27 February 2014

Sudah Berlalu Waktu Berdengkurku

[Kredit]

Nabi SAW ketakutan apabila melihat Jibril AS dalam rupanya yang sebenar berada di kaki langit. Baginda bersegera pulang ke rumah dan menyuruh isterinya yang terchenta, Khadijah r.a. untuk menyelimutinya. 

"Zammiluni! Zammiluni! Selimuti aku! Selimuti aku!"

Sang isteri yang mulia patuh pada permintaan suaminya. Maka diselimutkanlah suami yang sudah menggigil-gigil kerana ketakutan.

Maka turunlah firman Allah yang agung lagi mulia:

"Wahai orang yang berkemul! Bangkitlah, dan berikanlah peringatan!"
[al-Muddathir, 74:1-2]

Lantas baginda, yang amat menjiwai dan memahami perintah Allah itu, segera bangkit dan tanpa berlengah-lengah lagi pantas melaksanakan amanahnya sebagai seorang rasul.

Dan kata-katanya yang lejen kepada Khadijah menjadi saksi dan manifestasi kepada kesungguhan dan keazamannya untuk melaksanakan tugas Syahadatul Haqnya:

"Sudah berlalu waktu tidurku..."

***

Antara cabaran yang dihadapi oleh seorang dai'e, yang benar-benar menghambat fizikal dan emosinya adalah ujian kepenatan.

Ya, kepenatan. Kepenatan yang terlalu amat sangat sehingga ada yang tertidur di atas motor. Sehingga tertidur dengan lampu yang masih terbuka dan pakaian yang tidak ditukar. Kepenatan sehingga datang ke kantor atau dewan kuliah seperti zombie Kampung Cempedak Goreng.

Malah baru-baru ini, seorang al-akh tertidur di dalam keretanya setelah memarkir keretanya tidak jauh dari pangsapurinya. Entah jam berapa pagi, dia dikejutkan dengan bunyi ketukan pada tingkap keretanya. Dia dirompak oleh dua orang orang lelaki bersenjatakan batang besi. Mujurlah dia tidak diapa-apakan. Mujur juga tidak banyak barang yang dirompak.

Juga baru-baru, seorang al-akh yang amat saya chentai keranaNya, kecelakaan apabila dia terlanggar treler di hadapannya akibat terlelap ketika memandu. Diceritakan bagaimana hanya lima minit sebelum itu, isterinya menelefonnya dan dia kedengarannya baik-baik sahaja. Jika dilihatkan pada kerosakan pada kereta yang dipandunya, siapa sangka yang Allah masih mahu memanjangkan umurnya. Alhamdulillah syukur, dia kini sedang semakin pulih daripada kecederaannya.

Kepenatan. 

Kepenatan bekerja di kantor yang benar-benar menyedut segala tenaga yang ada. Kepenatan menyiapkan segala tok nenek jenis tugasan dan projek di universiti yang melayukan jiwa. Kepenatan menguruskan keluarga dan urusan rumah tangga sehingga sakit-sakit dan sengal-sengal satu badan. 

Lantas, apa lagi yang tinggal untuk tarbiyah dan dakwah? Apa lagi yang dapat disisakan untuk kerja-kerja menyentuh jiwa di luar sana? Apa lagi yang berbaki untuk dimanfaatkan untuk menyebarkan risalah agung ini? 

Nanges laju-laju. 

Kadangkala, dek terlalu penat dan lesu, fikiran kita jadi tidak menentu. Otak kita tidak lagi dapat berfikir dengan waras, Jiwa kita kacau, ruh kita meracau. Sehingga kita melakukan perkara-perkara yang tidak akan kita lakukan apabila fikiran dan hati kita lebih tenang dan rasional.

Kita mudah menjadi emosional. Tidak sabar. Gatal-gatal tengkuk menahan marah. Mudah terasa. Mengarut-ngarut dalam berbicara. Makan tak tentu hala. Gelak macam hantu puaka.

Itulah. Itulah kepenatan yang mematikan. Mematikan hati. 

Dan kadangkala kepenatan juga boleh menjadikan kita semakin jauh daripada Allah. Bagaimana? 

Dengan kita meninggalkan lembaran-lembaran chenta daripadaNya dek kerana tidak punya selera untuk membacanya. Dengan kita tidak bangun malam bermunajat kepadaNya, kerana terlalu risau yang kita tidak akan cukup tidur nanti. Dengan kita meninggalkan tarbiyah dan dakwah, kerana merasakan diri tidak larat dan memerlukan rehat. 

Allah Allah. Tunduk malu, air mata mengalir laju. 

Sedangkan Allah itulah sumber kekuatan kita yang utama. Allah itulah pemilik segala kekuatan dan kekuasaan. Allah itu jugalah yang bisa sahaja memberikan keberkatan kepada masa dan tenaga yang ada pada kita. 

"Sungguh bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa); dan bacaan (di waktu itu) lebih berkesan."
[al-Muzammil, 73:7]

"Tapi Inche gabbana, dai'e tu kenalah jaga kesihatannya kan...?"

"Ish ish ish Inche gabbana ni, ekstrem betul! Fitrah la tu rasa penat bagai! Kita ni bukannya robot!"

"Entah apa-apa Inche gabbana ni. Mengarut! Sesat! Cakap takde fakta! Pigiiidaaaah!"

Ok yang terakhir itu sedikit emosional. Tapi saya menjangkakan, sebegitulah agaknya respon-respon segelintir daripada anda apabila membaca tulisan saya ini. 

Iya benar, saya tidak nafikan kita ini hanyalah manusia yang biasa. Perlukan rehat. Perlukan masa-masa untuk menguatkan kembali tubuh badan. Perlukan ruang untuk tubuh badan kita mengecaj semula tenaganya.

Namun saya begitu khuatir, andai semua itu menjadi alasan semata-mata untuk kita bermalas-malasan dan berehat-rehat. Saya risau andai itu hanyalah eskapisme untuk kita menjustifikasikan keculasan dan kegemokan kita. Dan saya risau, amat amat risau, andai itu tidak lebih hanyalah jahiliyyah kita yang semakin menebal di hati.

Lontar bawang pada mata. 

Kerana jika kita kaji sejarah, baik sejarah para sahabat atau salafus soleh, kita akan dapati amal-amal mereka seakan-akan mereka punya dua puluh lima jam dalam sehari, lapan hari seminggu. Ada yang bisa menghabiskan bacaan Quran semalaman sahaja. Ada yang berkemampuan menulis puluhan, malah ratusan buah kitab dalam tempoh usia yang cukup singkat. Ada yang mengembara ribuan batu jauhnya, pada usia yang sudah cukup tua, hanya semata-mata kerana mahu melaksanakan amanahnya sebagai seorang hamba dan khalifah Allah di muka bumi. 

Mereka bukan malaikat. Mereka ini bukannya Rasul atau Nabi. Hatta mereka juga bukan Otromen atau Superman (Suparman mungkin. Eheh.). Mereka adalah manusia biasa seperti kita; makan dan minum seperti kita, tidur seperti kita, punya tangan, kaki dan mata seperti kita dan kadangkala tidur berdengkur juga seperti kita. Eh. 

Nah, apa rahsia mereka?

Tidak lain dan tidak bukan, adalah kerana kuatnya hubungan mereka dengan Allah. Mantapnya pergantungan mereka kepada robbul jalil. Hebatnya keyakinan mereka kepada Allah yang memegang segala sesuatu.

Dan kerana mereka juga berpegang pada mantera "Sudah berlalu waktu tidurku..." yang cukup menggugah itu. 

Mantera inilah yang membakar jiwa dan hamasah mereka. Kata-kata inilah yang memberikan mereka dorongan dan semangat yang tidak henti-henti. Formula inilah yang menjadikan mereka menggila di atas jalan perjuangan ini.

Tiada lagi alasan untuk bermalas-malasan! Tiada lagi ruang untuk acuh tak acuh! Tiada lagi masa untuk dibazirkan! 

"Bukankah para Nabi itu hanya sibuk penat kerana manusia, mengajak mereka kepada kebaikan dan melarang mereka dari kejahatan?"
- Ibn al-Jauzi, Said al-Khatir (Diambil dari Muntalaq, Bab 8: Asas Fiqh Amal Jamai'e Menurut Salafussoleh)

Tak mustahil kan kita semua terkeluar (Baca: All-out) dalam kerja tarbiyah dan dakwah kita, dan masih sentiasa kuat dan segar setiap hari?

Tak mustahil kan tidur kita hanya tiga empat jam sehari, tetapi kita kekal bertenaga melaksanakan tugas-tugas kita, baik di kantor atau sebagai pelajar di universiti?

Tak mustahil kan kita bekerja di siang hari dan masih teruja dan rancak membawa bulatan gembira di malam hari?

Tak mustahil kan kita membawa tiga, empat bahkan lima bulatan gembira di puncak kesibukan kerjaya kita?

Tak mustahil kan kita menguruskan anak-anak yang gebu-gebu dan tembam-tembam itu dan pada masa yang sama menerima jemputan menjadi muwajjih di hujung minggunya?

Tidak mustahil kan semua itu? Tidak mustahil kan...??

Hasbunallahu wani'mal wakeel. 

Ya, kita akan kekal penat berkejar-kejar untuk membawa bulatan gembira.

Kita akan terus lesu dihambat di kantor atau kampus, memenuhi kehendak dunia yang fana.

Kita akan terus layu, dibelasah teruk oleh fitnah-fitnah dunia yang mencengkam dan menggila.

Kita akan terus letih melayan karenah hadek-hadek bulatan yang entah bermacam-macam itu.

Dan kita akan terus pening dan berserabut memikirkan musykilah-musykilah dakwah yang tidak pernah berhenti kunjung tiba.

Ya, kita tidak mungkin akan dapat lari daripada kepenatan, andai kita benar-benar adalah golongan yang bekerja.

Namun biarlah ia kepenatan demi mengejar redhaNya.

Biarlah ia kelesuan dalam menggapai sorgaNya.

Biarlah ia keletihan yang penuh dengan kenikmatan.

"Teruslah bergerak, hingga kelelahan itu lelah mengikutimu.
Teruskan berlari, hingga kebosanan itu bosan mengejarmu.
Teruskan berjalan, hingga keletihan itu letih bersamamu.
Teruskan bertahan, hingga kefuturan itu futur menyertaimu.
Tetaplah berjaga, hingga kelesuan itu lesu menemanimu."
-Ustaz K.H. Rahmat Abdullah

Suatu hari nanti kita pasti akan berehat jua. Dan moga rehat kita itu adalah rehat yang abadi di dalam sorga. 

Senyum. Menitis air mata.  

-gabbana-

Sejak kebelakangan ini dihambat dengan fitnah kantor yang amat dahsyat sekali. Sehingga diri terasa begitu lesu dan tidak bermaya. Dan kadangkala sehingga terabai hak-hak orang lain, dek diri yang tidak lagi bertenaga. Nanges.

Moga diri ini tidak menjadi fitnah kepada perjuangan tarbiyah dan dakwah ini. Moga Allah redha. Amiin. 

16 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 27/02/2014, 12:42  

Kenapa sume gambar rare n lawa2.
Google je eh?

Anonymous 27/02/2014, 12:47  

SubhanAllah.. Post ni kena kat saya.. Kekadang kita rasa yg kita bz sangat. Kita yg yg plg bz skali. Tp bila pikir balek.sahabat dulu2 tak terbanding sikit pon bz kita tuh. Kurangnya kebergantungan kepada-Nya...hmm

Anonymous 27/02/2014, 13:03  

Entri bro gaban tak parnah tak sentuh hati saya . Thanks

Anonymous 27/02/2014, 13:16  

be strong.[47:7] mungkin dah lali dengar ayat ni, tapi yakinlah pada Allah.

bila difitnah, sepatutnya kita bersyukur. kita tengah lalui apa yang Rasulullah saw dah lalui suatu ketika dulu. berbahagialah. tak semua orang dapat rasa kemanisan berdakwah ni akhi. dan dlm dakwah, tak ramai yang rasa kemanisan difitnah ni. berlapang dada. may Allah ease everything.

♥ Nana BamBam ♥ 27/02/2014, 15:44  

aku mungkin penat di dunia, dan aku berharap di akhirat kelak, aku dapat berehat...mudah2han..aminn.

alLiSnoTwelL 27/02/2014, 20:45  

salam'alaik...

mcm mana pula dgn da'ie yg berletih-letih utk gerak kerja islam, sampai tidur lewat mlm sehinggakan:

1-solat pun subuh gajah n kadang2 boleh "terbabas" terus?


2-pergi kuliyah lambat @ ponteng terus - bila ditanya kenape ponteng kelas? jawabnya "alah,x dtg kelas xpe, study boleh je sendiri2, janji exam score" almaklumlah dean list every sem


sungguh kecewa dgn jawapan ni. lecturer yg 'alim tu pn boleh dtg on time je, ni kan student yg nk cedok ilmu boleh suka hati ponteng kelas, dengan alasan busy dgn kerja2 dakwah.

aiseh!

farizah farr 27/02/2014, 21:28  

Inche gabana..

Again nice entry..touched by every single words..berbintang2 untuk IG..how i wish i could be d one like u..pnuh ilmu di dada..respect!

Anonymous 27/02/2014, 23:45  

jzkk atas kata2 yang memberi kesedaran dari keadaan yg melalaikan

Anonymous 28/02/2014, 12:12  

enche gabana baling bawang tepat2 kene mata saya.... sakit taw... pedih n perit.... aduh... x tahan da nih

Anonymous 01/03/2014, 12:34  

4 tahun yang lalu sewaktu mula mula terjumpa blog ini, saya lebih suka membaca entri IG dalam bahasa Inggeris (walaupun saya sendiri lebih selesa menulis dan membaca dalam bahasa melayu)- mungkin kerana akal saya lebih mudah menerima penulisan bahasa inggeris IG yang lebih teratur berbanding penulisan dalam bahasa melayu.

Alhamdulillah, hari ini, saya selesa membaca penulisan IG, baik dalam bahasa inggeris dalam bahasa melayu-mungkin kerana lenggok bahasa yang digunakan sudah semakin teratur.

Mohon maaf, komen tak ada kena mengena dengan tajuk. Hanya luahan rasa lega melihat orang muda yang segenerasi dengan saya menghargai kehalusan bahasa dan berbahasa.

Wallahua'lam

Anonymous 01/03/2014, 15:06  

Kenapa ea isu-isu APG ni sama bangat dgn kehidupn sy?
APG g jenguk kisah akh/ukh dlu b4 update ea?

Anonymous 01/03/2014, 17:11  

Situasi sama.
Dek capek keje...terabai smue mutabaah :'(

Anonymous 02/03/2014, 16:15  

Jazakallah utk peringatan
Moga inchegabbana terus kuat
Its incredible how u juggle all that.. I believe Allah has granted u strength and ease. May allah bless u more.

akhawat 11/03/2014, 10:32  

ana speechless. Irdhana ya Allah.. :')

:) 15/03/2014, 18:17  

Subhanallah....mata pena yg berkat..menyerlahkan nur dr jiwa yg penuh tarbiah..

Unknown 16/06/2014, 16:30  

Allahuakhbr! tersentap..betapa diri ni sgt futur skrg nie..... :(

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP