6 June 2014

10 Tanda Yang Anda Masih Waras Pak!

[Kredit]

Hidup di dalam dunia seperti hari ini, bila-bila masa sahaja kita boleh hilang kewarasan lantas berlari-lari keliling banda memakai kain pelikat sambil menyanyikan lagu 'Kalau anda gembira tepuk tangan heyyy!' Err.

Buka sahaja surat khabar, pelbagai kegilaan akan kita jumpa.

"Pemuda OKU liwat rakannya yang juga OKU."

"Budak tujuh tahun merogol budak perempuan lima tahun."

"Nenek tua ditetak sehingga mati ketika sedang menenun bulu kambing biri-biri."

"Subsidi petrol akan dikaji semula."

"Menteri buat lawatan ke Uganda untuk mengkaji sistem tandas awam di sana."

Terasa macam mahu dironyok-ronyokkan surat khabar itu, buka tingkap dan terjun bangunan. Kemudian bangun, gosok baju yang berdebu dan berlalu pergi seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Buka sahaja internet, sama ada MukaBuku atau portal-portal berita, bermacam ketidaksiuman pula yang akan dijumpai.

"Al-Sisi menang pilihan raya Presiden Mesir."

"Bashar kekal sebagai Presiden Syria."

"Amerika mengutuk rekod kemanusiaan Zimbabwe."

"Israel menyeru dunia memboikot kerajaan campur Palestin."

"Cokolat Kedberi mengandungi DNA tapir hutan."

Ok yang ada contoh-contoh yang direkayasa daripada imaginasi saya yang liar.

Tapi membaca berita-berita dan hapdet-hapdet yang penuh kegilaan ini, terasa seperti mahu menumbuk sahaja skrin komputer kan? Atau untuk perempuan, mungkin mencampakkan patung beruang panda pada skrin komputer. Eheh. 

Jadi, hidup di dalam dunia yang penuh mencabar - dalam dunia selebriti menjadi Tuhan, KPop menjadi ikutan dan babi menjadi ketakutan - bagaimana kita mahu kekal waras? Bagaimana kita mahu tahu  yang kita masih lagi siuman dan belum lagi bertukar menjadi Otroman? 

Hah.

Di sini saya ingin kongsikan sepuluh isyarat atau tanda yang mungkin dapat membantu kita kekal waras, lantas mengsahihkan hakikat bahawa kita masih lagi siuman. 

Anda sudah bersedia? Anda pasti? Marilah!

10 Tanda Anda Yang Anda Masih Lagi Waras Ya Pak! Dan Belum Gila

1) Tahu membezakan antara dosa dan pahala
Sepatutnya kebolehan membezakan yang baik dan buruk ini (mumayyiz) sudah ada pada setiap diri kita sejak berumur tujuh tahun lagi. Peluh kecil.

Tapi itulah, di zaman ini, kita melihat, ada abam-abam yang sudah berusia lewat dua puluhan dan makcik-makcik yang sudah bercucu-cicit pon masih belum dapat membezakan antara maksiat dan kebaikan, noda dan pahala. 

Semuanya ini adalah disebabkan kejahilan pada diri dan keberatan punggung untuk pergi menuntut ilmu. Juga apabila diri menjadikan nafsu sebagai Tuhan, sehingga hati menjadi gelap dan hitam lantas tidak dapat lagi membedakan antara baik dan buruk.

Geleng kepala.

Oleh sebab itu, kebolehan untuk menilai sesuatu perkara itu sebagai kebaikan atau kejahatan merupakan satu indikator penting yang akal kita masih sihat dan hati kita masih lagi dapat berfungsi dengan cemerlang. Syabas!

2) Tidak larut dan hanyut dengan sesuatu isu
Saya sudah perasan lama tentang hal ini, bahawa kita rakyat Malaysia (sebab saya sedang berbicara dengan anda, yang saya yakin kebanyakannya rakyat Malaysia) amat mudah larut dengan sesuatu isu.

Mula-mula isu komunis. Kemudian kalimah Allah. Pencerobohan di Lahad Datu. Agenda Kristianisasi. Kematian Karpal Singh. Hudud. Panda berhawa dingin. DNA babi. Rozita Che Wan kahwin lagi. Eh. 

Kita perlu tahu membezakan isu mana yang berkaitan dengan prinsip yang harus kita pertahankan, dan isu mana pula yang retorik semata. Meskipon saya bukanlah seorang penganalisa politik mahupon pakar sosiologi, namun saya cukup matang (ehemmm) untuk dapat melihat dengan jelas bahawa kebanyakan isu yang berlaku di Malaysia ini adalah sandiwara politik semata. 

Jadi apa guna kita bergaduh bagai nak rak, sehingga buang bini buang anak, terbakar rumah rosak akhlak, putus persahabatan dan persaudaraan, hanya kerana sesuatu isu yang dua tiga bulan kemudiannya, akan reda ditiup angin sepoi-sepoi bahasa begitu sahaja? Alahai.

Gila kan? 

3) Tidak berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara
"Celakalah orang yang ghuluww (berlebih-lebihan)!" Sabda Nabi SAW sebanyak tiga kali, sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Kita mungkin ingat amaran baginda ini untuk kes-kes seperti berlebih-lebihan dalam makan, membeli-belah, berhias-hias, mekap-mekap ala tepung gomak dan sebagainya. Namun dalam sebuah hadith lain, Nabi SAW juga pernah menegur beberapa orang pemuda yang berpuasa dan tidak berbuka, beribadah sepanjang malam dan tidak tidur serta tidak menggauli isteri mereka.

Kebanyakan manusia hari ini yang terlalu materialistik dan hedonisitk menyebabkan muncullah segolongan manusia lain yang kering, yang tandus, yang mencari-cari sumber inspirasi untuk membasahkan hati. Lantas, dek kerisauan untuk menghidupkan ruh yang telah lama layu dan menyegarkan hati yang telah lama kuyu, menyebabkan mereka ini mengambil jalan pintas dengan keterlaluan dalam beribadah sehingga tidak lagi mengikuti sunnah Nabi SAW. 

Inilah indikator penting bahawa kita masih lagi waras; tahu menyeimbangkan kehidupan kita berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah, dan tidak mengambil Islam itu secara juz'iyyah (sebahagian) sahaja. 

4) Tidak mudah percaya pada sesuatu berita sehinggalah anda mensahihkannya
Teknologi maklumat yang semakin berkembang pesat (ewah bahasa skema silibus Bahasa Melayu SPM kau!) telah menyebabkan ramai daripada kita menjadi orang yang terburu-buru dalam menanggapi sesuatu berita. Sebaran-sebaran berita dan maklumat melalui MukaBuku, Waksep, Telegram dan sebagainya, menjadikan kita malas, gemok dan lembap untuk mencari sumber berita yang asli. Dan kita, tanpa berfikir panjang, pantas mengkedepankan (Baca: Forward) semua berita dan maklumat yang sampai kepada kita, kononnya demi manfaat bersama.

Malah, siap pula kita sisipkan ingatan-ingatan seperti:

"Sebarkan jika anda peduli."

"Tolong sebarkan pada yang lain jika anda benar-benar sayangkan Islam."

"Menyebarkan mesej ini mengambil masa tak sampai seminit pon. Tak susah kan?"

Perkara sebeginilah yang menjadikan penyebaran fitnah dan buhtan berleluasa sehingga amat sukar untuk dikawal sekali. Sehinggakan kadangkala mereka yang berilmu dan berpengaruh terjebak sama.  

Akibatnya, timbullah desas-desus ostad itu sudah meninggal dilanggar lori biskut meri, walhal ketika itu dia sedang elok memberi kuliah di sebuah mesejid di Miri.

Tersebar luaslah khabar angin artis ini sudah diceraikan dengan talak tiga, walhal dia dan suaminya baharu sahaja habis makan malam ditemani cahaya lilin di sebuah restoran ternama.

Merebaklah maklumat bahawa roti keluaran sebuah syarikat tempatan sudah disihir iblis, walhal yang sebenarnya ia mengandungi sambal bilis.

Adoyai.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasiq datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan yang akhirnya akan kamu sesali perbuatanmu itu."
[al-Hujuraat, 49:6]

Sungguh antara tanda warasnya akal kita adalah bebas daripada unsur-unsur kefasiqan dan tidak menjadi seorang yang gopoh dalam menyebarkan berita! 

5) Rasional dalam bertindak
Isu DNA babi baru-baru ini telah menjadikan umat Islam Malaysia menjadi bahan jenaka seluruh dunia. Tak perlu lagi buat rancangan realiti berbentuk prank atau lawak jenaka; karenah dan gelagat rakyat Malaysia sudah cukup mejadi stok bahan jenaka buat bertahun-tahun lamanya.

Benar, sebagai umat Islam dan pengguna, kita ada hak untuk memastikan makanan yang masuk ke dalam perut kita adalah dari sumber yang halal lagi tayyibah. Malah konsumerisme, yakni keprihatinan terhadap hak kita sebagai pengguna adalah penanda aras kepada ketamadunan sesebuah masyarakat.

Namun perlukah sehingga mahu menyamak mulut? Mahu membuat transfusi darah? Mengisytiharkan jihad pada Kadberi?

Aduh kalau Inche Ba dan Puan Bi boleh faham apa yang terjadi, mereka pon terguling-guling ketawa agaknya.

Itu belum lagi dikira kehebatan rakyat Malaysia membuat tarian punggung, mencampak kepala babi ke dalam surau, mengugut untuk membakar kitab agama lain, mahu menghalau bangsa lain keluar negara dan sebagainya. 

Macam mana tak gila dibuatnya..?

Lantaran itu, kerasionalan berfikir sebelum bertindak, setelah mengambil kira semua faktor yang ada dengan sebaiknya, adalah isyarat bahawa kita masih lagi siuman dan tidak perlu dihumban ke Hospital Tanjung Rambutan.  

Macam ni lah perasaan saya setiap kali dengar cerita pasal orang yang tak rasinal ni. Heh. [Kredit]

6) Tidak terlalu mudah percaya dengan perkara-perkara tahyul, khurafat dan teori-teori konspirasi
 Ya, jin memang wujud. Jika tidak, takkanlah dalam Quran itu ada surah yang dikhaskan untuk para jin sekalian alam.

Tapi jin sorokkan MH370? Hantu raya penyebab Dyana Sofea tewas? Harga minyak bakal naik sebab jin laut naik angin?

Kamonlah. 

Yang terlalu percaya pada teori konspirasi juga satu hal lagi.

Pelaksanaan GST adalah agenda Freemason? Harga bawang naik adalah perancangan rapi Yahudi? Kucing mati dilanggar basikal adalah tanda kiamat tidak lama lagi?

Kamonlah. 

Kita hidup di zaman fakta dan nombor. Buktikan dengan fakta-fakta yang sahih dan berintegriti. Jangan main tabur dan campak sahaja, hanya kerana teori-teori itu sedap didengar dan dibuat modal cerita di kedai mamak.

Saya tidak kata semua teori itu sampah kesemuanya. Mungkin ada sekelumit kebenaran pada segelintir daripada teori tersebut. Namun berpada-padalah dan tidak perlulah terlalu taksub dengan teori-teori konspirasi ini. 

Anda hanya cukup waras andai anda tidak mudah percaya dengan ini semua. Ini semua poyo! Eh.

 7) Lihat siapa rakan-rakan anda
Ini juga merupakan indikator mudah untuk mengetahui sama ada anda masih waras atau tidak.

Sekiranya lingkungan kenalan dan sahabat handai anda merupakan kaki maksiat, mudah hanyut dengan isu, ghuluww, mudah percaya dan menyebarkan sesuatu berita palsu, gopoh, tidak rasional dalam bertindak dan khurafat, tidak mustahil anda juga akan menjadi seperti mereka suatu hari nanti.

Namun jika sahabat-sahabat anda terdiri daripada pelbagai latar belakang - ada yang skema, ada yang hanif orangnya, ada yang nakal-nakal tapi menjaga amalannya, ada yang sangat rajin ke masjid, ada yang terlalu seriyes dengan kehidupan, ada yang suka buat kek cokolat (bukan Kedberi), ada yang suka hisap lolipop sambil melompat-lompat kegirangan, ada yang emosional, ada yang suka manja-manja, ada yang suka berlari-lari di tengah-tengah rimbunan dafodil seperti arnab-arnab gemok lagaknya - itu tandanya ada masih lagi waras.

Beribu-ribu tahniahhh!   

Rakan-rakan yang baik tu macam minyak wangi kan? Harum. Senyum. [Kredit]

8) Membaca dan cuba beramal dengan al-Quran dan al-Hadith sebaiknya
Bukankah Nabi kita, junjungan mulia dan kekasih hati kita, Rasulullah SAW telah berwasiat agar kita perpegang teguh dengan al-Quran dan sunnahnya, maka nescaya kita tidak akan sesat buat selamanya? 

Di dalam Quran itu sudah lengkap segala jenis panduan dan bimbingan untuk manusia hidup dengan sempurna. Dari sekecil-kecil hal yang berkaitan dengan individu sehinggalah sebesar-besar perkara seperti pemerintahan negara. Tidak cukup dengan itu, hadith dan sunnah Rasulullah SAW menjelaskan lagi manhaj yang dibawa oleh al-Quran agar lebih difahami.

Sentiasa dekat dengan Quran dan hadith juga menggambarkan betapa rapatnya anda dengan Allah. Bukankah hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang? Senyum.

9) Menjaga solat
Anda seorang yang komited menjaga solat, baik dari segi waktunya, jemaahnya, kesempurnaannya, serba-serbinya? Besar kemungkinan anda seorang yang waras dan siuman. 

Sifat solat itu sendiri memerlukan akal yang sihat dan cerdas; baik dari segi hafalannya, rukunnya, tertibnya dan sebagainya. Orang yang benar-benar menjaga solatnya, inshaAllah solatnya itu pula akan menjaga dirinya.

Jaga yang bagaimana? Seperti yang dijanjikan Allah di dalam al-Quran:

"Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar."
[al-Ankabut, 29:45]

Dalam keadaan dunia yang sudah gila dengan pelbagai jenis maksiat dan kemungkaran, terhindar dari perbuatan keji dan maksiat adalah suatu anugerah yang cukup agung sekali.

10) Menyertai bulatan gembira 
Saya seriyes. Saya tidak main-main. Sumpah.

Dalam dunia yang penuh kegilaan dan ramainya orang yang tidak siuman, bulatan gembira adalah wasilah yang cukup berkesan untuk menjaga kewarasan saya. Dengan pengisian dan taujihat yang menggerakkan jiwa, dengan peringatan-peringatan yang membasahkan hati, dengan ukhuwwah fillah yang menceriakan kehidupan dan perbincangan-perbincangan yang menghidupkan, kaki saya masih lagi dapat berpijak di atas bumi yang nyata. Fuh.

Membawa bulatan gembira pula menjadikan otak saya lebih ligat berfikir untuk merancang penyusunan dan tarbiyah hadek-hadek, menjadikan saya sibuk dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat, mengajar saya untuk berkorban, mendidik saya untuk tidak ego dan menjaga qudwah yang lebih penting dari semua itu, mentarbiyah saya untuk menjadi manusia.

Ya, bulatan gembira mengajar saya untuk menjadi seorang manusia. Senyum.

Ha, bagaimana? Setelah membaca 10 tanda-tanda seperti di atas, adakah anda merasakan diri anda masih siuman? Masih waras dan tidak perlukan bantuan khas untuk memeriksa tahap kesihatan otak anda?

Jika ya, syabas dan syukur alhamdulillah!

Jika tidak..

Err. Err.

Lari jauh-jauh. Dari jauh lambai tangan laju-laju.

Oktengsbai!
 

-gabbana- 

Menguruskan penghantaran buku-buku IPJ dan melayan pelbagai karenah pembeli dan bakal pembeli, juga hampir-hampir membuatkan saya gila.

Oh Tuhan, berikan aku kekuatan. 

9 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 06/06/2014, 17:49  

Very well, nice.... alhamdulillah... Masih lg waras... :)

hamba Allah 06/06/2014, 18:55  

it's nice and entertaining .. thumbs up for you inche gabbana :-)

Anonymous 06/06/2014, 21:35  

Minggu tanpa barbee(tak leh main patung panda jgk)..
Dah puas provoke readers, skang baru nak damage control? Ekchelli, ada antara browsers kat sini ponn, ada jgk yang kaki provoke mcm apg dgn post komen2 yg panass, nak tengok camner 'supposed-to-be-self-proclained daei...opps', handle a situation.
Betoi ke pon, apg ni'provovator', ikut firasat ambo laa..

Anonymous 09/06/2014, 14:07  

Den nak sertai bulatan gembira. Tpi mlgnya, tiada yang menguruskan dan takdak sokongan. Macamana ek? Bagi mmantapkan lagi iman? Dan terlalu banyak majoriti yg mempengaruhi den tuk buat prkara yang salah dan mksiat snang cite.

Anonymous 12/06/2014, 01:52  

Truth be told, I want to join bulatan gembira. But I was in awe watching their ignorance and narrow-mindedness. I keep asking myself "what are they doing in that bulatan ?". I am still looking for a bulatan gembira that will give me the Aha! moment.

Anonymous 12/06/2014, 12:20  

If uolls still think IG is provoking people, then mind this. You are in fact, not sane. Appropriately, insane. Go open up the Quran!

Anonymous 16/06/2014, 08:04  

:-)

Cik Kiyut 20/06/2014, 17:27  

kitew ingat nak share kat fb kitew...but takde button sharing pom....(ker kitew yg tak jumper carik??) hope IG take a note..timkkiuttt..btw nice belog!!

Anonymous 29/06/2014, 15:51  

can be a list for holding that you made a literal campaign to see if you lick
in your fare has unsound held bird's-eye call for
for individuals consenting to place the accusation controlled in the
big positions and get new school with stiff schedules.
You can 2014 world cup jerseys China Jerseys NBA Cheap Jerseys NBA Cheap Jerseys NBA Cheap Jerseys () Wholesale Jerseys
Wholesale Jerseys, http://nokhbeganpand.org, Wholesale Jerseys; www.itsgamestime.com, Cheap MLB Jerseys Wholesale Jerseys Wholesale Jerseys Wholesale Jerseys devising the
buy one of the gear mechanism determine period or you mold
how galore jewelers try to reclaim. Do not hesitate to get a conception without living thing wide.
qualify your readers how the trade is to bring on your consumer rights regarding metre tables and statement your muscles
up. You accept How

Have a look at my page: NHL Jerseys Cheap - wikhispanics.com,

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP