26 April 2017

Sonny Bill Williams Dan Izzahnya Dengan Islam

Perhatikan kolar jersinya.

Baru-baru ini telah tular (Baca: viral) satu berita tentang Sonny Bill Williams. Perihal bagaimana dia telah menutup kolar jersinya dengan sengaja yang terpampang dengan logo BNZ (Bank of New Zealand) kerana pegangan dan kepercayaan Islam-nya.

Sebentar. Siapa Sonny Bill Williams? Dan dia seorang muslim? 

Peluh kecil mengalir di tepi dahi.

Tiada masalah, tiada masalah. Mari saya kongsikan.

Sonny BIll Williams ialah seorang pemain ragbi bertaraf antarabangsa. Sehingga ke hari ini, dia sudah bermain untuk banyak kelab, termasuklah kelab liga luar negara (Sonny berwarganegara New Zealand/Samoa) seperti Australia, Perancis dan Jepun. Kelab yang diwakili oleh Sonny sekarang ini ialah Auckland Blues. Sonny telah membantu pasukan kebangsaan New Zealand, All Black, memenangi Piala Dunia Ragbi pada tahun 2011 dan 2015. 

Sonny sangat terkenal dalam kalangan para peminat sukan ragbi. Kehebatannya dalam sukan ragbi amat sukar disangkal sehinggakan pernah dikatakan yang Sonny adalah hibrid antara Jonah Lomu, Brian O'Driscoll dan Richie McCaw; ketiga-tiganya merupakan pemain lejen dalam sukan ragbi. Pada tahun 2013, RLIF (Rugby League International Federation)  telah mengiktiraf kehandalan Sonny di padang ragbi dengan menganugerahkannya pemain terbaik antarabangsa, suatu anugerah yang cukup berprestij bagi seorang pemain ragbi. 

Sonny telah memeluk Islam pada tahun 2008 ketika bermain untuk Kelab Toulon di Perancis. Sebelum menjadi seorang muslim, Sonny bolehlah dikatakan sebagai seorang yang liar; dia pernah ditangkap atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dan kencing di tempat awam. Err. 

Perubahan Sonny selepas memeluk Islam cukup mengagumkan. Sonny yang dahulunya terkenal dengan sikapnya yang ego dan angkuh pernah mengejutkan arena sukan antarabangsa apabila menghadiahkan medal Piala Dunia yang dimenanginya kepada seorang budak lelaki yang menceroboh padang ragbi hanya kerana mahu memeluk idolanya itu. Budak itu hampir-hampir dibelasah oleh pengawal keselamatan yang bertugas sebelum dihalang oleh Sonny. 

Sonny juga telah mengisytiharkan dirinya bebas alkohol. Dalam satu temubual bersama CNN, Sonny dengan yakinnya menyebut Islam telah memberikannya kebahagiaan. Subhanallah! 

Tindakan Sonny yang terbaru - menutup bahagian kolar jersinya yang memaparkan logo BNZ - juga merupakan satu lagi manifestasi perubahannya selepas menjadi seorang muslim. Tindakannya itu adalah sebagai tanda protes kerana mempertahankan ajaran Islam yang melarang daripada umat Islam mengamalkan riba. 

Sebagai pemain ragbi bertaraf profesional di peringkat antarabangsa, yang punya ribuan jika bukan jutaan peminat, yang menjadi idola buat ramai anak-anak muda di luar sana, tindakan Sonny itu dilihat sebagai amat berani dan berisiko kepada kerjayanya. Apatah lagi BNZ ialah salah satu penaja utama bagi pasukan yang diwakilinya, Auckland Blues. Namun semua itu tidak menghalang Sonny daripada tegas menegakkan apa yang diimaninya, Itu langsung tidak melemahkan Sonny daripada menjadi duta kepada agama yang dichentainya.

Allahu Akbar! 

Bagaimana Sonny punya kekuatan yang sedemikian rupa? Bagaimana dia begitu berani untuk melakukan sesuatu yang walaupon mungkin nampak kecil dan tidak ada apa-apa, namun di posisinya sebagai seorang atlet selebiriti bertaraf dunia, di tengah-tengah kemelut dunia yang melihat Islam sebagai agama keganasan, sesuatu yang cukup signifikan dan besar? Apa yang menyebabkan dirinya begitu izzah dan bangga menjadi seorang muslim?

Haaaa.

Boleh jadi, rahsianya terkandung dalam syahadah yang diucapkan oleh Sonny Bill Williams pada tahun 2008 dahulu. 


Rasmul bayan: Madlul Syahadah (kandungan syahadah)

Syahadah yang diucapkan oleh seorang muslim itu, ringkasnya, apabila diucapkan dengan ikhlas dan bersungguh, akan menghasilkan iman yang mantap lagi utuh. Dan apabila seseorang mu'min itu istiqamah di atas keIslaman dan keimanannya, ia akan membuahkan TIGA perkara:


  1. Syaja'ah (Keberanian)
  2. Itmi'nan (Ketenangan)
  3. Tafaul (Optimis)

Jika dilihatkan pada tindakan Sonny yang begitu izzah dengan Islamnya, sehingga begitu yakin melakukan sesuatu yang saya kira cukup kontroversi di persada antarabangsa, ternyata dia punya ketiga-tiga ciri ini. 

Berani. Mengapa Sonny perlu takut dengan kutukan media atau kritikan peminat apabila dia tahu tindakannya itu benar malah dipuji? Mengapa dia perlu rasa gerun dengan musuh-musuhnya yang sentiasa menanti peluang untuk menjatuhkannya, apabila dia tahu Allah sentiasa bersama-samanya? Beraninya Sonny adalah kerana dia tahu yang menolong dan melindunginya ialah Allah! 

"...(iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang ketika ada orang-orang berkata kepadanya, 'Orang-orang (Quraisy) telah mengumpulkan pasukan untuk memerangi kamu, kerana itu takutlah kepada mereka.' Ternyata (ucapan) itu menambah (kuat) iman mereka dan mereka menjawab, 'Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami, dan dia sebaik-baik pelindung.' [ali-Imraan, 3:173]

Tenang. Apabila Sonny membuat keputusan untuk melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan, sudah tentu dia sudah boleh menjangkakan apa reaksi orang ramai terhadap tindakannya itu. Namun dia tenang, kerana apabila sibgah Allah itu sudah meresap jauh ke dalam hati, tiada apa yang akan lahir melainkan ketenangan yang hakiki. 

"Hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang." [ar-Ra'ad, 13:28]

Optimis. Sudah pasti Sonny ini seorang yang begitu optimis dengan Islam yang dianutinya, sehingga dia tidak kisah apa yang bakal dikatakan orang ramai tentang tindakannya yang cukup berani itu, atau apa tindakan yang bakal dikenakan oleh kelabnya ke atas dirinya. Optimis kerana akhirnya, apa yang dikejar ialah redha dan rahmat-Nya. Optimis kerana tiada siapa yang akan rugi apabila yang diperjuangkan itu ialah iman dan Islam! Optimis kerana dia tahu janji Allah itu sentiasa menang dan benar! 

"Dan ketika orang-orang mu'min melihat golongan-golongan (yang bersekutu) itu, mereka berkata, 'Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita.' Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu menambah keimanan dan keIslaman mereka." [al-Ahzab, 33:22]

Lantas, bagaimana pula dengan kita? Yang sudah Islam sejak 20, 30 tahun yang lampau ini? 

Masih berasa malu untuk memakai tudung yang labuh kerana merasakan ia terlalu ekstrem dan takut ditertawakan? 

Malu untuk membaca al-Quran di dalam tren atau khalayak ramai kerana risau apa yang orang lain fikirkan? 

Malu untuk beramal dengan Islam dan menunjukkan kepada orang bukan Islam ajaran dan prinsip-prinsip Islam, hanya kerana persepsi mereka terhadap agama ini?

Aduhai. 

Dan bagaimana pula kita yang menggelar diri kita sebagai dai'e ilallah ini? 

Masih malu-malu untuk menyampaikan risalah kebenaran kepada rakan-rakan dan ahli keluarga kita? 

Masih segan untuk memberitahu mak ayah kita yang kita sudah menyertai 'geng usrah'?

Masih tak terkeluar dari mulut kita nak beritahu rakan-rakan satu sekolah dulu yang kini 'dah lain', dah ikut program? 

Masih tak berani nak isytihar yang kita ini adalah pendakwah yang mahu mengajak orang kembali kepada Allah??

Mana izzah kita dengan Islam?? Mana izzah kita dengan tarbiyah dan dakwah?? Mana izzah kita dengan jalan perjuangan ini?? 

Allah Allah! 

Andai kita tidak mampu untuk izzah seperti Sonny Bill Williams, boleh jadi kita masih belum benar-benar memaknai syahadah kita! 

-gabbana-

Wah, sudah lama tidak menulis sebegini. Boleh tahan kekok juga rasanya!

Adakah ini comeback Inche gabbana? Wahahaha. 


2 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 29/04/2017, 08:41  

artikel yg best best best!!! mabrukk inche gabbana!

btw your akhawat pakai hoodies best! cerita akhawat berapi tu mmg setiap kali baca mesti gelak..hahaa.

teruskan menulis buku dan menulis manusia!

moga terus tsabat!

Anonymous 17/05/2017, 10:23  

Sy jumpa blog inche selepas sahabat sy letak buku inche dkt ig story. MashaaAllah. Ilmu baru dan bacaan yg baik. Terim kasih!

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP