Perempuan Nan Sekarang
[Kredit] |
Tulisan ini bukan tulisan
seorang seksis. Bukan juga seorang chauvinis. Apatah lagi seorang ekstremis.
Eh.
Tapi ia datang dari
seorang hati lelaki yang punya seorang Puan Mama dan Cik Adik Perempuan, yang
amat sayangkan ibu-ibu, kakak-kakak dan adik-adik perempuan saya di luar sana.
Seorang lelaki ikhlas yang mengambil berat akan perihal dan kebajikan kaum
Hawa.
Ehem.
Alkisahnya bermula pada
minggu lepas, saya telah berkongsikan perbualan saya dengan seseorang menerusi
mesej peribadi MukaBuku yang bertanyakan perihal perempuan yang suka menghaplod
gambar-gambarnya di MukaBuku, Instagram dan sebagainya. Saya kongsikan
perbualan itu dalam bentuk status di MukaBuku dan Pengicau saya.
Status itu berbunyi
begini:
“Apa pandangan IG tentang perempuan yang suka haplod gambarnya di Insta, FB, etc?”
“Pada pandangan saya, mereka ni tak sesuai dibuat isteri. :3”
Nampak tak emotikon ‘:3’
yang sepatutnya menjadikan status itu lebih comel dan bersahaja?
Namun panas yang disangka
sampai ke petang, rupa-rupanya hujan batu di tengah hari.
Maklum balas yang saya
terima daripada status tersebut terutamanya dari kaum perempuan *koff koff*
amat, err, mengerikan?
Maklum balas dan komen
yang saya terima di Pengicau terutamanya, sedikit ganas dan boleh tahan dahsyat
juga. Peluh besar.
Saya dituduh sebagai
seksis, membuat generalisasi dan bermacam-macam lagi. Panas jugalah mata saya membacanya.
Namun saya tidak boleh
menyalahkan sesiapa melainkan diri saya sendiri. Saya sewajarnya lebih
berhati-hati dan sensitif dalam menulis sesuatu seperti itu, apatah lagi
apabila ia melibatkan kaum perempuan yang ternyata mudah menjadi emo itu. Eh
eh.
Lantaran itu, saya telah
mengeluarkan satu lagi status untuk mengendurkan keadaan. Saya jelaskan mengapa
saya berkata begitu dengan dalil akal dan Quran. Alhamdulillah, status itu
berjaya menyejukkan sedikit gunung-gunung berapi yang hampir meletus, meskipon
masih ada yang bengkek dan tidak puas hati. Tidak mengapalah.
Maka ijinkan saya
mengambil peluang di dalam penulisan ini untuk memberi penjelasan yang lebih
mendalam dan meluas mungkin, dengan harapan ia dapat menghancurkan
sangkaan-sangkaan yang ada, di samping berkongsi ilmu saya yang marhaen ini.
Baiklah. Tarik nafas.
Seperti yang kita tahu,
kita sekarang ini sedang hidup di zaman yang penuh pancaroba dan fitnah Peah.
Umat Islam terutamanya, berada di persimpangan peradaban manusia, tersepit
antara mengekalkan jati diri muslim yang sebenar dengan cubaan untuk menyesuaikan
diri dengan ketamadunan Barat (yang tidak bertamadun sebenarnya) yang tidak
dapat dinafikan sedang menjadi ostad kepada dunia (Baca: Ustadziyatul Alam).
Serangan demi serangan
untuk menjauhkan umat Islam daripada hidup dengan al-Quran dan as-Sunnah giat
dijalankan sejak zaman berzaman. Wasiat Raja Loius IX di ambang kematiannya
agar umat Islam tidak diperangi dengan senjata tapi sebaliknya dengan minda
telah dipegang dengan kuat dan dilaksanakan dengan hebat sekali oleh
musuh-musuh Islam.
Hari ini kita sendiri
menjadi saksi bahawa serangan-serangan pemikiran (Baca: Ghazwul fikr) ini telah
membuahkan hasil yang sekiranya Raja Louis bisa bangkit dari kuburnya, pasti
dia sudah tertawa gembira penuh bahagia. Oh dengan syarat dia tidak diazab di
kuburlah. Mengerikan.
Serangan-serangan
pemikiran di abad ini lebih halus dan licik lagi. Laman-laman media sosial
seperti MukaBuku, Instagram, Pengicau dan entah apa-apa lagi menjadi platform
terbaik untuk musuh-musuh Islam ini mengasak dan membelasah minda dan jiwa
pemuda-pemudi muslim sehingga mereka sendiri tidak perasan bahawa mereka telah
kehilangan identiti.
Anda skeptikal dengan
kenyataan saya ini?
Nah, apakah yang
mendefinisikan seseorang itu kool atau tidak di zaman ini? Bukankah dengan
berapa banyak kali statusnya di’SHARE’ di laman-laman media sosial?
Apakah yang menjadikan
seseorang itu hensem atau cantik pada pandangan mata massa? Bukankah dengan
berapa banyak LIKE yang diterima untuk gambar profailnya?
Apakah yang menjadi
kesibukan dan perhatian sebahagian besar daripada anak-anak muda di zaman ini? Bukankah
dengan menghabiskan masa-masa terluang untuk menatal garis masa MukaBuku dan
Pengicau untuk gosip-gosip terkini dan mengekori (Baca: Stalk) artis idaman pojaan hati di akaun Instagram mereka?
Yang lebih menakutkan
lagi adalah apabila ketaqwaan, kesolehan dan kewarakan seseorang itu juga
diukur menerusi kepopularitian dan keglamoran di laman-laman media sosial.
Ostad atau ostajah yang punya paling ramai pengikut dan paling banyak LIKE di
laman peribadinya, ostad ostajah itulah yang paling harus diikuti dan ditaati.
Alahai.
Tanpa kita sedar atau pon
tidak, suka atau tidak, sedikit demi sedikit, jati diri kita tidak lagi
dibentuk dan dicorakkan oleh tarbiyah Islam yang suatu ketika dahulu amat berpengaruh
dalam kalangan masyarakat Melayu muslim. Identiti anak-anak muda pada hari ini
digarap dan dibentuk oleh trend semasa dan perkembangan terkini di laman-laman
media sosial, yang tidak dapat disanggah lagi berkiblatkan barat dan gaya hidup
mereka.
Dan siapa yang mengawal
dan menguasai laman-laman atau aplikasi media sosial ini? Tidak lain dan tidak
bukan, musuh-musuh umat Islam sejak zaman berzaman; Nasara dan Yahudi!
Innalillahi wainnailaihi
raji’un.
Lantas saya ingin
bertanyakan kepada anda, terutamanya buat anda yang hobinya menghaplod
gambar-gambar anda ke akaun Instagram, MukaBuku dan sebagainya itu; apa niat
dan motif anda sebenarnya? Bagaimana anda menjaga hati dan perasaan anda
apabila ramai lelaki dan jejaka yang mengLIKE gambar-gambar anda itu? Sekiranya
anda tidak menutup aurat, atau berpakaian ketat, atau bergaya dengan gaya atau
cara yang err, ‘merbahaya’ dan boleh menaikkan syahwat (saya yakin kenyataan
ini bakal dihentam dengan rancaknya nanti), anda tidak takutkah anda mengutip
saham-saham neraka dengan percuma? Hatta perempuan yang yang bertudung litup
dan berpurdah sekalipon boleh sahaja menimbulkan fitnah, apatah lagi yang
selain daripada itu.
Dan jika anda mengatakan
bahawa ia adalah untuk tujuan peribadi atau para pengikut anda (Baca: Followers) terdiri daripada kaum
perempuan semata, apa jaminan bahawa gambar anda itu tidak akan tersebar? Apa
jaminan anda bahawa dalam ramai-ramai pengikut anda itu, tidak ada seorang pon
yang akan terlepas berkongsikan gambar anda itu pada yang lain? Sekiranya
gambar itu anda jatuh pada tangan dan mata seorang lelaki ajnabi, bukan mahram
anda, bagaimana pula?
Pernahkah anda
terfikirkan semua itu?
Kerana itu, apabila
ditanyakan kepada saya, apa pandangan saya terhadap perempuan yang suka
menghaplod gambar-gambarnya di media sosial, tanpa perlu berfikir panjang, saya
dengan selamba dan bersahajanya menjawab, “Mereka
ni tak sesuai dibuat isteri”!
Semuanya bertitik tolak
pada ayat Quran yang satu ini:
“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasan (auratnya) kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya)…”
[an-Nuur, 24:31]
Nah, apa ciri-ciri wanita
beriman itu? Menjaga pandangan dan kemaluan (kehormatannya) bukan? Tidak
menampakkan perhiasan yang ada pada dirinya kecuali yang biasa dilihat bukan?
Alangkah baiknya andai
ramai perempuan di luar sana sedar dan faham, bahawa kecantikan diri mereka
yang sebenar itu tidak terletak pada rupa dan gaya, tapi pada kehormatan dan
akhlak mereka yang mulia!
Sebagai jejaka yang ehem,
berazam mahu menjadi beriman, sudah tentu saya mengimpikan seorang perempuan
yang beriman juga untuk menjadi permaisuri yang bertakhta di jantung hati.
Muntah.
Perempuan yang tahu dan
bersungguh menjaga kehormatannya dan menutup semua pintu-pintu syubhah yang
ada. Sekiranya kehormatan diri sendiri pon tidak tahu dijaga dengan rapi dan
teliti, apa jaminannya si isteri boleh menjaga kehormatan anak-anak dan suami?
Dan perempuan yang
beriman itu sudah tentunya bukan seorang perempuan yang kerjanya berselpie dan
dok tukar gambar profail dua puluh empat jam sehari! Wahai!
“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan (bertingkah laku) seperti orang-orang jahiliyyah dulu…”
[al-Ahzab, 33:33]
Inche gabbana seksis! Chauvinis! Dan suka buat generalisasi!
Bukan semua perempuan begitu tahu??
Lailaha illallah. Itu
bukan saya yang kata. Bukan saya mahu membentuk persepsi berat sebelah terhadap
kaum Hawa. Bukan saya ni seorang lelaki yang jumud yang mahu mengawal dan
mempengaruhi hidup wanita!
Tetapi itu kata-kata
Allah. Itu wahyuNya yang disampaikan kepada ar-Rasul terchenta. Itu firmanNya
yang maha tinggi dan mulia!
Dan tentang generalisasi,
juga sudah saya terangkan dalam sebuah status berasingan. Betapa generalisasi
itu malah adalah uslub yang digunakan di dalam al-Quran!
Apabila Allah menyebut
wahai sekalian manusia atau wahai sekalian orang-orang beriman contohnya,
dengan sifat-sifat dan perilaku yang tertentu, adakah Allah menyifatkan semua
manusia atau semua orang-orang beriman dengan sifat begitu?
Dalam surah as-Saff ayat
dua misalnya, Allah berfirman:
“Wahai orang-orang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?”
[as-Saff, 61:2]
Nah, adakah semua orang-orang beriman bercakap tidak
serupa bikin? Tidak bukan?
Apa hikmahnya Allah
membuat generalisasi sedemikian rupa? Agar yang sudah berbuat sedemikian segera
bertaubat; dan agar mereka yang belum berbuat atau ada memasang niat, segera
membatalkan hasrat!
Fuh.
Mungkin ada dalam
kalangan anda yang pernah terdengar atau terbaca kisah seorang pemuda yang
bakal mengahwini seorang perempuan yang dikatakan bisu, pekak dan buta. Pernah?
Bagaimana akhirnya pemuda
itu mendapati, isteri yang sudah dinikahinya itu bukanlah bisu, pekak dan buta
secara literal dan fizikalnya. Namun dia bisu kerana tidak pernah mengungkapkan
sesuatu yang mungkar, pekak kerana tidak pernah mendengar sesuatu yang ingkar
dan buta kerana sepanjang hayatnya, tidak pernah melihat maksiat. Subhanallah.
Perkahwinan antara pemuda dan perempuan solehah itu akhirnya menghasilkan
zuriat yang bukan setakat soleh, malah hebat dan musleh.
Mungkin kisah ini
hanyalah rekaan dan tidak dapat diabsahkan kesahihannya. Namun pengajarannya
tetap relevan dan boleh menjadi iktibar kepada kita semua.
Betapa buah yang baik dan
harum, hanya boleh dihasilkan oleh benih-benih yang terbaik dan dijaga rapi. Betapa
anak-anak yang soleh dan solehah itu, benihnya juga bermula dari sang bapa dan
sang ibu yang menjaga adab dan perilakunya, akhlak dan budi pekertinya,
sakhsiah dan tatasusilanya.
Apabila saya mengatakan “…mereka ni tak sesuai dibuat isteri,” ia
adalah suatu saranan kepada para lelaki beriman di luar sana untuk berikhtiar
sebaiknya untuk mencari bakal isteri yang bersungguh-sungguh menjaga
kehormatannya. Ia bukan paksaan. Ia bukan arahan. Tetapi ia merupakan suatu
pilihan.
Ia juga merupakan suatu
nasihat buat semua kaum perempuan di luar sana, agar lebih berhati-hati dalam
berikhtilat di alam maya. Sungguh, alam maya itu adalah suatu rimba yang cukup
luas tanpa sempadan, yang penuh dengan binatang-binatang buas dan
raksasa-raksasa ganas, yang menunggu masa dan peluang sahaja untuk menerkam dan
membaham mangsanya. Lindungilah diri anda dan tutuplah pintu-pintu zina yang
ada kerana sungguh, kita pada hari ni sedang hidup di dalam dunia yang penuh
dengan kegilaan dan kerakusan.
Ia adalah suatu nasihat
yang bunyinya mungkin nakal dan bersahaja, namun ikhlas dan tulus, kerana saya
amat sayangkan anda semua selayaknya saudari-saudari seIslam saya.
Buat-buat batuk. [Kredit] |
Kerana akhirnya,
perempuan-perempuan yang baik itu selayaknya hanya untuk lelaki-lelaki yang
baik. Dan lelaki-lelaki yang baik itu juga selayaknya hanya untuk
perempuan-perempuan yang baik.
Senyum.
-gabbana-
Tulisan ini ditujukan
buat semua kaum perempuan, tanpa ada sebarang diskriminasi atau kompromi. Tida
kiralah yang free hari atau bertudung, bertudung bawal atau labuh, hijabista
atau berpurdah.
Moga ada manfaatnya. Moga
Allah redha.
Moga-moga.