12 February 2014

Menjadi Maryam

[Kredit]

Sebagai Muslim, kita sering terfikir bahawa kita sering berada di pihak yang benar. Yalah, Islam itu kan dari Allah? Apa sahaja di dunia dan seluruh alam semesta ini yang dapat mengingkarinya...?

Sebagai Muslim, kita juga sering terfikir bahawa pastilah Allah akan sentiasa bersama-sama dengan kita. Susah senang, jerih payah, ketawa menanges, minta sahaja padaNya, pastilah Dia akan makbulkan dan perkenankan segala permintan kita.

Dan sebagai Muslim, bukan sekali dua kita berasa pelik dan aneh melihat nasib umat Islam yang ditindas dan diperlakukan dengan begitu zalim sekali oleh musuh-musuh Islam. Dan juga melihat keadaan umat Islam seluruh dunia yang begitu menyedihkan dan memalukan.

Betul kan? 

Lantaran itu, kita mudah sekali menjadi kechiwa berguling-guling apabila doa-doa kita ibaratnya tidak dimakbulkan olehNya. Kita berasa gundah gulana apabila usaha-usaha dakwah kita seolah-olahnya tidak mampu untuk mengubah ummah dan dunia. Kita merasakan diri kita seperti melukut di tepi gantang, tidak berguna, sampah, air longkang, ikan busuk, sayur kangkung - ok melebih-lebih pula saya ni - kerana benar-benar merasakan bahawa tiada lagi harapan yang tinggal untuk ummah ini. 

Akibatnya, kita berputus-asa dengan perjuangan ini. Kita menjadi gemok dan futur, lantas gugur daripada saf-saf para rijal dakwah yang telah dipilih Allah untuk memegang panji dan obor dakwah ini. Kita merasakan matahari sudah terbenam dan bukannya sekadar gerhana di tengah hari. 

Tiada gunanya lagi kita bergolok gadai, mengorbankan harta dan jiwa kita untuk perjuangan yang kita rasakan sia-sia ini. Tak berbaloi! 

Semuanya ini gara-gara silap faham kita terhadap hakikat agama ini. Kita menyangka dengan Islamnya kita, makan akan aman sentosalah bumi ini. Kita mengharap, dengan bergelar seorang muslim, pastilah dunia ini akan dipenuhi dengan arnab-arnab gemok dan tupai-tupai comel yang berlari-lari riang berkejar-kejaran di celah-celah rimbunan bunga dafodil yang mekar mewangi. Ewah.

Walhal hakikat agama ini memerlukan para pejuangnya untuk memartabatkannya dengan tangan-tangan mereka sendiri. Agama ini perlu dibentangkan dengan jalan-jalan darah dan nyawa para pejuangnya sebelum ia boleh sampai di tempat tertinggi. Agama ini bukan agama ajaib yang akan menang dan terbilang hanya dengan terkumat-kamit membaca serapah kiri serapah kanan dan doa-doa yang tertentu!

Bukan! 

Sayyid Qutb dalam karya agungnya, Hazaddeen (Inilah Hakikat Agama) dengan tegas dan penuh kebijaksanaan menolak pandangan-pandangan jabbariyah (menyerahkan segala-galanya kepada Allah) yang dipegang oleh sesetengah pihak. Betapa Allah menjadikan Islam ini amat kena dan sesuai dengan fitrah makhluk bernama manusia; maka manusia jugalah yang bertanggungjawab untuk mengangkatnya menjadi manhaj tertinggi bagi sekalian alam buana.

Pokoknya, kita perlu berusaha. Hatta sekecil-kecil usaha sekalipon dalam menegakkan Islam terchenta, yakinlah bahawa Allah akan melihatnya. Tidak boleh mengharapkan kepada pertolongan dari langit semata-mata tanpa langsung ada usaha di pihak kita.

Nah, di sinilah kita bisa belajar daripada wanita solehah, Maryam binti Imran, ibu kepada Nabi Isa AS. 

Maryam bukan calang-calang wanita. Malah Maryam bukan calang-calang manusia!

Kesolehan dan ketaatannya pada Allah diiktiraf oleh Allah dan para malaikat sendiri, sehingga beliau sering dijamu dengan makanan dari sorga. Nabi Zakaria AS yang diamanahkan untuk menjaga Maryan juga turut hairan dengan fenomena ini.

"Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya, "Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?" Maryam menjawab, "Ia dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira."
[ali-Imraan, 3:37]

Ketaatan dan keteguhan Maryam bakal diuji dengan kelahiran Isa AS. Masakan seorang wanita bakal melahirkan anak tanpa pernah berhubungan malah bersentuhan sekalipon dengan lelaki yang lainnya? Hal ini amat menggusarkan Maryam sendiri, sehinggalah malaikat menenangkannya.

"Maryam bertanya (dengan cemas), "Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?" 

Ia (malaikat) menjawab, "Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman, 'Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.'"
[Maryam, 19:20-21]  

Bagi mengelakkan fitnah yang mungkin akan merosakkan nama baik keluarganya, Maryam membawa diri jauh ke pedalaman bagi mempersiapkan dirinya melahirkan Isa AS. Bayangkan, seorang-seorang begitu, tanpa ada sesiapa yang boleh membantunya, betapa beratnya ujian dan teruknya kesengsaraan yang dialami oleh wanita hebat ini? 

Di dalam kesakitan yang amat sangat di kala mahu melahirkan anaknya, jiwanya tergoncang dan emosinya terganggu. Siapa yang tidak terkesan di kala saat-saat yang amat memerlukan, tiada siapa di sisi untuk menghulurkan tangan...??

"(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar; dia berkata, "Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!" 
[Maryam, 19:23]

Boleh anda hulurkan tisu sebarang dua tiga helai? Ada habuk pula masuk mata. 

Dan apa jawapan Allah kepada wanita solehah bernama Maryam ini? Agaknya Allah turunkan awang guling tak untuk mengangkatnya sorga? Atau sekurang-kurangnya menghantar manusia-manusia yang baik hati untuk membantunya? Atau paling tidak pon, mengurangkan atau menghilangkan rasa sakit nak melahirkan anak itu?

Cuba hayati firman Allah ini:

"Lalu dia (Maryam) diseru dari sebelah bawahnya, "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.

Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.

Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan...""
[Maryam, 19:24-26]

Subhanallah! Dalam keadaan yang terdesak dan menyesak sebegitu sekalipon, Allah menyuruh Maryam "...gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu," agar Maryam dapat memakan bauh tamar yang gugur!

Dalam keadaan yang begitu menghimpit dan menekan itu, Allah masih mengarahkan Maryam untuk berusaha! Untuk sebutir dua tamar yang masak...!
 

Untuk apa? Agar kita belajar bahawa rejeki Allah itu tidak terbang melayang, tidak datang bergolek! 

Allahu Allah! Nanges seperti tiada hari esok. 

Dan anda perlu ingat, watak utama di dalam penceritaan ini adalah Maryam, seorang wanita solehah yang begitu tinggi darjatnya di sisi Allah. Namun kedudukannya yang hebat itu tidak menjamin bantuan percuma atau pertolongan ajaib daripada Allah!   

Nah, tidak malukah kita, sering meminta-minta yang bukan-bukan dari Allah dan terus-menerus malas berusaha, hanya tahu lek-lek lu isap okok lu di atas sofa?

Tidak malukah kita, apabila merasakan diri dan martabat kita lebih mulia berbanding orang lain, hanya semata-mata pada kad pengenalan kita itu tertulis 'Islam'?

Tidak malukah kita, amat mudah berasa kechiwa apabila hadek-hadek bulatan gembira tidak terbina sedangkan kita sendiri tidak menunjukkan qudwah dan amat jarang sekali bermuayasyah (Baca: Bergaul mesra dan berborak bantal manja)?

Tidak malukah kita, mengharapkan Allah mengurniakan kemenangan kepada ummah ini dan menghantar bala tentera dari langit menghancurkan musuh-musuh Islam dalam sekelip mata, dan kita sendiri terus-menerus hanyut dan larut dalam maksiat?

Tidak malukah kita, berdoa siang hari dan malam, agar Islam tertegak semula di muka bumi, mengharapkan ia kembali menjadi rujukan bagi sekelian alam, namun kita sendiri amat malas dan culas membina jiwa-jiwa manusia di luar sana dan ragu-ragu dengan manhaj Islam itu sendiri...??

Tidak malukah kita? Tidak malukah kita...?? 

Ya benar. Ya benar. Tiada salahnya berdoa. Malah kita amat digalakkan sekali untuk memanjatkan doa kepadaNya. Malah Dia malu andai Dia tidak mengabulkan doa-doa para hambaNya yang ikhlas dan bersungguh-sungguh meminta. 

Namun doa tanpa usaha? Doa tanpa ikhtiar? Doa tanpa kesungguhan?

Itu main-main namanya!

[Kredit]

Ayuh kita belajar dari ibu kita yang solehah itu, Maryam!

Daripada Maryam kita belajar untuk tidak berputus-asa.

Daripada Maryam kita belajar untuk tidak mudah berasa kechiwa.

Daripada Maryam kita belajar untuk bergantung harap sepenuhnya padaNya.

Daripada Maryam kita belajar bahawa kemenangan itu tidak akan datang bergolek.

Dan daripada Maryam kita belajar, bahawa bersama pengharapan dan doa itu, mesti ada mujahadah dan usaha! 

Lantas, andai tiba masanya kita mahu berputus-asa dari dakwah ini, ingatlah pada ibu kita Maryam!

Andai kita mengeluh mengapa Allah masih tidak memakbulkan doa-doa kita, hayatilah perjalanan hidup wanita solehah bernama Maryam!

Dan andai kita sudah merasa cukup dengan usaha-usaha kita melaksanakan amanah kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini, ingatlah pada Maryam dan pasti kita akan berasa malu!

Kerana pada sosok bernama Maryam itu kita memaknai erti usaha! 

Ayuh! Mari menjadi seperti Maryam!

-gabbana-

Kalau letak nama anak Maryam macam bergaya sahaja. Eh eh. 

Gelak sorang-sorang. 
 

8 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 12/02/2014, 18:37  

Alhamdulillah, tgh mencari semangat untuk exam paper yang last akhirnya solusinya. Sob..sob.. Thanks bro.

Maryam 1 12/02/2014, 23:24  

Hikmah dinamakan maryam... Sentiasa baca surah maryam dalam solat utk menjadi taqarrub ilaLlLAH sepertimana maryam.
T.T
Apabila Maryam dinazarkan untuk berkhidmat kepada tuhan semata-mata...
Tapi kte yang bernama maryam hanya sibuk dengan dunia semata...

Anonymous 13/02/2014, 12:19  

Lap air mata,
syahdu dan malu.

Anonymous 17/02/2014, 01:40  

nah tisu...:')

Anonymous 17/02/2014, 21:19  

menyentuh jiwa dan byk yg terkene..suke sgt!

Anonymous 17/02/2014, 21:20  

menyentuh jiwa dan byk yg terkene..suke sgt!

Anonymous 23/02/2014, 12:16  

Sentap baq hg..gue jadik malu!syukran inche gabbana :)

Anonymous 24/02/2014, 14:42  

subhanallah... :)

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP