24 March 2015

Seorang Al-Akh Yang Menggugah

[Kredit]

“Ada satu malam tu,” al-akh itu memulakan bicaranya, “kami kira-kira balik duit, tinggal dalam tiga puluh ringgit je.”

Al-Akh itu tersenyum sambil berkata-kata. Namun dia tetap tidak dapat menyembunyikan raut sayu dan sebak pada wajahnya itu.

Ketika itu kami berada di sebuah kedai mamak, menikmati minum malam atau dalam bahasa ikhwahnya, mengeteh. Suatu upacara yang mungkin tampak remeh dan tidak ada apa-apa pada pandangan manusia biasa, tetapi cukup bermakna dan berjasa untuk tarbiyah dan dakwah. Eheh. 

“Tak boleh gitu. Ana nak kena bagi zaujah ana makan. Nak jaga baby dalam perut tu. Ana suruh zaujah ana tidur kat RI malam tu. Ana terus shoot pergi cari kedai burger.”

Kedai burger? Saya tertanya-tanya di dalam hati. Nak buat apa dengan kedai burger?

“Jumpa je kedai burger, ana tanya lah ada tak kerja kosong. Ada apa-apa tak yang boleh ana tolong? Alhamdulillah ada kerja kosong. Dapatlah sikit, tiga empat puluh ringgit malam tu. Alhamdulillah.”

Saya terkedu. Akh T yang berada di seberang saya membulatkan matanya, tanda dia juga terkedu.

Mata al-akh yang berbicara itu berkaca-kaca. Dia masih tersenyum, tapi saya tahu jiwanya sedang bergelora.

“Nta buat kerja apa kat kedai burger tu? Tengah-tengah malam buta tu? Orang burger tu tak terkejut ke nta mintak kerja?” Saya bertanya, cuba untuk memurnikan suasana.

Al-Akh itu tertawa kecil.

“Terkejut lah jugak. Tolong bungkus-bungkus, buatlah apa yang ada.”

Tulus dia bercerita. Bukan untuk mencari simpati, tetapi ikhlas berkongsi. Senyuman tetap tidak lekang dari bibir al-akh itu. 

Saya dan akh T tertawa, namun di dalam hati, kami benar-benar terpana. Sebak.

Terasa seperti amat menzalimi al-akh itu. Terasa seperti kami ikhwah ini, tiada fungsi dan guna. Terasa seperti ditampar-tampar bertubi-tubi.

Dah, apa guna kami sebagai ikhwah jika bukan untuk disusahkan? Apa guna kami sebagai ikhwah, kalau ada ikhwah lain dalam kelaparan? Apa guna kami sebagai ikhwah, apabila ada ikhwah lain yang terpaksa kerja di kedai burger hanya kerana terdesak mencari wang poket tambahan??

Potong bawang laju-laju.

Perkenalan saya dengan al-akh itu, tidaklah terlalu lama. Malah dia antara al-akh yang agak lewat saya kenali sembari jalan tarbiyah dan dakwah ini.

Meski sekejap, ukhuwwah kami pantas bertaut. Walau perkenalan kami baharu, dirasakan seolah-olahnya sudah lama kami bersahabat. Dan meskipon kami bertaaruf agak lewat, ukhuwwah yang kami rasakan cukup hangat. Ewah kau.

Mungkin kami mudah serasi kerana kami punya cara berfikir yang sama. Mungkin juga yang menjadikan kami seperti sudah lama mengenali adalah kerana kami punya matlmat dakwah dan jiwa tarbiyah yang serupa.    

Benarlah, yang menyatukan ukhuwwah itu, yang membumikan persahabatan itu, yang mendarahdagingkan persaudaraan itu adalah fikrah. Fikrah tarbiyah dan dakwah!  

Dan al-akh itu, meski umurnya muda daripada kami, dia adalah qudwah kami di atas jalan berduri ini.

Semangatnya sentiasa membangkitkan himmah kami.

Pengorbanannya seringkali menyentap sukma kami.

Kesungguhannya di atas jalan yang berliku ini tidak pernah gagal merendahkan ego kami.

Taujihatnya yang berapi pasti akan membangkitkan jiwa kami yang lelah dan lesu.

Dan thumuhatnya di dalam gerabak tarbiyah ini benar-benar menolak kami untuk pergi lebih jauh lagi.

Ya, al-akh itu benar-benar menggugah jiwa dan sanubari kami!

Oleh sebab itu, apabila al-akh itu berkongsikan dengan kami suka duka manis pahit kehidupannya, kami terkedu. Terpana dan bisu.

Masakan kami sanggup membiarkan al-akh kechentaan kami sengsara sebegitu rupa?

Masakan kami tergamak untuk tidak ambil peduli?

Masakan kami boleh bersenang-lenang bergendang-gendut tali kecapi kenyang perut senang hati sedangkan al-akh itu berlapar menahan diri?

Aaaahhhh!

Habuk masuk mata. Banyak habuk masuk mata.

Maafkan kami akhi, andai kami telah menzalimi anda.

Maafkan kami akhi, andai kami telah gagal memenuhi hak ukhuwwah anda.

Dan maafkan kami akhi, andai kami belum benar-benar memaknai ukhuwwah ini.

“Teman-teman karib pada hari itu saling bermusuhan kecuali mereka yang bertaqwa.”
[az-Zukhruf, 43:67]

Terima kasih kerana terus berlapang dada dengan kami.

Terima kasih kerana masih terus bersabar dengan karenah kami.

Dan terima kasih, untuk ukhuwwah sejati ini.

Wahai akhi yang menggugah jiwa dan sanubari kami, ketahuilah, uhibbuka fillah!

-gabbana-

Ukhuwwah di jalan dakwah adalah antara perkara yang menjadikan saya terus kuat di atas jalan ini.

Ukhuwwah di jalan dakwah adalah antara perkara yang terus menghidupkan jiwa saya untuk terus gagah bekerja.

Dan ukhuwwah di jalan dakwah adalah antara perkara yang menyegarkan saya bila mana saya sudah mula lesu dan layu.

Terima kasih Allah, untuk ukhuwwah ini.  

19 March 2015

Cerita (Pendek) Seram III

[Kredit]

Markonah melihat jam Hello Kitty di tangannya. Pukul tujuh empat puluh tiga. Malam.

Dia baru usai solat Maghrib dan kini dia mahu ke Puchong untuk berbulatan gembira bersama hadek-hadeknya. Dia sedikit cemas kerana kemungkinan untuk dia tiba lewat itu ada. Walhal dia sudah berjanji dengan hadek-hadeknya untuk memulakan bulatan gembira tepat jam lapan setengah malam.

Qudwah bhai, qudwah!

Belum kira lagi keadaan jalan yang jem steroberi dan marmaled di masa-masa seperti itu. Adeh.

Hatta senyuman kucing berwarna putih pada jam tangannya itu gagal menghilangkan keresahan dalam dirinya.

Dia sempat menjeling pada kaki langit. Ungu gelap, dengan sisa-sisa merah kejinggaan sang suria yang sepertinya degil, tidak mahu bagi can pada malam melabuhkan tirainya.

Markonah tinggal di tingkat lapan belas apartment Reranting di pinggir megalopolis Kuala Lumpur. Dia tinggal bersendirian di apartment yang disewanya sejak tujuh bulan yang lalu itu.

Bukan dia tidak mahu duduk bersama dengan orang lain. Dan bukan dia tidak pernah mencari teman-teman untuk tinggal bersamanya.

Tapi Markonah cerewet orangnya. Dia punya kriteria tersendiri untuk siapa yang sesuai dijadikan temah seruhmahnya. Orang itu mestilah pembersih, pengemas, pandai masak, tidak berkira, bergaya, rajin, bangun awal pagi dan senarainya berterusan sehinggalah kerbau pulang ke rumah.

Akhirnya Markonah membuat keputusan yang lebih baik dia tinggal bersendirian. Tidak apalah sedikit kesunyian. Tidak mengapalah dia terpaksa membayar lebih untuk sewa bulanan. Tidak apalah kadangkala dia terpaksa makan megi asam laksa berseorangan. Dia rasa lebih bebas dan tidak perlu susah hati ada rambut yang terkumpul pada lubang air bilik mandinya.

Markonah mengunci gril putih apartmentnya dengan rapi. Dia membaca basmalah sebelum melangkah pergi.

Kalau ikutkan hati, mahu sahaja bulatan gembira dengan hadek-hadeknya itu dibuat di rumahnya. Mudah. Senang. Ditambah dengan rasa letih dan lelah seharian di kantor, nafsunya membuak untuk menghantar waksep kepada hadek-hadeknya agar bulatan gembira hari itu dibuat di Reranting sehaja.

Namun dia tahu itu tidak sihat untuk dirinya. Sekali-sekala mungkin tidak mengapa. Tapi jika dibiasakan, diseringkan, khuatir nanti dia akan jadi gemok, selesa dan mengada-ada. Dia tidak boleh membiarkan mujahadah dan hamasahnya berlemak dan tembam dengan sifat malas dan bermudah-mudahan.

Biarlah penat sedikit pon. Biarlah letih sekelumit pon.

Harga kenikmatan bermujadah itu tidak mungkin ada yang dapat menandinginya.

Koridor menuju ke lif sunyi sepi. Seram juga dibuatnya, apatah lagi blok apartment Markonah letaknya bersebelahan dengan hutan rimba yang bolehlah dikira sebagai spesis terancam di ibukota seperti Kuala Lumpur itu. Di waktu-waktu selepas Maghrib seperti itu, memang jarang ada orang berkeliaran di kawasan apartmentnya, apatah lagi majoriti penghuni apartment itu adalah orang Melayu.

Klise.

Pernah sekali tu Markonah seperti terlihat ada lembaga putih yang bertenggek pada sebuah pokok besar di tepi bukit bersebelahan dengan apartmentnya. Ketika itu tengah malam; Markonah baru pulang dari bulatan gembiranya sendiri. Kecut perut Markonah dibuatnya. Markonah cuba husnuzhon bahawa itu hanyalah imaginasinya sahaja. Namun bulu tengkuknya yang berdiri tegak seakan-akan mengiyakan bahawa itu bukan sekadar sebuah imaginasi. Terkumat-kamit Markonah menghamburkan entah macam-macam jampi serapah dan doa-doa dalam maathurat kubro.

Sampai sahaja di hadapan pintu, Markonah tidak berlengah lagi, disegerakan urusan membuka dan menutup pintu rumahnya itu. Namun matanya gatal sempat melirih pada pokok besar itu. Terasa mahu pengsan dibuatnya apabila melihat lembaga yang bertenggek itu sedang merenung tepat ke arahnya. Hanya mata dan rambut yang panjang mengurai. Mata yang bulat dan hitam.

Malam itu Markonah tidur berselebung selimut tidak keluar-keluar sehinggalah azan Subuh berkumandang.

Itulah sekali sahaja pengalaman ngerinya di apartment Reranting itu. Dia pernah dengar macam-macam cerita dari jiran tetangganya. Kononnya apartment itu dibina di atas bekas kubur lah, bukit bersebelahan dengan apartment itu dahulunya adalah pusat penyembelihan komunis lah, itulah inilah.

Mula-mula Markonah senyum kambing sahaja mendengar cerita-cerita sebegitu. Alah ini tak pernah dengar Usul 20 lah ni, getus hatinya. Namun pengalamannya bersua dengan lembaga putih itu menjadikan dia sedikit beriman dengan kisah-kisah sebegitu.

Markonah menekan butang untuk ke bawah. Memang tidak ada butang lain dah pon; tingkat lapan belas adalah tingkat tertinggi di blok itu. Dia memerhatikan angka pada skrin kecil di atas lif. Angka lima. Perlahan-lahan angka itu bertukar kepada enam, tujuh, lapan dan seterusnya. Lembap. Macam siput babi. Apartment lama lah katakan.

Markonah memandang sekeliling. Luar biasa sunyinya. Sepi. Timbul perasaan seram di dalam dirinya.

Dia membelek-belek mesej waksep yang ada, untuk mengalihkan fokusnya. 

Ting. Pintu lif terkuak buka. Kosong.

Markonah melangkah masuk dengan lafaz bismillah. Hidungnya mengembang dan mengempis, memberontak menangkap bau hancing di dalam lif itu. Hish. 

Markonah menekan butang ‘B’, terus ke tempat letak keretanya. Pintu lif tertutup rapat sebelum daya momentum mengambil tempat. Perlahan-lahan lif itu bergerak ke arah bawah, berkeriuk dan mengeluarkan bunyi yang bising. Tanda protes agaknya, dek sudah terlalu tua untuk melakukan kerja seperti itu.

Markonah menggaru-garu skrin telefonnya, sementara menunggu lif usang itu untuk membawanya ke tingkat bawah. Dibacanya semula mesej-mesej yang terkandung di dalam group waksep Buri-Buri Zaemon, group bulatan gembiranya bersama hadek-hadek terchenta. Tersengih dia seorang diri, entah apa yang lucu, hanya dia dan Allah sahaja yang tahu.

Tiba di tingkat tiga belas, lif itu berhenti. Markonah mendongak, melihat angka yang tertera pada skrin kecil di dinding lif. 

Ting. 

Pintu lif terbuka.

Tiada siapa-siapa yang masuk. Hanya kegelapan malam yang masih muda yang menyapa.

Markonah mendengus. Geram. 

Budak-budak main-main la ni. 

Markonah menekan butang untuk menutup pintu lif.

Sekali lagi lif berkeriuk dan perlahan-lahan ia turun ke bawah.

Tiba-tiba lampu lif berkelip-kelip. Mula-mula berkelip selang dua ke tiga saat. Kemudian semakin laju. Setiap selang sesaat. Dan kemudian ia padam. Padam!

Markonah kaget. Dia rasa cemas. Tak pasal-pasal je.

Markonah memandang pada skrin lif. Angkanya semakin berkurang. Tandanya lif itu masih lagi beroperasi. Mujur. Mungkin hanya lampunya sahaja yang rosak. 

Ting. 

Lif itu berhenti lagi. Kali ini di tingkat sembilan.

Timbul sedikit kelegaan dalam hati Markonah. Kalau ada orang lain nanti, tidaklah terlalu takut dibuatnya.

Pintu lif terbuka. Gelap gulita. 

Satu blok ni ke lampu rosak? Ish pelik. 

Sekali lagi, tiada siapa yang masuk ke dalam lif. Markonah rasa tidak sedap hati.

Di hadapan Markonah adalah satu koridor yang memanjang. Di dalam keadaan yang gelap sebegitu, Markonah tidak nampak di mana penghujungnya. 

“Halo assalamu a’laikum? Ada sesapa nak turun ke?” 

Markonah memanggil-manggil. Dia memberanikan diri untuk menjenguk ke luar.

Tiba-tiba Markonah nampak bayangan seorang kanak-kanak yang sedang mengayuh basikal roda tiga tidak jauh dari tempat dia berada. Kanak-kanak itu seolahnya semakin menghampiri Markonah.

Entah kenapa Markonah rasa seram semacam. Cepat-cepat dia masuk semula ke dalam lif dan menekan butang tutup. Pintu lif itu tidak mahu tutup. Berkali-kali Markonah menekan butang tutup, namun pintu lif itu masih berdegil, tidak mahu tutup.

Kanak-kanak itu semakin menghampiri Markonah. Markonah sudah boleh nampak wajah kanak-kanak itu. Tiada wajah. TIADA WAJAH!

Terbeliak mata Markonah. Dia tidak pasti yang memang kanak-kanak itu tiada wajah atau dalam keadaan gelap sebegitu, dia tersilap pandang. Apa pon jawapannya, Markonah tidak mahu tahu. Dia tidak mahu tunggu sampai kanak-kanak itu berada di hadapannya.

Tidak semena-mena kedengaran kanak-kanak itu tertawa. Di dalam keadaan biasa, Markonah mungkin merasakan gelak tawa sebegitu comel dan mencairkan. Tapi dalam keadaan ketika itu, gelak tawa kanak-kanak itu menyebabkan Markonah rasa mahu terkencing.

Mujur akhirnya pintu lif itu tertutup. Itu pon setelah berapa kali tasbih, berapa kali tahmid, berapa kali tahlil dan berapa kali takbir yang diwiridkan Markonah.

Markonah menarik nafas yang panjang. Lega. Berpeluh-peluh satu badannya dek kecuakan dan ketakutan yang dahsyat.

Markonah menekan butang ‘B’ berkali-kali. 

Ya Allah cepatlah sampai. Ya Allah tolonglah!

Ting. 

Lif itu berhenti sekali lagi. Kali ini di tingkat enam. 

Allah apa pulaaaakk. 

Terbuka sahaja pintu lif, mata Markonah rasa seperti mahu berdarah. Dalam keadaan yang gelap gelita itu, jelas kelihatan seorang wanita tua berpakaian serba putih sedang tercegat di hadapan lif.

Wajah wanita itu pucat lesi. Dia memandang tepat wajah Markonah. Tiada perasaan. Rasanya wajah Markonah ketika itu juga pucat. Lebih pucat dari wajah wanita tua itu.

Cepat-cepat Markonah menekan butang tutup. Bertubi-tubi. 

Tutuplah cepat. Tutuplaah cepaaaattt! 

Wanita tua itu seperti mahu mengatakan sesuatu. Tetapi belum sempat apa-apa terhambur dari mulutnya, pintu lif tertutup. Mujur!

Markonah tidak tertahan lagi. Dia menanges-nanges dalam ketakutan. Tidak pernah dia berasa takut sedahsyat itu.

Sudah bermacam surah dan bermacam doa yang dibacanya. Ayat Kursi. Ayat Seribu Dinar. Doa masuk tandas. Doa sebelum makan. Semua-semualah! Namun tetap tidak dapat menghilangkan ketakutan yang sedang dialaminya. Dia hanya mampu berdoa dan berdoa, agar kesengsaraannya itu akan tamat dengan segera.

Terlintas di dalam hatinya, esok juga dia akan mula mencari rumah sewa yang baru. Tidak sanggup dia untuk tinggal di apartment berhantu itu. Buat sakit jantung je. Hangus duit deposit yang telah dibayar pon, hanguslah! Terpaksa berkongsi rumah dengan akhawat selekeh pon, terpaksalah! 

Ting. 

Lif itu berhenti lagi. Tingat G. Ground floor.

Perlahan-lahan pintu lif terbuka.

Markonah tidak tahu apa yang boleh dijangka. Apa yang bakal menjelma.

Pada masa yang sama, timbu sedikit perasaan lega kerana sekurang-kurangnya dia tahu yang dia sudah berada di tingkat atas tanah. Jika apa-apa berlaku sekurang-kurangnya dia boleh angkat kaki langkah seribu!

Sekonyong-konyong muncul suatu lembaga, tercokoh di hadapan lif.

Markonah tidak percaya. Matanya terbeliak. Terasa seperti mahu menjerit sekuat hatinya namun tiada apa yang keluar dari kotak suaranya.

Lembaga di hadapannya itu lebih menakutkan dari kanak-kanak kecil di tingkat sembilan. Lembaga yang sedang memandangnya itu lebih mengerikan dari wanita tua berpakaian serba putih di tingkat enam. 

“Markonah?” 

Lembaga itu bersuara.

Naqibahnya.

Dan ketika itu juga Markonah baru teringat yang dia masih belum lagi melangsaikan ODOJnya!

Seram bak hang! 

-gabbana- 

Gelak guling-guling.
 
*ODOJ = One day one juzu’ al-Quran. 

13 March 2015

Mari Jadi Pawer Berdoa Macam Nabi Musa

-->
[Kredit]

[Artikel ini terinspirasi daripada tulisan Kang Salim A. Fillah di dalam bukunya Lapis-Lapis Keberkahan]

Siapa yang tidak kenal dengan Nabi Musa AS?

Baik di dalam tradisi Islam, Kristian mahu pon Yahudi, sosok yang bernama Musa ini amat dihormati dan dikagumi.

Menarik sekali, meskipon Nabi Musa AS itu didakwa sebagai hak milik mutlak kaum Yahudi, kisahnya paling banyak sekali disebut di dalam al-Quran, jauh lebih banyak daripada nabi-nabi yang lainnya, termasuklah Nabi Muhammad SAW sendiri.

Syaikh Amr Khaled di dalam kitab Khawatir Qurannya menyebut sebab musabab mengapa perihal dan kisah Nabi Musa AS paling banyak diceritakan di dalam Al-Quran adalah kerana kisah perjalanan hidupnya amat dekat dan hampir dengan perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW. Maka dari Nabi Musa AS, ar-Rasul SAW dan para sahabatnya dapat mengambil pelbagai pengajaran yang amat berguna untuk menjadi bekalan di sepanjang jalan perjuangan dakwah mereka.

Kita juga sebenarnya dapat banyak belajar dari Nabi Musa AS.

Dari Musa AS, kita belajar erti amanah dan kerajinan, ketika mana baginda bersetuju untuk bekerja dengan Syuaib AS untuk sepuluh tahun lamanya.

Dari Musa AS, kita belajar erti keberanian, ketika mana baginda diperintah untuk berhadapan dengan Firaun laknatullah.

Dari Musa AS, kita belajar erti persahabatan dan persaudaraan, ketika mana baginda meminta agar Allah menguatkannya dengan Harun AS.

Dan dari Musa AS, kita belajar erti kerendahan hati, ketika mana baginda mengembara bersama seorang hamba Allah yang soleh bernama Khidir.

Dan dari Musa AS, kita belajar erti kesabaran dan keteguhan, ketika mana baginda terpaksa berhadapan dengan kaumnya yang maha degil dan beraneka rencam itu.

Walaweh bukan?

Ada seperkara lagi bisa kita belajar dan teladani dari sosok hebat itu; doa.

Pasti benda pertama yang menyinggah di kepala kita apabila menyebut ‘Musa’ dan ‘doa’ adalah doa yang sering kita lafazkan sewaktu derejah lima dahulu bukan?

“Robbish rohli sodri wayassirli amri wahlul uqdatam millisani yafqahu qauli…”

Dan muka ketua kelas kita yang minta penumbuk kerana sumpah annoying itu. Err.

Pandang kiri pandang kanan. Buat-buat tak bersalah.

Selain daripada doa yang femes itu, ada satu lagi doa hebat yang telah diajar Nabi Musa AS kepada kita. Dan doa ia terakam di dalam surah al-Qasas seperti berikut:

رَبِّ إِنِّى لِمَآ أَنزَلۡتَ إِلَىَّ مِنۡ خَيۡرٍ۬ فَقِيرٌ۬

“Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.”
[al-Qasas, 28:24]

Sebelum saya kongsikan betapa pawernya doa Nabi Musa ini, mari kita sama-sama selusuri dan hayati, apakah peristiwa dan kejadian yang berlaku sehingga Nabi Musa mengungkapkan doa yang begitu syahdu.

Untuk itu, saya minta anda semua untuk memejamkan mata…




Eceh bajet macam program motivasi pula! Wahahaha.

Ok tak perlulah pejam mata atau pasang lagu yang tangkap leleh. Cukuplah sekadar anda cuba sebaiknya untuk membayangkan apa yang sedang dihadapi oleh Nabi Musa.

Kehidupan Nabi Musa AS dari kecil hinggalah baginda dewasa penuh dengan warna warni. Ringkasnya, baginda terlibat dengan sebuah pergaduhan yang menyebabkan secara tidak sengaja baginda telah membunuh seorang Qibti (Qibti adalah bangsa Firaun). Oleh sebab itu, baginda diburu oleh para pembesar Mesir dan baginda terpaksa lari menyelamatkan diri.

Dalam keadaan yang terdesak, lapar, penat dan dahaga, sehelai sepinggang dan tiada siapa-siapa yang boleh diharapkan, baginda akhirnya tiba di sebuah negeri yang dipanggil Madyan. Di negeri inilah berlakunya peristiwa yang menyebabkan Nabi Musa AS mengungkapkan doa seperti di atas.

Ketika sedang berteduh di bawah sebatang pokok, baginda ternampak suatu kejadian di mana orang ramai berebut-rebut di sebuah mata air untuk memberi minum kepada binatang ternakan mereka. Dalam kalangan mereka itu, terdapat dua orang gadis yang tidak dapat memberi minum kepada binatang ternakan mereka.

Melihatkan ini, Nabi Musa AS segera bangkit dan membantu untuk memberi minum kepada ternakan dua orang perempuan itu. Usai memberi minum, baginda kembali ke pokok tempat baginda melepaskan lelah dan ketika itu, terpacullah doa:

“Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.”

Kita akhirnya mengetahui bagaimana doa Nabi Musa AS itu segera dimakbulkan oleh Allah. Malah, Allah mengurniakan rezeki yang melimpah-ruah kepada baginda, lebih daripada apa yang baginda pinta.

Salah seorang gadis yang dibantu baginda datang semula untuk menjemput baginda datang ke rumah atas jemputan ayahnya, yang kita ketahui sebagai Nabi Syuaib AS. Selepas bertemu dengan Nabi Syuaib, baginda bukan sahaja dijamu dan diberi tempat tinggal, bahkan baginda ditawarkan untuk bekerja selama sepuluh tahun lamanya menjaga ternakan milik Nabi Syuaib. Tidak cukup dengan itu, Nabi Syuaib turut menawarkan anak perempuannya untuk dikahwinkan dengan Nabi Musa!

Peh mashaAllah! Orang nak betis sahaja, tapi peha yang diberinya! Eheh.

Nah, pasti ada keistimewaan pada doa Nabi Musa itu sehingga Allah bukan sahaja memakbulkannya dalam masa yang singkat, malah Allah lipat kaligandakan kurniaanNya kepada baginda. Kan?

Ayuh kita lihat, apa yang menjadikan doa Nabi Musa AS itu begitu pawer dan haibat.

Ada tiga pengajaran utama yang boleh kita teladani daripada doa Nabi Musa itu:

PERTAMA
Nabi Musa AS meletakkan sepenuh pengharapan dan kebegantungannya kepada Allah semata-mata. Dalam keadaan yang begitu terdesak sekalipon, baginda tidak mengharapkan pada yang lain melainkan Tuhannya.

Boleh sahaja dia meminta pertolongan kepada dua orang gadis yang dibantunya sebagai belas ihsan atas bantuan yang telah dihulurkan. Atau minta bantuan pada mana-mana penduduk kampung yang pastinya ada yang simpati melihatkan keadaannya yang sehilai pinggang itu.

Tetapi tidak. Doanya ditujukan kepada Allah semata. Pengharapannya diletakkan pada Allah dan tidak pada maklukNya. Kebergantungannya kepada Allah benar-benar jitu dan tiada tandingnya.

Kerana baginda tahu, Dialah pemilih seluruh alam. Dialah yang memegang kunci pintu-pintu rezeki. Dan Dialah Raja yang berkuasa ke atas segala sesuatu.

KEDUA
Para ulama’ telah bersepakat bahawa ketika mana kita berdoa, kita dibolehkan untuk menggunakan ‘ayat perintah' seperti berikanlah, lindungilah, ampunkanlah, kurniakanlah dan sebagainya. Seolah-olahnya kita menyuruh Allah untuk berbuat sesuatu untuk kita. Hal ini dibenarkan di dalam doa berdasarkan dalil-dalil yang sahih.

Namun lihat bagaimana Nabi Musa AS berdoa; penuh dengan adab dan akhlak seorang hamba. Tidak ada suatu perkataan pon yang menyuruh Allah untuk memberikan rezeki atau memudahkan kesusahan yang sedang dialami.

“Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.”

Yang anda hanyalah pengharapan yang sayu dan kebergantungan yang penuh rindu. Penuh dengan harapan tanpa ada meminta-minta yang keterlaluan.

KETIGA
Nabi Musa AS berlapang dada dengan pengetahuan Allah yang meliputi segala sesuatu, apabila baginda tidak meminta apa-apa secara spesifik daripadaNya. Baginda tahu bahawasanya Allah lebih tahu apa yang diperlukannya, dan bukan apa yang dimahukannya.

Nabi Musa telah mengajar kita bahawa berdoa kepada Allah itu bukanlah memberitahu Allah apa yang kita mahu dan harapkan. Tetapi ia adalah suatu manifestasi borak mesra dan adu chenta kita kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Bijaksana.

Nabi Musa menyerahkan segala-galanya kepada pengetahuan Allah yang Maha Pemurah itu.

Maka tidak hairanlah, dengan ketiga-ketiga ciri yang terkandung di dalam doa Nabi Musa AS itu, Allah dengan serta-merta memakbulkannya. Malah lebih dari sekadar menyingkap hijab agar doa itu sampai kepadaNya, Allah kurniakan rezeki yang melimpah-ruah kepada hambaNya yang dikasihi itu.

Fuh.

Lantas, dari Musa AS kita belajar bahawa doa itu hanya akan sampai padaNya apabila kita meletakkan pengharapan dan kebergantungan kita kepadaNya semata-mata.

Dari Musa AS kita belajar bahawa berdoa itu adalah tanda kita rindu dan chenta padaNya, tanda kita bahagia berbual mesra denganNya.

Dari Musa AS kita belajar bahawa doa itu bukan meminta apa yang kita mahu, tapi berlapang dada dan yakin bahawa Allah lebih tahu.

Dari Musa AS kita belajar bahawa doa itu menghubungkan seorang hamba dengan Rabbnya.

Dan dari Musa AS kita belajar untuk memaknai doa.

“Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.”

Moga Allah mengurniakan kita semua dengan kebaikan dan rezaki yang melimpah-ruah, sepertimana yang pernah Dia kurniakan kepada Nabi Musa AS.

Hanya kerana selafaz doa yang pawer.

Senyum.

-gabbana- 

Pssst. Ada orang beritahu, kalau sukar bertemu jodoh, bolehlah cuba baca doa Nabi Musa ni. Mana tahu, Allah bukakan pintu rezeki! Ehem.

9 March 2015

Jadilah Kalian Manusia Tarbawi!

[Kredit]

Al-Quran itu sangat osem. Ia tersangat- sangatlah osem. Sumpah osem!

Antara sebab mengapa ia sumpah osem adalah kerana ia diturunkan di dalam bahasa Arab. Mengapa? Kerana kaya dan uniknya bahasa Arab itu.

Misalnya, ada beberapa perkataan bahasa Arab di dalam al-Quran yang mempunyai lebih daripada satu maksud. Dan kedua-dua maksud ini relevan untuk digunapakai, mengikut keadaan dan konteks tertentu.

Hal ini menjadikan al-Quran itu sangat mempesonakan dan mengterkedukan sesiapa sahaja yang dapat memahaminya. Tidak hairanlah uslub dan kaedah yang digunapakai di dalam al-Quran dikira sebagai suatu mukjizat yang cukup hebat.

Mari saya kongsikan dengan anda satu ayat di dalam al-Quran yang bakal menjadikan rahang anda terjatuh penuh keterujaan. Atau sekurang-kurangnya menyebabkan anda bermonolog “Walawehhh!” penuh kekaguman.

Ketika pertama kali saya mendapat tahu akan ayat ini, ia seperti mendapat cahaya pencerahan dari langit. The ‘light from above’ moment. Meletup minda saya (Baca: Mind blown)!

Baiklah.

Sekiranya anda membuka al-Quran anda (lebih bagus sekiranya anda dalam keadaan berwudhu’) dan pergi ke surah yang ketiga yakni surah Ali-Imraan, anda cari pula ayat tujuh pulh sembilan, anda akan dapati sepotong ayat yang berbunyi: 

كُونُواْ رَبَّـٰنِيِّـۧنَ
“Jadilah kamu manusia rabbani.” 
[Ali-Imraan, 3:79]

Betul?

Dan apakah definisi untuk kata ‘rabbiniyyin’ itu? Besar kemungkinan al-Quran poket atau zip atau diari atau apa-apa sahajalah al-Quran terjemahan yang anda gunakan itu, akan menterjemahkannya sebagai: 

“Pengabdi-pengabdi Allah.” 

Betul?

Apa pendapat anda sekiranya saya mengatakan bahawa kata ‘rabbiniyyin’ di dalam ayat itu sebenarnya tidak merujuk pada kata ‘rabb’ (Tuhan) tapi ia merujuk pada tarbiyah?

Jeng jeng jeng.

Rabb dan tarbiyah, kedua-duanya daripada kata akar yang sama yakni raa-baa-baa. Sekiranya anda mempunyai aplikasi Bayan Quran pada henpon pintar anda itu, anda boleh sama-sama memeriksanya dengan saya.



Makanya tidak salah lah sekiranya ayat tujuh puluh sembilan surah Ali-Imraan itu diterjemahkan sebagai: 

“Jadilah kamu manusia tarbawi.” 

Dan terjemahan/tafsiran ini tampaknya lebih konsisten dengan ayat selepasnya:

“…kerana kamu mengajarkan kitab dan kamu mempelajarinya.”
[Ali-Imraan, 3:79] 

Ish Inche gabbana ni. Biar betik! Ini suatu dakwaan seriyes! Boleh jadi sesat ni! Apa bukti Inche gabbana berkata begitu..?? Tak berguru, tak bertalaqqi, nak tafsir Quran sendiri! Suka hati dia je! Puii! 

Err. Rilek rilek.

Kerana saya berguru dan bertalaqqi kitab lah saya berani membuat dakwaan sebegitu rupa.

Anda tidak percaya? Baiklah.

Saidina ‘Ali bin Abi Talib RA mengertikan manusia-manusia rabbani yang disebut di dalam ayat tujuh puluh sembilan surah Ali-Imraan itu adalah, “Mereka yang menyuap manusia dengan hikmah dan mendidik mereka dengannya.” 

Imam Mujahid, seorang tabi’en, mentafsirkan rabbaniyyin itu sebagai, “Mereka adalah orang yang mendidik manusia dengan ilmu yang kecil sebelum ilmu yang besar. Mereka itulah yang melakukan amar maaruf nahi mungkar.” 

Ibnu Abbas pula berkata, “Mereka itulah fuqaha’ yang mengajar.” 

Imam Qatadah dan Imam Atha’ berkata, “Mereka ialah fuqaha’ yang ulama’ dan hukama’.” 

Ibnu Qutaybah pula berkata, “Kata tunggal bagi perkaatan ini (rabbaniyyin) ialah rabbani. Mereka ialah ulama’ yang mengajar.” 

Ibn Taymiyyah pula di dalam kitabnya yang mahsyur, Majmuk Fatawa, mengertikan rabbaniyyin sebagai, “Mereka yang ada kaitan dengan tarbiyah.” 

Fuh.

Nah, sekarang bagaimana? Anda sudah boleh mula percaya dengan saya? Wah!

Lantas, apa implikasinya sekiranya ayat ini ditafsirkan sebagai manusia tarbawi? Sangat besar.

Kata كُونُواْ dalam ayat itu adalah fi-il ammar, beerti ia adalah kata perintah dari Allah. Maknanya, suruhan menjadi manusia tarbawi (Baca: Ikut tarbiyah dan mentarbiyah orang lain) adalah suatu arahan yang wajib dipatuhi.

Selama ini, kita mungkin sudah tahu dan faham bahawa dakwah itu wajib. Dengan pelbagai dalil sama ada ayat-ayat Quran atau hadith, juga pengisian menggugah jiwa seperti Saya Haibat dan sebagainya, menjadikan kita benar-benar yakin tanpa was-was lagi bahawa dakwah itu suatu kewajipan tanpa kompromi.

Tetapi mungkin kita masih bermain tarik tali dengan kewajipan tarbiyah itu sendiri. Ayat tujuh puluh sembilan surah Ali-Imraan itu, sekiranya difahami sebagai arahan wajib untuk menjadi tarbawi, adalah suatu dalil naqli bawaha tarbiyah itu wajib untuk semua!

Gasp.

Hal ini sebenarnya tidaklah menghairankan memandangkan untuk berdakwah, kita memerlukan bekalan dan tarbiyah itulah yang membekalkan tenaga-tenaga ruhiyy untuk kita kekal kuat di atas jalan dakwah.

Ada satu kaedah fiqh yang menyebut: 

“Maa laa yutimmul waajib, illa bihi fahuwa waajib.” 

“Sesuatu perkara yang tidak sempurna sesuatu yang wajib tanpanya, maka hukum perkara tersebut juga adalah wajib.”

Peh!

Maka andai kita beriman bahawa menjadi manusia yang tarbawi itu adalah perintah dari Allah, maka kita akan melakukan apa sahaja bersesuaian dengan kemampuan kita untuk melaksanakan perintah ini.

Hal ini termasuklah berbulatan gembira, menghadiri konferens riang, belajar bahasa Arab, hadir ke kuliah-kuliah ilmu, bertalaqqi dengan syaikh atau tok guru, memperbanyak bacaan bahan-bahan fikrah, mengukuhkan pengetahuan asas dalam ilmu fiqh, memantapkan bacaan Quran dan hukum tajwid, membedah kitab sirah dan macam-macam lagi.

Ia juga bermaksud, kita akan berusaha sesungguhnya untuk mentarbiyah orang lain. Maka kita bermujahadah untuk membulatangembirakan orang lain, kita akan memburu mad’u-mad’u yang berpotensi untuk ditarbiyah, kita akan bersedia lebih awal untuk memberi pengisian di dalam bulatan gembira, kita mencari-cari peluang untuk berkongsikan ilmu dan sebagainya.

Mudahnya, kita akan buat sehabis baik untuk ditarbiyah dan mentarbiyah.

Kerana itu adalah arahan Allah. Jadilah kalian manusia tarbawi. Jadilah kalian manusia yang ditarbiyah. Dan jadilah kalian manusia yang mentarbiyah. 

Nah, bagaimana? Mind blown bukan?

Senyum. 

-gabbana- 

Sumber: Muntalaq, Bab 16: Al-Intiqa’ Yaqii Al-Masori’ (Pemilihan Memelihara Dari Kecundang)

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP