3 January 2017

Siapa Itu Ulama'?

[Kredit]

Sejak kebelakangan ini, terma 'ulama'' begitu hangat diperkatakan. Pemergian Tuan Guru Haji Hadi ke Iran menghadiri sebuah persidangan telah menyemarakkan lagi perbahasan dan perdebatan tentang terma ulama'.

(Oh maaf, saya tidak bercadang untuk berbincang tentang niat dan tujuan TGHH ke sana kerana itu bukan tujuan artikel ini ditulis. Titik.)

Sebenarnya, sejak dahulu terma atau status ulama' seringkali diperdebatkan. Di satu pihak kita melihat satu golongan yang membabi-buta mencela, mencaci dan merendah-rendahkan ulama'. Di satu pihak yang lain, ada pula golongan yang terlalu taasub dan ekstrem dalam mempertahankan ulama'.  

Tidak hairan, masyarakat awam lah yang seringkali menjadi mangsa, terkebil-kebil dan terkedip-kedip mata tidak bersalah, tersepit di antara dua golongan ini. Jika bersetuju dengan golongan pertama, pasti mereka akan dituduh sebagai liberal dan munafiq haraki. Dan andai mereka menyokong golongan kedua, mereka akan dilabel sebagai Taliban dan ostad kampung pula. Alih-alih, mereka ini hanya mampu untuk berhuhu sahajalah! 

Geleng kepala. 

Maka saya ingin mengajak diri saya dan anda semua untuk kita mengambil jalan tengah di dalam isu ini; itulah memahami siapa itu ulama' dalam konteksnya yan sebenar dan tidak terpengaruh dengan apa jua jenis pandangan berbentuk persepsi, dzanni (sangkaan) apatah lagi provokasi. Di dalam dunia teknologi yang serba moden ini, sepatutnya tidak sukar untuk kita mendapatkan maklumat yang sahih lagi tepat. Malangnya masih ramai dalam kalangan kita yang lebih gemar untuk terus mempercayai dan meyakini fakta-fakta (atau auta-auta) yang belum terbukti benar. 

Lebih menyedihkan lagi, sebahagian masyarakat hari ini sepertinya sudah didoktrin bahawa mereka tidak dibenarkan untuk berbicara tentang isu agama. Mereka hanya perlu bersetuju dan menganggukkan kepala apabila ostad atau ostajah mengajar mereka. Mereka yang digelar ulama' itu suci dan tiada dosa. Apa yang keluar dari mulut mereka dianggap sebagai fatwa yang tidak boleh disanggah dan digugah. Mempersoalkan kata-kata atau pendapat mereka dikatakan sebagai derhaka dan tidak hormat pada institusi ulama'.

Alahai.

Arakian muncullah kisah-kisah pelik lagi ajaib yang berputar di sekitar tuan guru atau syaikh tertentu. Keluarlah segelintir manusia yang taasub dalam mengkuduskan tok guru dan muallim mereka. Kumpulan-kumpulan Waksep penuh dengan mesej-mesej yang dikehadapankan (Baca: Forwarded) tentang amalan-amalan atau hadith-hadith yang tidak diketahui mana asal dan sumbernya, hanya kerana ia diucapkan atau disyorkan oleh ostad atau ostajah tertentu.

Sungguh ironi, di abad ke duapuluhsatu ini, di zaman yang semakin canggih dengan entah bermacam jenis teknologi, masyarakat kita semakin terkebelakang dan jumud dalam pemikiran mereka. Dalam isu agama, kita disuruh untuk bertaklid semata dan jangan banyak bertanya. Walhal Islam itu adalah agama yang revolusionis (ketika ia mula-mula turun di jazirah Arab) dan dinamik; sentiasa mengajak para pengikutnya untuk berfikir dan menjadi rasional. Jika tidak, masakan Islam mampu tersebar dengan begitu luas dalam masa yang begitu sekejap dan ketamadunannya hampir sahaja menguasai seluruh pelusuk bumi

Maka penulisan yang marhaen ini diharap dapat membuka mata dan minda kita untuk berfikir dan bertaklid buta. Memandangkan ulama' mempunyai status yang amat tinggi dalam masyarakat Melayu Muslim di sini, yang seringkali menjadi rujukan dalam banyak hal, ada baiknya untuk kita mengenali siapakah yang disebut sebagai ulama' ini. 

Sebelum itu saya ingin memberikan diskelemer bahawa tulisan ini sama sekali tidak bertujuan untuk menghina atau merendah-rendahkan golongan ulama'. Jauh sekali. Status ulama' sebagai pewaris Nabi adalah status yang cukup mulia dan wajib dihormati. Namun persoalan yang ingin saya ketengahkan di dalam penulisan ini adalah ulama' yang bagaimana yang dikatakan sebagai pewaris Nabi itu? Siapakah yang berhak dan layak digelar sebagai ulama'? Adakah ulama' ini mesti di dalam bidang agama sahaja atau bagaimana? 

Jeng jeng jeng.

Baiklah, persoalan pertama. Adakah ulama' itu suci; bebas dari melakukan kesilapan dan kita tidak boleh khilaf dengan pendapat mereka?  

Imam as-Syahid Hasan al-Banna di dalam risalaah taalimnya yang fenomenal itu, menyebut di dalam Usul Enam betapa:

"Kata-kata manusia boleh diterima atau ditolak kecuali kata-kata al-maksum (Rasulullah) SAW. Segala yang datang daripada salafussoleh (ridhwanu 'alaihim) jika bertepatan dengan kitab dan sunnah hendaklah diterima. Jika tidak, kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya lebih utama untuk diikuti. Walau bagaimanapon, kita sesekali tidak akan mengecam atau memburukkan seseorang daripada mereka kerana perbezaan pandangan mereka. Kita serahkan kepada niat mereka. Mereka telah pon menyampaikan apa yang mereka kemukakan."


Imam as-Shafi'e rahimahullah dengan lejennya pernah mengungkapkan:

"Apabila kamu dapati di dalam kitabku kata-kata yang bercanggah dengan sunnah Rasulullah SAW, maka terimalah sunnah Rasulullah SAW dan tinggalkanlah kata-kataku itu."

Inilah sikap yang perlu kita amalkan dalam menyantuni para ulama'. Jika fatwa atau kata-kata para ulama' silam yang sudah tentunya lebih pawer dan hebat itu boleh sahaja ditolak (dengan sebab yang kukuh), apatah lagi para ulama' moden pada hari ini.  

Ya, ulama' itu juga manusia biasa, tidak pernah sunyi dari melakukan silap dan dosa. Janganlah kita terlalu taasub dalam menanggapi kata-kata mereka sehinggakan menjadikan ia ibarat wahyu dari langit yang wajib ditaati dalam apa jua keadaan tidak kira masa dan ketika. Janganlah kita terlalu memuji dan memuja mereka sehingga andai mereka berbuat silap dan salah sekalipon, kita bukan setakat menutup sebelah malah kedua-dua belah mata.

Namun al-Banna telah menggariskan sesuatu yang amat penting di dalam usul yang keenam seperti di atas; itulah kita tetap menghormati para ulama' ini meskipon kita berbeza pendapat dengan mereka. Kita sama sekali tidak akan menghina, mengecam dan merendah-rendahkan mereka ini. Itulah sikap dan dan akhlak yang perlu kita imani.    

Hari ini kita melihat, para ostad dan ostajah di madrasah netizen tanpa segan-silu memburuk-burukan ulama' itu dan menjatuhkan ulama' ini. Hanya kerana perbezaan pendapat yang sedikit di dalam sesetengah isu, terus diserang ostad itu bertubi-tubi dari pelbagai arah. Hanya kerana khilaf dalam pandangan tentang sesuatu hukum atau hadith, terus dikatakan syaikh itu sebagai sudah tua nyanyuk tidak sedarkan diri. Eh. 

Sikap seperti inilah yang amat perlu untuk kita jauhkan. Akhlak sebegitu rupa tidak akan menguntungkan sesiapa melainkan musuh-musuh Islam yang bertepuk-tangan gembira melihat kita saling menikam dan menjatuhkan. Tidak salah untuk kita menegur atau menasihati para 'alim ulama' ini andai kita punya perbezaan pendapat dengan mereka; tetapi tegurlah dengan adab dan nasihatilah mereka dengan kasih-sayang. 

Kita serahkan pada Allah untuk mengganjari dan membalas segala tindakan atau ucapan mereka kerana sungguh, hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang tersirat di dalam sanubari mereka.

Persoalan kedua; adakah yang bernama ulama' itu sudah tentunya soleh dan musleh (baik dan membaikkan)? 

Begini. Dari segi bahasanya, ulama' adalah kata jamak bagi orang yang 'alim, yakni orang yang berpengetahuan di dalam sesuatu bidang. 

Di dalam al-Quran, Allah SWT telah mengkisahkan beberapa kali tentang segolongan ulama' dari bangsa Yahudi yang curang dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki mereka.

Di dalam surah al-Maidah contohnya, Allah berfirman:
"Mengapa para ulama' dan pendeta mereka (orang Yahudi) tidak melarang mereka mengucapkan perkataan bohong dan memakan yang haram? Sungguh, sangat buruk apa yang mereka perbuat."
 [al-Maidah, 5:63] 

Ayat ini menceritakan bagaimana sikap ulama' Yahudi yang mengambil pendekatan untuk berdiam diri dan melihat sahaja kebejatan yang berlaku dalam kalangan orang Yahudi, sedangkan mereka adalah golongan yang paling berpengetahuan dan arif tentang syariat Tuhan ketika itu.

Begitu juga dengan ayat 196 dan 197 surah as-Syu'ara:

"Dan sungguh (al-Quran) itu (disebut) di dalam kitab-kitab orang terdahulu. Apakah tidak (cukup) menjadi bukti bagi mereka, bahawa para ulama' Bani Israil mengetahuinya?"
[as-Syu'ara, 26:196-197]

Dalam ayat ini pula, Allah mengecam para ulama' Yahudi yang menyembunyikan kebenaran tentang al-Quran daripada kaum mereka sendiri.   

Ayat-ayat surah al-Maidah dan surah as-Syua'ara memberitahu kita bahawa di dalam sesebuah bangsa atau masyarakat, wujud segelintir ulama' yang tidak amanah dengan ilmu yang mereka miliki. Sama ada mereka ini menyembunyikan kebenaran yang sebenar atau mereka tidak mencegah kemungkaran. Malah lebih teruk lagi, mereka turut sama-sama melakukan kemaksiatan dan kecurangan!

Hari ini kita melihat perkara yang sama berlaku di dalam masyarakat kita. Ada segelintir ulama' yang hanya mendiamkan diri apabila melihat kemungkaran berlaku dengan dahsyatnya di hadapan mata. Apatah lagi apabila kemungkaran tersebut dilakukan oleh para pemimpin atau mereka yang punya jawatan dan status yang tinggi di dalam masyarakat, mereka dilihat seperti boneka yang dikawal oleh tangan-tangan yang ghaib di belakang mereka. Sama ada mereka ditekan dan diugut oleh para pemimpin tersebut atau takut kehilangan jawatan, sikap seperti ini amat merbahaya kerana masyarakat memandang tinggi kepada mereka dan sentiasa menjadikan mereka ini sebagai sumber rujukan utama. 

Ah kita amat merindukan sosok-sosok hebat seperti Imam Ahmad dan Ibn Taimiyyah yang tidak ragu-ragu untuk bangkit menentang pemerintah apabila sudah jelas yang mereka ini melakukan kemungkaran yang wajib diperangi! 

Kita juga tidak sunyi daripada berita-berita jenayah yang melibatkan mereka yang bergelar ostad, mufti atau syaikh ini. Ada yang ditangkap basah, ada yang kantoi memakan rasuah dan ada juga yang didakwa kerana merogol. Baru-baru ini kita digemparkan dengan insiden yang melibatkan sebuah maahad tahfiz yang dimiliki oleh seorang pendakwah terkenal, apabila beberapa orang pelajar di maahad tersebut mendedahkan salah laku seksual yang  berlaku dalam kalangan pelajar di situ. Yang lebih mengejutkan adalah reaksi pendakwah tersebut yang dilihat mahu menyapu segala sampah sarap ke bawah karpet sahaja dan bukannya sama-sama mahu membantu mencari kebenaran.

Tidak kurang juga ostad ostajah di luar sana yang menggunakan platform ceramah dan kuliah mereka untuk menyebarkan fahaman-fahaman yang pelik dan tidak masuk akal. Sama ada menghentam mana-mana kumpulan lain yang tidak sefikrah dengan mereka, atau kisah-kisah ajaib yang layaknya hanya di dalam hikayat-hikayat dongeng penglipur lara, hadith-hadith palsu yang menyesatkan dan entah apa-apa lagi kecurangan pada amanah ilmu yang terletak di bahu mereka ini. Itu belum lagi dihitung jumlah mereka yang mengambil kesempatan berniaga atas nama agama. Aduhai!

Semua ini sama ada sedar atau tidak, telah menimbulkan persepsi yang negatif terhadap institusi ulama' atau asatizah yang mulia itu. Masyarakat hilang kepercayaan terhadap mereka, sehingga sudah ada yang berani memperlekeh institusi ini secara terbuka. Mereka yang berniat jahat pula mengambil peluang ini untuk melaga-lagakan umat Islam dan melemahkan lagi institusi para pewaris Nabi ini

Geleng kepala.

Maka bukan semua yang bergelar ulama' itu sudah terjamin kesolehan dan kemuslehannya apatah lagi jika gelaran ulama' itu diberikan oleh manusia sendiri. Kerana itu masyarakat perlu untuk mempunyai pengetahuan asas siapakah yang dimaksudkan dengan ulama' itu, agar kita tidak tidak terpedaya dengan dakyah-dakyah sesetengah golongan yang mahu menunggang agama dan pada masa yang sama, kita dapat mempertahankan institusi ulama' yang sebenar dari terus dirogol dan dicabul oleh tangan-tangan keji musuh Islam!

Fuh.

Persoalan ketiga dan persoalan terakhir; siapakah dia yang digelar ulama' itu? 

Ironinya, para ulama' sendiri berbeza pendapat siapakah yang dimaksudkan dengan ulama' itu

Ada yang berpendapat, ulama' itu adalah golongan yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan agama; seperti aqidah, tauhid, fiqh, usuluddin, bahasa Arab, syariah dan sebagainya.

Ada pula yang berpendapat, sesiapa sahaja yang menguasai apa-apa jua ilmu (selagi tidak bertentangan dengan syara') dan ilmu itu mendekatkan diri-Nya kepada Allah, dia layak digelar sebagai ulama'. Sesuai dengan firman Allah SWT:

"Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya, hanyalah para ulama'." 
[Faatir, 35:28]

"Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada-Nya dengan sebenar-benarnya adalah para ulama' yang mengenal-Nya," ungkap Imam al-Hafidz Ibn Kathir rahimahullah di dalam tafsirnya. "Kerana, setiap kali bertambah sempurna pengetahuan seseorang tentang Allah yang Maha Agung lagi Maha Mengetahui serta memiliki sifat-sifat - yang sempurna dengan nama-namaNya yang terbaik - semakin sempurna serta lebih lengkap, maka setiap kali itu pula rasa takut itu semakin besar dan semakin banyak."

Sayyid Qutb juga hampir senada dengan Ibn Kathir apabila beliau menukilkan di dalam Fi Zilal al-Qurannya, "Para ahli ilmulah yang memerhati dan memikirkan kitab alam buana yang amat menakjubkan ini. Oleh sebab itu mereka mengenal Allah dengan makrifat yang hakiki. Mereka mengenal Allah dengan kesan-kesan penciptaan-Nya. Mereka memahaminya dengan kesan-kesan kudrat-Nya dan mereka menginsafi hakikat kebesaran-Nya dengan melihat hakikat-hakikat penciptaan-Nya."

Ujarnya lagi, "...kejadian alam yang selaras yang tidak disedari melainkan oleh para ahli ilmu yang mengetahui kitab alam buana ini, dengan ilmu yang menyampaikan kepada Allah dan diinsafi hati. Dengan ilmu inilah, dia bergerak dan melihat tangan kudrat Ilahi yang menciptakan aneka warna, mengadakan bentuk rupa dan penyelarasan yang rapi di alam buana yang indah ini." 

Begitulah.

Nah, saya mungkin tidak boleh memberikan jawapan yang konklusif, siapakah yang dimaksudkan dengan ulama' itu dalam erti katanya yang sebenar. Tapi saya ingin mengajak anda untuk mentadabbur beberapa ayat dari surah Faatir yang memuatkan ayat yang sama yang menyebut siapakah itu ulama'. 

"Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan air dari langit, lalu dengan air itu Kami hasilkan buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. Dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya, dan ada (pula) yang hitam pekat.

Dan demikian (pula) di antara manusia, makhluk bergerak yang bernyawa dan haiwan-haiwan ternak, ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya, hanyalah para ulama'. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Pengampun."
[Faatir, 35:27-28]

Anda tidak rasa menarik dan terujakah bagaimana ayat yang menyebut tentang ulama' itu, datangnya selepas Allah bercerita tentang kebesaran dan kehebatan-Nya dalam menciptakan alam semesta? Ayat tentang ulama' itu disusun selepas fakta-fakta yang kita pada hari ini mengenalinya sebagai ilmu sains? Tidak pula disebut tentang zakat, atau fiqh thaharah, atau muamalah, atau munakahat, tetapi yang disebut adalah ilmu-ilmu yang ketika al-Quran itu diturunkan, belum pon lagi terbukti menerusi kajian sains!



Mana mungkin orang yang berilmu itu tidak merasa apa-apa apabila melihat keindahan alam sebegini rupa? [Kredit]

Mungkin inilah yang menjadi motivasi besar buat umat Islam suatu ketika dahulu untuk mendalami pelbagai cabang ilmu, sehingga nama-nama seperti Ibn Khaldun, Ibn Sina, Ibn Rushd, al-Khawarizmi dan ramai lagi, bukan sahaja faqih dalam bidang agama, tetapi juga ilmu-ilmu 'dunia'! Mereka bukan sahaja ulama' dalam subjek tradisional agama, malah ulama' juga dalam ilmu-ilmu sains dan teknologi. Subhanallah!

Dan mungkin salah faham tentang definisi ulama' yang sebenar itu juga yang menyebabkan tradisi keilmuan Islam yang begitu cemerlang suatu ketika dahulu, kini begitu mundur dan miskin. Kerana masyarakat begitu taasub dan fokus untuk mendalami ilmu-ilmu agama, sehingga terlupa dan cuai dalam menekuni illmu-ilmu yang lainnya. Lihat sahaja 'kegilaan' ibu bapa hari ini yang mahu menghantar anak-anak mereka ke maahad-maahad tahfiz, sekolah-sekolah agama dan sebagainya, sehingga ia menjadi satu industri yang begitu menguntungkan buat segelintir penunggang agama!  

Namun perlu diingatkan sekali lagi, apa sahaja ilmu yang ingin dikuasai, ia perlulah bertepatan dengan kehendak syarak dan bermanfaat untuk ummah. Para ilmuwan perlulah sentiasa bermuhasabah dan mengingatkan dirinya apakah tujuan mereka ingin mendalami dan menuntut sesuatu ilmu itu, agar tidak tergelincir dari landasan kebenaran. 

Mungkin kerana itulah, ayat-ayat selepas ayat keduapuluh lapan surah Faatir itu bercerita tentang peringatan-peringatan yang asas, tapi boleh jadi seringkali dilupakan oleh ramai daripada kita.

"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah (al-Quran) dan melaksanakan solat dan menginfaqkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepadanya dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perdagangan yang tidak rugi.

Agar Allah menyempurnakan pahalanya kepada mereka, dan menambah kurnia-Nya. Sungguh Allah Maha Pengampun, Maha Mensyukuri."
[Faatir, 35:29-30]    

Sungguh, apa sahaja ilmu yang boleh menjadikan kita lebih mengenali Allah, yang menjadikan kita lebih takut kepada-Nya, yang menjadikan kita lebih chenta kepada-Nya, yang menggerakkan kita untuk menjadi sang hamba dan si khalifah yang sebenarnya, itulah ilmu yang perlu kita cari. Dan sesiapa sahaja yang menguasi cabang-cabang ilmu ini, baik seorang Professor Ekonomi di Universiti Malaya, seorang doktor falsafah di dalam bidang botani di Universiti Oxford atau seorang guru pakar matematik tambahan di sebuah sekolah menengah di luar bandar, dia adalah seorang ulama'.

Natijah daripada ilmu yang benar ini pula akan melahirkan seorang 'alim yang mantap akhlaknya. Ulama' yang amanah dengan ilmunya tidak akan mengatakan sesuatu yang dusta, tidak merendah-rendahkan ulama' lain atau sesiapa sahaja tanpa alasan yang benar, tidak memfitnah (buhtan) orang lain, tidak menyebarkan sesuatu yang tidak sahih, tidak mencarut atau mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya diucapkan oleh seorang yang mulia, merendah diri, tidak angkuh dan takabbur, tidak bermewah-mewah dan lain-lain lagi. 

Begitulah.  

Saya ingin akhiri penulisan saya ini dengan sebuah kata-kata yang pernah disebutkan oleh seorang lelaki, seperti yang diriwayatkan oleh Sufyan ats-Sauri dari Abu Hayyan at-Taimi:

"Disebutkan bahawa para ulama' itu ada tiga golongan; orang yang 'alim tentang Allah dan orang yang 'alim tentang perintah-Nya, orang yang 'alim tentang Allah tetapi tidak 'alim tentang perintah-Nya, serta orang yang 'alim tentang perintah Allah akan tetapi tidak 'alim tentang-Nya." 

Moga Allah tunjukkan kita siapakah ulama' yang 'alim tentang Allah dan 'alim pula tentang perintah-perintahNya. Dan saya mendoakan agar anda yang sedang mendalami apa-apa jua bidang ilmu, agar suatu hari nanti anda menjadi si 'alim yang arif tentang Allah dan arif pula tentang perintah-perintahNya. Amiin ya robbal 'alamin! 

-gabbana-

Mustahil untuk berbincang tentang topik yang sebesar ini secara konklusif dan komprehensif di dalam satu penulisan sebegini. Namun saya kira, saya sudah berusaha sebaiknya untuk berkongsikan poin-poin utama yang saya rasakan berbaloi untuk dibincangkan. 

Kerana khuatir penulisan ini mungkin akan disalah anggap dan berpotensi menimbulkan kontroversi, saya telah meminta bantuan seorang al-akh yang juga merupakan seorang graduan dalam bidang agama, untuk membacanya terlebih dahulu dan memberikan komennya.  

Alhamdulillah dia telah memberikan maklum balas yang positif dengan sedikit cadangan penambahbaikan. Senyum. 
       

10 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 03/01/2017, 21:39  

pada pengamatan saya,penulisan anda sangat menonjolkan ketinggian ilmu dan adab anda.Tahniah ! Legend masih berbisa:)

Anonymous 04/01/2017, 02:17  

Thanks inche. Dah lama fikir soal ni. Penulisan inche menambahkan lg pemahaman saya.

Ilham Masyi 04/01/2017, 07:35  

Tahniah Inche, worth reading!

Sofiya Hamed 12/01/2017, 14:57  

Bagus!

Anonymous 10/02/2017, 22:23  

Assalamualaikum..penulisan dekat blog sini selalu teratur, tak de jump in, so far apa yang saya baca. Boleh bagi tips tak macam mana nak ekspresskan idea, nasihat atau ilmu macam ni supaya lebih teratur, tersusun satu demi satu melalui penulisan?

Asraadinnia 27/02/2017, 21:05  

Apa maksud orang yang alim tentang Allah dan orang yang alim tentang perintah-perintahNya? Adakah maksudnya orang yang ada banyak pengetahuan tentang Allah dan agama dengan orang yang memang betul-betul melakukan perintah-perintahNya dengan taat?

Abu Haris 08/03/2017, 16:01  

Itulah ciri² yang ADA pada tghh

Abu Haris 08/03/2017, 16:01  

Mereka ialah orang yang beriman Dan beramal soleh

Qbal Ramlan 20/03/2017, 22:38  

Penulisan yang baik melambangkan tuannya. I envy your knowledge. Salam dari rakan.

Anonymous 28/03/2017, 21:48  

Salam encik angel pakai gucci.

Sy salah seorang pembaca karya awk.

Sy nk tanya. Kalau nk publish buku tp still being unknown, macam mana ye?

Nak tahu proses step by step.

Dan siapa perlu sy contact dan fees semua.

Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP