mana. cuba check balik. ada dalam 40 hadis palsu popular.

wallahua'lam. =)

Anonymous 03/12/2013, 19:44  

masya Allah T_T jzkk

Anonymous 26/12/2013, 20:14  

Allahu Rabbi... Nanges gua...

Anonymous 17/03/2014, 09:04  

pengorbanan paling besar ialah pengorbanan perasaan.. T_T

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP